Disediakan oleh : Fadilah Zaini, Suaibah Abu Bakar
JOHOR BAHRU, 5 Feb — Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Sesi Bengkel Pengajaran Kursus Umum Universiti Penghayatan Etika Dan Peradaban (UHMS 1182) di Bilik Jamuan, Aras 3, T08, baru-baru ini.
Bengkel tersebut menampilkan Prof. Madya Dr. Rozeyta Omar yang berkongsi input yang diperoleh selepas beliau menghadiri Taklimat Tenaga Pengajar Mata Pelajaran Umum (MPU) bagi Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban di Univerisiti Kebangsaan Malaysia pada 28 November 2019 lalu.
Malah, bengkel ini yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL) ini adalah untuk memberi penekanan kepada penyelarasan isi kandungan kursus, kaedah penyampaian dan penilaian kepada peserta bengkel yang terdiri daripada pensyarah yang akan terlibat dalam pengajaran kursus ini pada semester II sesi akademik 2019/2020.
Isi kandungan bengkel ini termasuklah :
- Pengenalan Ilmu Etika dan Peradaban
- Teori-teori Etika
- Etika Dan Peradaban Dalam Kepelbagaian Tamadun: Islam Dan Melayu
- Etika Dan Peradaban Dalam Kepelbagaian Tamadun: China, India Dan Barat
- Pemantapan Kesepaduan Nasional Melalui Etika Dan Peradaban
- Perlembagaan Persekutuan Tiang Seri Etika Dan Peradaban Di Malaysia
- Penerapan Etika Dan Peradaban Dalam Budaya Dan Komunikasi Kontemporari
- Peranan Etika Dan Peradaban Mendokong Tanggungjawab Sosial
- Cabaran Keterlestarian Etika Dan Peradaban
Bengkel ini sangat penting kerana ia merupakan salah satu inisiatif dalam menyediakan pensyarah dengan maklumat dan bahan-bahan pengajaran berkaitan pelaksanaan pengajaran kursus Penghayatan Etika Dan Peradaban (UHMS 1182). Objektif bengkel ini adalah seperti berikut:-
- Melatih pensyarah-pensyarah dalam penyampaian kursus UHMS 1182 secara yang lebih berkesan agar ianya mencapai hasil pembelajaran kursus.
- Mempertingkatkan pengetahuan serta kemahiran pensyarah agar mereka lebih berkeyakinan dalam penyampaian kursus UHMS 1182.
- Menyelaras isi kandungan, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) serta penilaian bagi UHMS 1182.
Penghayatan Nilai dan Peradaban telah dijadikan satu kursus wajib universiti di UTM yang bermatlamat untuk memperkenalkan para pelajar dengan nilai yang baik dan positif.
Kursus ini diperkenalkan buat pertama kali bagi semester ini dan tujuan bengkel ini diadakan adalah juga untuk memenuhi keperluan latihan pengajaran agar dapat membantu pengajar-pengajar ini untuk menyampaikan kursus UHMS 1182 dengan lebih berkeyakinan dan berkesan selari dengan hasil pembelajaran kursus yang telah ditetapkan.
Ini kerana membangunkan pelajar yang mempunyai nilai yang baik dan positif adalah satu agenda penting untuk mempersiapkan mereka bagi menghadapi cabaran terutamanya dalam era Revolusi Perindustrian ini.
Penghayatan nilai membawa maksud pelajar akan mengenalpasti perbezaan antara nilai-nilai baik dan buruk dalam pelbagai konteks etika dan peradaban, dan dalam masa yang sama dapat menterjemahkannya dalam konteks di Malaysia. Pelajar juga akan memiliki kesedaran dalaman untuk memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai baik yang terdapat dalam etika dan peradaban dan sekali gus menjadi warganegara yang terdidik dan bertanggungjawab.
Melalui kursus ini pelajar yang bakal bergraduan kelak akan menjadi agen perubahan masyarakat yang mampu menjadikan penghayatan nilai yang baik dan positif sebagai cara hidup yang dapat membina sebuah masyarakat yang beretika dan berperadaban dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.
Mereka juga akan menjadi peneraju utama ke arah membina hubungan positif dan berkekalan sesama manusia, alam sekitar dan penciptanya.