April 27, 2024

Search
Close this search box.

Sambutan Bulan Sukan Negara 2019 Peringkat Daerah Johor Bahru

Institute of Human Centered Engineering (iHumEn) dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru di bawah Kementerian Belia dan Sukan telah menganjurkan Sambutan Bulan Sukan Negara 2019 Peringkat Daerah Johor Bahru pada 19 Oktober yang lalu di Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.

Program ini yang telah dirasmikan oleh Pentadbir Tanah Daerah Johor Bahru, Tn. Haji Natahza Hariss, dihadiri oleh kira-kira 200 peserta dari sekitar Johor Bahru.

Berteraskan objektif utama Bulan Sukan Negara, program ini diadakan bagi memupuk budaya sukan dalam kalangan masyarakat, meningkatkan pengetahuan sukan di samping membangunkan ekonomi negara.

Turut hadir bersama adalah pengarah iHumEn, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Dato. Ir. Dr. Mohammed Rafiq Dato’ Abdul Kadir serta Cik Belinda Michelle Anak Benedict selaku Pegawai Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru.

Antara aktiviti yang telah dijalankan pada hari tersebut ialah 5km Fun Run, Virtual Run, aerobikton, pertandingan aerodance, Fitness Challenge, Family Fun Games, ceramah kesihatan dan pemeriksaan kesihatan yang menyasarkan penyertaan bukan sahaja dalam kalangan belia, malah juga dari wanita, keluarga dan kanak-kanak sejajar dengan kumpulan sasaran Bulan Sukan Negara 2019.

Dalam pada itu, turut diadakan Majlis Pelancaran Aplikasi ‘KAKIRUN’ oleh Ketua Pegawai Perubatan Kelab Bola Sepak JDT, Dr. Abdul Razak bin Ahmad, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Penyelidikan Bersekutu Smart Digital Community UTM, Prof. Dr. Kamalrulnizam bin Abu Bakar.

Aplikasi ‘KAKIRUN’ yang kini boleh dimuat turun dari aplikasi Google Play Store dan Apple App Store berobjektif untuk menyemarakkan pembudayaan digital secara holistik bagi mendaya upaya modal insan kreatif dan inovatif serta menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan cara hidup sihat.

“Namun, apa yang lebih signifikan disini ialah kejayaan melancarkan aplikasi ini sebagai menifestasi dari semangat setiakawan, semangat muafakat dan kesungguhan untuk mencapai sesuatu tujuan yang sama- sama dikongsi oleh semua pihak iaitu untuk menjadikan aplikasi ini sebagai satu langkah untuk menghadapi cabaran era digital” kata Dr. Abdul Razak sewaktu ucapan perasmian pelancaran aplikasi KAKIRUN.

Aplikasi ini juga digunakan untuk pertandingan virtual run Sambutan Bulan Sukan Negara 2019 Peringkat Daerah Johor Bahru, yang bermula pada 19 Oktober 2019 sehingga 18 November 2019 dimana peserta boleh mengumpulkan jarak larian sehingga 21.125km dengan mendapatkan masa terpantas.

 

Explore More