November 5, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 19 Jan. — Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Yahya bin Ali melahirkan penghargaan kepada sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr Muhammad Fathi bin Yusof dari Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atas sumbangan yang diberikan bagi merangka polisi penambahbaikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Laporan Akhir Kajian Pemantapan DUN Terengganu di Hotel Sama-sama, Sepang, Selangor pada Jumaat 17 Januari 2020.

Kajian yang melibatkan tujuh orang penyelidik dari UTM, UKM dan UPSI itu berjalan selama setahun bermula 1 Januari 2019.

Kajian tersebut menghasilkan tiga kertas polisi, modul latihan, dan karya asli sebagai rujukan.

Para penyelidik juga terlibat secara langsung dalam beberapa langkah pembaharuan seperti penubuhan Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan, Dokumen Pelan Strategik Induk DUN, dan Seminar Pemantapan ADUN.

Sebanyak 28 saranan, 64 cadangan inisiatif dan 76 cadangan pelan tindakan telah dikemukakan dalam kertas-kertas polisi yang dibentangkan.

Dato’ Yahaya menganggap bahawa hasil kajian ini amat berguna untuk dijadikan rujukan pembuat dasar bagi mewujudkan lonjakan besar kepada pembangunan DUN Terengganu.

“Saya menganggap bahawa dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh penyelidik ini sebagai satu dokumen asas atau blueprint kepada pengurusan DUN bagi melaksanakan tanggungjawab dan peranan.” ujar beliau dalam ucapan penghargaan.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Haji Hishamuddin Abdul Karim selaku anggota JK Pengurusan Dewan dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datin Prof Madya Nooraini Othman, yang mewakili Dekan FTIR UTM, para anggota penyelidik iaitu Prof. Datin Dr. Faridah Jalil, Dr. Nurhafilah Musa dari Fakulti Undang-undang, UKM, Prof Madya Dr Mohd Nazri Mahrin dari FTIR UTM, Dr. Muhamad Sayuti Hassan @ Yahaya dan Dr. Nizamuddin Alias dari Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI, serta bekas Timbalan Speaker Selangor Tuan Haji Shafie bin Ngah.

Cadangan dan saranan yang dikemukakan dalam kertas polisi adalah selari dengan hasrat DUN Terengganu untuk menjadi dewan perundangan yang terunggul di Malaysia.

Antara cadangannya ialah untuk meningkatkan peranan DUN sebagai institusi semak dan imbang, menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Kesejahteraan Rakyat, mengukuhkan program pendidikan untuk ADUN, mengoptimum penggunaan teknologi dalam komunikasi dan pengurusan maklumat, membuat semakan menyeluruh ke atas peraturan tetap dewan, dan merapatkan hubungan institusi DUN dengan rakyat melalui pendidikan politik.

Explore More