April 26, 2024

Search
Close this search box.

Sukan dan Akademik Boleh Berjalan Seiring Kata Prof. Durrishah

Kerjasama pintar antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bakal menyaksikan usahasama simbiosis antara satu sama lain.

Melalui kerjasama ini, 110 pelatih Akademi Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menginap di UTM di beberapa lokasi terpilih, dan UTM akan beroleh manfaat daripada teknik bimbingan dan latihan semasa pelatih berada dalam kawasan kampus.

UTM juga akan menyediakan kemudahan padang latihan, penginapan serta menyelia utiliti fasiliti yang disediakan

Menariknya, pelatih Akademi JDT ini turut bakal diberi peluang kemasukan pengajian ke UTM melalui Program Laluan Hijau apabila mereka tamat persekolahan nanti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata pihak universiti sangat bertuah kerana diberi peluang oleh persatuan bolasepak tempatan yang tersohor tersebut kerana menurut beliau, pembinaan atlet bola sepak bukan hanya perlu ditumpukan kepada pembinaan kemahiran semata-mata malah aspek akademik juga perlu dititikberatkan.

“Sebagai contoh, tidak kurang jumlahnya ahli sukan yang berjaya dalam akademik seperti jaguh terjun negara Pandalela Rinong dan Leong Mun Yee serta puluhan yang lain namun hakikatnya, kekangan masa menjadi masalah utama untuk anak muda yang berminat dalam sukan prestasi tinggi seperti bola sepak kerana mereka perlu memberi komitmen tinggi kepada sesi latihan dan jadual perlawanan, dan bebannya akan berganda lebih berat sekiranya dipilih mewakili negara.

Namun sukan dan akademik sebenarnya boleh bergerak seiring dengan bimbingan dan dorongan yang betul.

Ini boleh dilihat di UTM sendiri iaitu atlet bola jaring Nurfariha Abdul Razak, Pow Mei Foong selain pesilat negara Mohd. Faizul Nasir yang cemerlang dalam kedua-dua aspek,” kata beliau dalam sesi perkongsian selama satu jam bersama 110 pelatih Akademi JDT baru-baru ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pelatih yang terpilih daripada ribuan remaja seluruh Malaysia untuk bersama kelab terkaya di negara ini.

“Moga anda semua berjaya dalam kedua-dua bidang bolasepak dan pelajaran. Siapa tahu mungkin UTM bakal jadi universiti anda,” tambah beliau.

(Dari kiri) Pegawai Pembangunan PBNJ, K. Sukumaran,  Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd Anizam Jamian, Prof. Dr. Durrishah Idrus dan Ahmad Muzammil Zulkifli

Dapat RM 20.00 tanya soalan

Sesi ramah mesra yang diadakan di Kolej Datin Seri Endon, UTM itu tersebut turut dihadiri oleh barisan lengkap pengurusan Akademi JDT iaitu Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd Anizam Jamian, Pegawai Pembangunan PBNJ,  K.Sukumaran, Pengarah Akademi JDT Jovi Carrascosa Requena dan Pengurus Pembangunan Belia, Gonzalo Sanz Zaballos  yang dibawa khas dari kerjasama bersama kelab ternama Sepanyol, Valencia CF.

UTM turut diwakili oleh Pengetua Kolej Datin Seri Endon, Prof. Madya Dr. Liza Abd Latif, Pegawai Belia & Sukan Kanan, Hj. Armadi Ahmad dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Ahmad Muzammil  Zulkifli.

Bekas kapten pasukan negara yang juga ketua pasukan pencari bakat JDT, Ahmad Sharul Azhar pula mencadangkan agar diadakan aktiviti bersama antara pelajar UTM dan pelatih Akademi JDT seperti program CSR yang mampu mendekatkan mereka dengan komuniti.

Pengetua KDSE turut sama berkongsi sedikit kisah inspirasi

Sebagai rekod, hasil program pembangunan bola sepak dilakukan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2013, pasukan remaja sudah menunjukkan peningkatan mendadak.

Antara kejayaan diraih hasil program pembangunan adalah menjuarai Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bawah 18 tahun pada 2018 dan turut kejayaan itu turut dicapai skuad bawah 15 tahun. Malah menerusi program pembangunan, bawah 14 tahun turut mencipta kejayaan selepas muncul juara Piala Menteri Pendidikan pada 2018.

Bawah 13 tahun juga memenangi kejohanan jemputan antarabangsa Piala JSSL manakala terbaharu, bawah 12 tahun muncul juara kejohanan bolasepak MSSM tahun ini yang semuanya hasil perancangan rapi program pembangunan bola sepak.

JDT turut mengadakan kolaborasi bersama kelab ternama Jerman, Borussia Dortmund dan terkini kelab dari Sepanyol, Valencia CF dalam memastikan modul yang digunakan bertepatan untuk memajukan pembangunan bola sepak akar umbi.

Antara kejohanan terdekat yang bakal disertai mereka dalam masa terdekat ialah Copa Toreros di Jepun pada Mac 2020 bagi kategori bawah 12, Evergrande Cup 2020 di China (bawah 17) dan Zhongnan Codion Cup 2020 di China (bawah 14).

 

Explore More