April 19, 2024

Search
Close this search box.

RANAU, 7 Feb. — Sekumpulan mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan program Kembara Sabah 2020 (KBah’20) yang berlangsung selama 5 hari bermula 2 sehingga 6 Februari 2020 bertempat di daerah Ranau, Sabah.

Program yang bercorak kebudayaan dan kemasyarakatan ini melibatkan 17 mahasiswa diiringi oleh 5 felo pengiring yang diketuai oleh En. Azizul Azman merupakan sebahagian dari program ‘Top Bidder’ Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTM dan mendapat kerjasama dari penduduk Kampung Tungou, Sekolah Kebangsaan (SK) Tungou, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau dan SK Kilimu.

Pelajar SMK Ranau dan mahasiswa UTM yang terlibat dalam sesi pertukaran budaya

Pengarah KBah’20 Saudari Naeimatul Hidayah Abdul Ghani berkata, program ini bertujuan untuk berkongsi dan memperlihatkan kepelbagaian kebudayaan antara masyarakat Semenanjung Malaysia dan masyarakat di Sabah melalui aktiviti keluarga angkat, persembahan tarian, pakaian dan makanan setempat.

Persembahan Tarian Sumirid oleh pelajar SMK Ranau bersama mahasiswa UTM

Jelasnya lagi, program khidmat masyarakat ini bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan antara masyarakat, menanam minat kesukarelawan dan menyemai sifat sayang pada tanah air tercinta.

peserta dan pengiring bersama keluarga angkat Kampung Tungou

Sepanjang berada di Sabah, delegasi UTM disambut dengan meriah dan mesra oleh penduduk kampung serta pihak sekolah. Di Kampung Tungou, paluan alat muzik tradisional menjadi simbolik penerimaan masyarakat terhadap rombongan UTM. Aktiviti lain yang dijalankan Bersama penduduk Kampung Tungou ialah perlawanan persahabatan bola tampar, bola sepak, sukaneka kampung, tarian dan jamuan makanan tradisional.

Sambutan penduduk kampung melalui peralatan muzik tradisional

Di SK Tungou, mahasiswa UTM telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka berkaitan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) kepada 69 pelajar sekolah melalui aktiviti ceramah, eksperimen dan ‘explorace’ untuk menarik minat mereka terhadap subjek STEM tersebut. Mahasiswa UTM juga telah menjalankan aktiviti kesukarelawanan dengan menunjukkan bakat mereka melalui lukisan mural di dinding sekolah.

Perkongsian berkaitan STEM oleh mahasiswa UTM
Peserta mengecat dinding asrama SK Tungou
Pembuatan Mural di SK Tungou, Ranau

Di SMK Ranau pula, aktiviti pertukaran budaya dijalankan bersama pelajar sekolah tersebut seperti permainan tradisional, tarian tradisional dan perbualan loghat antara masyarakat di Sabah dengan masyarakat di Semenanjung Malaysia.

Perkongsian budaya antara pelajar sekolah dan mahasiswa UTM

Program diteruskan dengan lawatan muhibah ke SK Kilimu yang merupakan sekolah kebangsaan terbaik di daerah Ranau. Delegasi UTM dibawa untuk melihat peralatan tradisional suku kaum Dusun, taman arnab dan projek bunga Rafflesia yang julung kali dibuat oleh sekolah di Malaysia.

Majlis penutup program KBah’20 pula disempurnakan oleh Datuk Amisah Yasin, wakil kepada Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Sabah yang telah diadakan di Fairydale Guest House, Ranau. Antara tetamu yang dijemput hadir ialah wakil sekolah yang terlibat sepanjang program KBah’20 dan wakil penduduk Kampung Tungou.

Maklum balas daripada semua pihak iaitu wakil ADUN, pihak sekolah dan penduduk kampung mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan bagi memupuk semangat perpaduan serta memperkasakan peranan mahasiswa dalam melaksanaan aktiviti kesukarelawan dan kebudayaan yang membawa manfaat antara UTM bersama rakyat Malaysia.

Explore More