Disember 19, 2024

Tetap Cemerlang dalam Akademik, Nurul Shahirah ‘Gadis Aktiviti’ Gigih Sertai 43 Program Pembangunan Pelajar

Pemenang Anugerah Khas Pelajar Paling Aktif 2019 Turut Konsisten Dalam Akademik

Andai dihitung dari angka penglibatan beliau dalam program-program pembangunan pelajar anjuran UTM mahupun pihak luar, pasti ramai tertanya-tanya bagaimana agaknya pelajar ini mampu membahagikan masa dan rutin sehariannya.

Rekod Sistem Aktiviti Pelajar UTMACAD yang mencatatkan jumlah tertinggi 43 telah melayakkan Nurul Shahirah Zaihan dinobatkan pemenang Anugerah Khas Pelajar Paling Aktif dalam Majlis Gemilang Mahasiswa (GEMA) UTM 2019 baru-baru ini.

Lebih menakjubkan lagi, pelajar tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan (Kemahiran Hidup) ini turut konsisten dalam pencapaian akademiknya sepanjang 3 semester pengajiannya di UTM dengan memperoleh PNGK 3.75.

Anak ke-3 dari 3 beradik kelahiran Johor ini turut merupakan tonggak pasukan Debat UTM yang bertanding dalam Pertandingan Debat Diraja di UNIMAP pada 5-9 September 2019 lalu.

Bersama Pengarah Pembangunan & Aktiviti Pelajar, Prof. madya Dr. Azlan Abdul Latib di Majlis GEMA 2019

Selain aktif dalam aktiviti kokurikulum, beliau juga menyandang pelbagai jawatan antaranya Timbalan Exco Akademik Persatuan Mahasiswa Pendidikan (Pendidik) UTM, Pengerusi Debat Melayu Kelab Debat, Pidato Dan Pemikiran Kreatif (De’PIKIR), Setiausaha UKQU2512 Pertahanan Awam, Ketua Exco Akademik  Persatuan Mahasiswa Pendidikan (Pendidik) UTM dan yang terkini Ketua Unit Roadshows & Forums Student Union Task Force.

Mewakili pasukan Debat UTM di UNIMAP

Pada 2019 sahaja beliau menerima 7 anugerah seperti Kepujian Dekan di Majlis “Hi Tea” & Apresiasi Pelajar Cemerlang FSSH Semester 1 Sesi 2018/2019, Best Poster Presentation Award di We Care Day Program, Anugerah Produk Inovasi Berpotensi di Penyelidikan & Pembangunan Inovasi Teknologi Pemprosesan Makanan 2019, Anugerah Khas Tokoh Sumbangsih di Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2019 dan terbaru memenangi Pingat Gangsa dalam Pertandingan Reka Bentuk Gubahan Bunga, Projek Reka Bentuk Landskap 2019/2020.

Turut kerap mengacarakan majlis dan acara di fakulti

Bagi Nurul Shahirah, ibu dan bapa beliau, iaitu Latipah Jaiman dan Zaihan Abd. Majid adalah antara sumber inspirasi utama dan pemberi dorongan kepadanya dalam setiap apa yang diceburi. Menurutnya lagi beliau aktif dalam kelab debat sejak di bangku sekolah lagi.

“Aktiviti debat banyak membantu saya agar lebih berkeyakinan untuk berhujah di khalayak ramai.

Ia mendorong saya untuk aktif dalam kelas mengutarakan pandangan dan membentuk komunikasi dua hala di dalam bilik kuliah,” katanya.

Pegawai Penyelaras Pasukan Debat UTM, Iskandar Ishak berkata bakat Nur Shahira dikesan sejak awal lagi melalui pembabitan beliau dalam lakonan sketsa oleh pelajar baru ketika malam penutup Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) 2018/2019.

Bagi Pengarah Pembangunan & Aktiviti Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib pula kisah kejayaan dan kecemerlangan sebegini wajar dijadikan sebagai sumber inspirasi kepada mereka yang sedang berada di menara gading.

“UTM akan sentiasa menyediakan ekosistem terbaik kepada semua pelajar untuk membangunkan potensi masing-masing pada tahap tertinggi,” tambahnya lagi.

Sesungguhnya bukan mudah untuk menempa kejayaan, namun tiada apa yang mustahil. Seperti juga kisah-kisah lain, setiap apa yang diinginkan pasti punya pengorbanannya yang tersendiri.

Explore More