April 23, 2024

Search
Close this search box.

Identiti Mahasiswa Menang Besar Pilihan Raya Kampus UTM 2019/2020

Pilihan Raya Kampus UTM Sesi 2019/2020 Lakar Sejarah Kali Pertama Diurus Oleh ‘Suruhanjaya’ Pelajar

JOHOR BAHRU, 4 Dis. — Sejarah baru dilakar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila pilihan raya kampus (PRK) bagi memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti ini buat julung kalinya diuruskan sepenuhnya oleh sebuah ‘suruhanjaya’ pelajarnya.

Suruhanjaya yang dinamakan Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (CEC) tersebut dianggotai seramai 33 pelajar terpilih yang turut melibatkan pelajar antarabangsa dari India dan Pakistan bagi mengurus dan memantau perjalanan pilihan raya ini.

Menariknya, berbanding kebanyakan universiti awam di negara ini, UTM membenarkan pelajar antarabangsa dan juga Pasca Ijazah (peringkat Doktor Falsafah dan Sarjana) bukan sahaja mengundi malah layak bertanding sebagai calon di kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Ini selaras dengan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia pada September 2018 lalu di mana pelajar perlu diberi laluan seluas-luasnya untuk mengendalikan PRK secara telus dan bebas mengikut acuan kepimpinan mereka dalam misi pemerkasaan pelajar.

Penglibatan pelajar dalam CEC ini bakal membentuk mereka menjadi insan yang kuat dan serba boleh serta membentuk mahasiswa holistik bagi menempa masa hadapan mereka untuk membina kerjaya.

Selain mendapat panduan dan bimbingan dari universiti, CEC yang dibantu oleh 200 orang sekretariat ini turut mendapat pendedahan serta simulasi melalui sesi latihan teori di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, Putrajaya.

Bagi PRK sesi pengajian akademik sesi 2019/2020 UTM ini, sebanyak 36 kerusi dipertandingkan untuk direbut oleh calon mahasiswa UTM bagi menempatkan diri menjadi ahli MPP.

Dari jumlah kerusi tersebut, 9 kerusi umum dipertandingkan iaitu 7 di UTM Kampus Johor Bahru dan 2 di UTM Kampus Kuala Lumpur manakala 27 kerusi fakulti/sekolah melibatkan 21 di UTM Kampus Johor Bahru dan 6 di UTM Kampus Kuala Lumpur.

Sesi pengundian dimulakan seawal jam 9:00 pagi melibatkan 23,032 orang pelajar di kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur dan ditutup jam 5:00 petang manakala keputusan diumumkan jam 10:00 malam.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan pertandingan tiga penjuru pasukan atau parti utama iaitu Identiti Mahasiswa (IM), Aliansi Mahasiswa Progresif (AMPro) dan Bebas.

Dalam semua kerusi yang dipertandingkan, Identiti Mahasiswa (IM) telah mencatat kemenangan sulung bergaya dengan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan, iaitu 5 Kerusi Umum dan 8 Kerusi Sekolah/Fakulti.

Mohammad Saiful Faez bin Ishak

Pemenang undian tertinggi, Mohammad Saiful Faez bin Ishak yang memenangi Kerusi Umum berkata, dalam masa terdekat ini, IM akan menyusun semula pentadbiran serta pengurusan pelajar dan memperhalusi pelbagai isu untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar yang telah memilih mereka.

Beliau meraih 6,043 undi dari jumlah keseluruhan 43, 623 undi kerusi umum di UTM Kampus Johor Bahru.

Seorang lagi pemenang, Nurul Aina binti Saifudin berkata kemenangan mereka adalah hasil kerja keras berkempen seperti rapat umum (Meet & Greet) dan turun padang mendengar permasalahan pelajar.

Nurul Aina binti Saifudin

“Kami telah melakukan yang terbaik dan selebihnya kami serahkan kepada Allah.

IM merupakan gerakan suara mahasiswa yang telah dua tahun memperjuangkan suara-suara pelajar.

Oleh itu, dengan kemenangan ini memberi kami semangat juang yang lebih tinggi untuk terus menjadi suara pelajar dalam membantu menyelesaikan masalah serta isu-isu serta memperjuangkan kebajikan pelajar,” kata beliau. 

Sementara itu di Kampus Kuala Lumpur, pemenang kepada dua kerusi umum yang dipertandingkan ialah Chee Weng Kee dan Mohammad Sufri bin Mohd Shukor.

Selain itu 15 kerusi sekolah/fakulti di UTM Kampus Johor Bahru dan 6 di Kampus Kuala Lumpur turut selesai dipertandingkan di mana kebanyakan kerusi adalah menang tanpa bertanding.

Di Kuala Lumpur, Insitut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) menyaksikan kemenangan Nur Fazreen binti Azman dan Salehuddin bin Abd Latif dengan menewaskan seorang lagi calon lain manakala Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE), Muhd Arif bin Mahmood dan Muhd Amirul Sulaiman bin Kamal Mehra, kedua-duanya program Diploma mencatat kemenangan Berjaya menepikan dua lagi calon lain.

PRK kali ini turut mencatat sejarah apabila salah seorang calon dari program Doktor Falsafah, Muhammad Irfan Sheeraz dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim mencatat kemenangan bagi kerusi fakulti.

Sementara itu, Pengerusi CEC, Mohamad Fitri bin Mazlan menyeru semua pemenang untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik.

Menurut beliau, CEC akan sentiasa bekerjasama dengan barisan MPP baharu dalam usaha untuk memupuk minat pelajar UTM dari segi kepimpinan dan pembentukan sahsiah.

“Melalui PRK ini, kita lihat sambutan pelajar masih kurang berimpak.

Oleh itu selepas ini perbincangan bersama perlu dilakukan agar dapat memberi semangat kepada pelajar-pelajar UTM untuk melahirkan pelajar yang berwibawa demi masa depan negara,”tambah beliau.

Menjelang hari pilihan raya, pelbagai kempen telah diadakan oleh ketiga-tiga pasukan bertanding bermula dari hari penamaan calon pada 27 November lalu di seluruh sekitar kampus dengan menonjolkan pelbagai manifesto menarik.

Selain itu pasukan CEC juga turut mengadakan sesi kempen ‘Jom Turun Mengundi’ di UTM Bazaar bertujuan mempromosi hari pilihan raya dan mengajak semua warga UTM turun mengundi yang mana turut menjadi medan beberapa calon bertanding untuk berkempen.

Barisan pemenang dari Identiti Mahasiswa
Pemenang dari Identiti Mahasiswa Bersama barisan CEC
Barisan Sekretariat CEC
Suasana semasa pengiraan undi dijalankan

 

 

 

 

Explore More