Disember 23, 2024

WCC Terima Pengiktirafan Antarabangsa Sebagai ITU Centre of Excellence (CoE)

Wireless Communication Centre (WCC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sebuah Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dalam bidang teknologi 5G, telah menerima pengiktirafan peringkat antarabangsa sebagai ITU Centre of Excellence (CoE) atau Pusat Kecemerlangan ITU bagi rantau Asia Pasifik untuk tempoh empat tahun, dari tahun 2019 sehingga 2022.

Satu perjanjian kerjasama antarabangsa antara ITU dan UTM telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar dan Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU, Ms. Doreen Bogdan-Martin pada bulan Jun 2019 secara sirkulasi untuk merasmikan kolaborasi di bawah program ITU CoE.

Sebagai tanda pengiktirafan, ITU telah menganugerahkan sebuah plak kepada UTM.

Majlis turut dihadiri oleh Pengarah WCC, Prof. Dr. Jafri Din, Prof. Dr. Tharek Abd. Rahman (Ketua Permohonan ITU CoE) dan Prof. Madya Dr. Leow Chee Yen (Pengerusi Jawatankuasa ITU CoE).

Latar Belakang ITU and Pengiktirafan ITU CoE

ITU adalah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) yang bertanggungjawab terhadap isu-isu yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi, termasuk piawaian teknologi komunikasi mudah alih 3G, 4G dan teknologi 5G yang akan datang.

ITU CoE merupakan program pembangunan kapasiti flagship ITU untuk membina kapasiti dan membangunkan kemahiran dalam bidang ICT dan teknologi digital melalui institusi latihan berkualiti tinggi yang diiktiraf sebagai ITU CoE.  Program ITU CoE telah beroperasi sejak tahun 2001, dan mempunyai rangkaian CoE di rantau Asia Pacifik, Afrika, Amerika, Arab, CIS dan Eropah.

UTM merupakan satu-satunya universiti yang dipilih sebagai ITU CoE di kalangan 5 buah ITU CoE yang lain di rantau Asia Pasifik termasuk negara Korea Selatan, China, India, dan Iran yang terdiri daripada agensi kerajaan, pusat latihan dan pusat penyelidikan kebangsaan.

Plak ITU Centre of Excellence

 

Aktiviti-Aktiviti ITU CoE

Dengan status pengiktirafan ITU CoE, WCC UTM akan menawarkan kursus-kursus dalam bidang fokus Wireless & Fixed Broadband yang diiktiraf oleh ITU, kepada peserta tempatan dan antarabangsa.

Usaha ini adalah sejajar dengan strategi pendidikan berterusan dan transnasional di bawah Pelan Global Universiti. Status ITU CoE merupakan pengiktirafan bertaraf antarabangsa yang menyumbang kepada KPI universiti dari segi rangkaian dan jaringan antarabangsa, serta penjanaan pendapatan antarabangsa.

WCC UTM telah menjalankan kursus ITU CoE pertama yang bertajuk “Fifth Generation (5G) Technology, Opportunities and Challenges” dari 15-17 Oktober di UTM Kuala Lumpur lalu, manakala kursus ITU CoE kedua bertajuk “Human Exposure to Radio Frequency Electromagnetic Fields” telah dijalankan pada 3-5 Disember 2019 di KSL Hotel & Resort Johor Bahru.

Explore More