April 23, 2024

Search
Close this search box.
Pelajar SK Taman Suria memberikan pencerahan mengenai sistem tanaman fertigasi kepada tetamu kehormat

Mutakhir ini, dunia sering berhadapan dengan situasi kritikal di mana berlakunya beberapa siri bencana alam seperti banjir dan kebakaran hutan di Australia, Jepun, Indonesia juga Malaysia. Sehubungan itu, sedari 2013 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memainkan peranan memulakan program Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) bersama rakan strategik Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

Memfokuskan kepada usaha memberikan kesedaran dan tindakan terarah ke akar umbi, Pengerusi Sekolah Pendidikan UTM, Prof. Madya Dr Fatin Aliah Phang melihat keperluan untuk memberikan kesedaran sedari awal iaitu di peringkat sekolah melibatkan pelajar dan guru untuk mencapai pembangunan yang mampan.

Pada peringkat awal tahun 2013, program ini hanya melibatkan 23 sekolah di kawasan Iskandar, namun IMELC terus mengorak langkah kepada 545 sekolah rendah di seluruh negeri Johor menjelang tahun 2020.

Setiap tahun, penyelidik UTM juga bersama rakan strategik akan melakukan lawatan di sekitar Johor bagi memberikan taklimat khusus bagi Pertandingan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge kepada guru sekolah rendah di Johor. Menerusi sesi taklimat dari penyelidik UTM, guru-guru akan didedahkan kepada punca pemanasan global, perubahan iklim dan juga konsep rendah karbon. Setelah sesi taklimat selesai, sekolah terpilih akan dilawati bagi memantau usaha dan memberikan sokongan motivasi kepada sekolah.

Seterusnya Penyelidik UTM juga menyedia platform kepada semua sekolah di Johor bagi mampamerkan usaha dalam meningkatkan kesedaran masyarakat karbon rendah dan matlamat pembangunan lestari (SDG) sedari bangku sekolah lagi menerusi RCE Iskandar and Low Carbon Schools Exhibition.

Sememangnya, penyelidik UTM berperanan besar dalam memberikan kesedaran seterusnya membangunkan jiwa rendah karbon dalam kalangan pelajar dan guru di Johor menerusi pembangunan modul Iskandar Malaysia Ecolife Challenge, pertandingan RCE Iskandar and Low Carbon Schools Exhibitions kursus, taklimat juga sokongan motivasi.

Impak IMELC ini telah berjaya meyakinkan kerajaan Negeri Johor bahawa usaha ini menjadi tonggak dalam melahirkan generasi yang rendah karbon. IMELC juga tercatat dalam Pelan Tindakan Kelestarian Negeri Johor 2019-2023 yang digunapakai oleh JPNJ.

Pelan tindakan yang pertama dan seumpananya ini telah menggariskan bahawa IMELC akan dilaksanakan ke semua sekolah rendah di Negeri Johor pada tahun 2023.

Penyampaian cek daripada Mohd. Zan Ariss, Pengurus Wilayah Johor SWM Environment Sdn Bhd, selaku penaja utama IMELC kepada SK Taman Suria

Dr Fatin Aliah Phang dibantu oleh Dr. Nina Diana Nawi, Dr. Mahyuddin Arsat, Dr. Jaysuman Pusppanathan dan Dr. Nor Farahwahidah Abd Rahman dari pelbagai fakulti di UTM bersama-sama rakan strategik dari JPNJ, IRDA, SWM Environment Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia dan United Nations Development Programmes (UDNP) telah menjayakan Pertandingan Akhir IMELC 2019 di AEON Mall Bandar Dato’ Onn pada 12 November 2019.

Baru-baru ini, cek wang tunai disampaikan kepada semua pemenang pada 3 sehingga 6 Februari 2020 melalui lawatan ke sekolah-sekolah yang dinobatkan pemenang dalam pertandingan tersebut.

Majlis penyampaian cek wang tunai kepada SK Taman Suria telah mendapat perhatian TV3. Pada pertandingan kali ini, SK Taman Suria telah mendapat tempat kedua dengan berjaya menerapkan jiwa rendah karbon dalam kalangan pelajar dengan kerjasama yang padu bersama ibu bapa dan masyarakat setempat. SK Taman Suria menjadi pusat pengumpulan kitar semula seterusnya berjaya mengumpul 7,355kg barang kitar semula sepanjang tahun 2019.

Antara usaha di SK Taman Suria juga adalah mewujudkan bilik Kuru-kuru bagi membolehkan pelajar, ibu-bapa dan juga guru meletakkan barang-barang berkeadaan baik yang boleh digunapakai oleh orang lain. Bilik ini diinspirasikan dari Jepun yang bertujuan untuk menyemai tabiat menjaga alam sekitar. Selain itu, SK Taman Suria juga mewujudkan Ecocentre, Kebun Sinar Suria, Bilik Kitar Semula, Tangki Rainwater, Taman Tayar, Laluan Ecowalk, Taman Herba, Kolam ikan dan juga tanaman hiasan.

Laluan ecowalk ini dihiasi dengan mural cadangan aktiviti yang boleh merendahkan penghasilan karbon. Menariknya, sekolah ini turut memaparkan Modul Iskandar Malaysia Ecolife Challenge yang direka oleh penyelidik UTM di mural laluan ecowalk.

Sekolah tersebut sebelum ini merupakan juara pada tahun 2016 dan 2018.

Pengurus Wilayah Johor SWM Environment Sdn Bhd, Mohd. Zan Ariss menyampaikan cek wang tunai bernilai RM 8,000.00 kepada Guru Besar SK Taman Suria, Pn Marsita A. Hamid.

Majlis tersebut turut disertai Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, En. Ishak Mahbob, pegawai-pegawai dari JPNJ, IRDA, SWM Environment Sdn Bhd, PIBG SK Taman Suria dan ibubapa.

Cikgu Hafizul memberikan penerangan kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan juga Universiti Teknologi Malaysia.
Pelajar memberikan penerangan di laluan EcoWalk yang menempatkan hasil produk  hakcipta UTM iaitu Modul Iskandar Malaysia Eco-Life Challenge
Modul Iskandar Malaysia Eco-Life Challenge diterjemah dalam bentuk mural di laluan pejalan kaki pelajar sekolah bagi memberi penerangan mengenai konsep rendah karbon

Pelajar menimbang barang-barang kitar semula yang dibawa dari rumah
Ruang pameran pencapaian SK Taman Suria dalam usaha memperkasakan pembudayaan rendah karbon
Pelajar SK Taman Suria menjamu tetamu dengan bubur jagung hasil dari penanaman di kawasan sekolah

Rain water harvesting yang dibina di gazebo oleh warga SK Taman Suria
Modul permainan ular dan tangga bertemakan rendah karbon bagi membolehkan pelajar bermain dan belajar.
Taman Herba dan juga Taman Tayar di SK Taman Suria

Penulis bersama:

Dr. Nina Diana binti Nawi, PM. Dr. Fatin Aliah Phang, Dr. Mahyuddin Arsat, Dr. Nor Farahwahidah Abd Rahman  dan Dr. Jaysuman Pusppanathan

Explore More