April 26, 2024

Search
Close this search box.

Penyelidik UTM Naik Taraf Turbin Vortex di Perkampungan Orang Asli Pos Lemoi

Suasana damai di Kampung Pos Lemoi, Cameron Highlands. Foto: Dr. Adib (UKM)

Pada 28 sehingga 31 Januari 2020 yang lepas, sekumpulan penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur bersama-sama kumpulan sukarelawan daripada UKM, UPM dan Alim Motorsport telah membuat kunjungan di perkampungan Orang Asli di Pos Lemoi, Cameron Highlands bagi melaksanakan beberapa tugasan.

Kumpulan penyelidik telah diketuai oleh Prof. Dr. Asan Ali Golam Hassan daripada Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) dengan disertai oleh Timbalan Pengarah Unit Pelestarian Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof Madya Dr. Shamsul Sarip, pensyarah kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), Dr. Khairul Hisyam Kamarudin, serta beberapa pembantu penyelidik dan sukarelawan.

Penyelidik UTM menjalankan banci Ketua Isi Rumah (KIR) dan perbincangan bersama penduduk berkaitan aspek ekonomi dan kehidupan di kampung Pos Lemoi

Kumpulan penyelidik telah dibahagikan kepada beberapa pasukan untuk melancarkan program sepanjang berada di sana. Antara kegiatan berkaitan penyelidikan yang dijalankan adalah banci Ketua Isi Rumah (KIR) bagi mengumpulkan maklumat pendapatan hasil bukan wang dan perbelanjaan bulanan isi rumah (diketuai Prof. Dr. Asan Ali-geran FRGS).

Selain itu, sekumpulan penyelidik diketuai oleh Prof Madya Dr. Shamsul Sarip telah menjalankan survey dan percubaan awal kesesuaian untuk menyediakan “pico-turbine” di kawasan perkampungan pada masa hadapan.

Satu kumpulan lagi juga diketuai oleh Prof. Dr. Asan Ali telah menyiapkan kerja-kerja menaiktaraf keupayaan turbin vortex yang telah dibangunkan sebelum ini menerusi dana oleh NBOS (projek telah tamat) oleh pihak UTM dengan libatsama pelbagai pihak sekitar tahun 2018.

Kerja-kerja menaik taraf keupayaan turbin vortex di Pos Lemoi yang dijalankan oleh penyelidik UTM dengan kerjasama Alim Motorsport dan para sukarelawan termasuklah penglibatan belia Orang Asli (28-31 Januari 2020)

Hasil banci KIR yang dijalankan, terdapat beberapa rumah baharu telah dibina sama ada bagi menggantikan rumah yang telah usang dan juga penduduk yang baharu mendirikan rumah tangga.

Melalui kerja-kerja naik taraf ini, sistem turbin vortex dijangka akan mampu membekalkan tenaga elektrik daripada sumber boleh diperbaharui dengan kaedah yang bersih, mesra alam serta percuma bagi manfaat 35 buah keluarga di kampung ini.

Dengan penglibatan berterusan pihak UTM dalam kerja-kerja komuniti sekalipun telah tamat geran/dana, membuka peluang kepada lebih banyak projek komuniti serta penyelidikan lain yang bersesuaian dengan keperluan komuniti Orang Asli.

Antara kumpulan sasar yang ingin dibantu oleh penyelidik UTM bagi fasa berikutnya adalah pembangunan ekopelancongan lestari di Pos Lemoi memandangkan kawasan ini memiliki keunikan sumberjaya alam semulajadi dan budaya yang dapat diketengahkan sebagai produk ekopelancongan pada masa hadapan.

Disediakan oleh: Dr. Khairul Hisyam Kamarudin, FTIR, UTMKL 

 

Explore More