Seramai 32 orang pelajar Tahun 3 kursus Pemasaran Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah turun pandang menjayakan program khidmat komuniti di Pangsapuri Merak, Kangkar Pulai.

Program yang bertemakan Komuniti Digital Beretika ini adalah sebahagian daripada projek komuniti perintis Bangsa Johor Bahagia (BJB) yang diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johar dan Duli Yang Maha Mulia Permasuri Johor, dengan hasrat untuk membantu meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah di negeri Johor.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya kemahiran di dalam pemasaran digital, kesedaran penggunaan sosial media dan gajet di kalangan kanak-kanak dan pembangunan kemahiran kreatif.

Di samping itu, pelajar turut memberikan penerangan berkenaan pelayar web selamat yang boleh dilayari oleh kanak-kanak seperti Kiddle dan KidRex.

Ibu bapa turut didedahkan dengan perisian kawalan yang boleh diinstalasi di telefon pintar dan komputer peribadi seperti MMGuardian. Badan NGO IKRAM juga turut terlibat sama dengan mengadakan program bimbingan solat untuk kanak-kanak.

Dengan adanya program ini dapat mengukuhkan lagi hubungan antara universiti dan komuniti dengan penyaluran terus ilmu sejajar dengan agenda ‘Universiti Untuk Masyarakat’.

Program ini adalah anjuran bersama kumpulan penyelidik Information & Service Systems Innovation (ISSIRG), UTM.

Para pelajar bergambar bersama Ahli Jawatankuasa Perbadanan Merak

 

Pelajar sedang menerangkan salah satu perisian kawalan ibu bapa kepada penduduk