JOHOR BAHRU, 29 Nov. — Institusi Pembangunan Felow (IPF), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Bahagian Mahasiswa Holistic (BMH), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pembangunan Mahasiswa dan Mahasiswa Kurang Upaya 2019 (ICoSD) bertempat di Hotel KSL, di sini.

Bertemakan “Meningkatkan Penglibatan Kepelbagaian Dan Meraikan Keterangkuman”, ICoSD menghimpunkan 50 penyelidik dan 150 pelajar yang terdiri dari 40 pelajar kurang upaya temasuk mahasiswa antarabangsa dari kira-kira 10 buah negara bagi membincangkan pembangunan pelajar yang lebih bersifat inklusif.

Penganjuran ICoSD adalah bertujuan untuk menyediakan platform kepada para penyelidik yang berkaitan dengan pembangunan mahasiswa untuk menghasil, membentang dan menerbitkan kajian mereka.

Ia juga bertujuan untuk menjana idea dalam memperkasakan mahasiswa dan mahasiswa kurang upaya bagi memenuhi peranan dan cabaran institusi pengajian tinggi, industri dan badan profesional dalam era globalisasi dalam mencapai negara maju.

Selain itu melalui ICoSD juga pelbagai resolusi yang boleh mempertingkatkan penglibatan golongan pelajar kurang upaya dalam pendidikan negara serta polisi yang dibangunkan dapat dibentangkan.

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal bin Mohd Amin.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar UTM, Professor Dr. Durrishah binti Idrus.

Persidangan tersebut dibahagikan kepada beberapa aktiviti utama seperti pembentangan kertas kerja dan perbincangan secara berkumpulan.

Antara topik yang dibincangkan ialah kebolehpasaran pelajar, kelestarian, penglibatan dalam komuniti, revolusi industri 4.0, kesukarelawan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan ehwal mahasiswa.

Penglibatan pemegang taruh seperti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, OKU sentral, UTM-MTDC Technology Centre dan Institut Akauntan, Malaysia telah memberi input yang berkesan terutamanya dalam perbincangan secara berkumpulan.

Antara pengucap utama dalam persidangan ini ialah Prof. Dr Mohd Cairul Iqbal bin Mohd Amin, Prof. Dr Ruzita binti Mohd Amin dari Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia, Dr Ahmad Shamsuri bin Muhamad dari Universiti Malaya dan Dr Justin Lee dari National University, Singapura.

Dalam sesi forum yang membincangkan kesamarataan suasana kerja bagi golongan kurang upaya pula, panel yang dijemput ialah Cik Amy Seok dari Money Compass Sdn Bhd, En Nghiem Dinh Dat pelajar sarjana Universiti Malaya dan Dr Ahmad Shamsuri bin Muhamad manakala Dr Abdullah bin Mohd Nawi dari UTM bertindak sebagai moderator.

Pada akhir persidangan ini, hasil perbincangan tersebut akan diangkat sebagai satu resolusi yang dibentangkan dan disalurkan kepada pihak-pihak yang berkenaan.