April 26, 2024

Search
Close this search box.

Gol ‘Epik’ Pelajar UTM, Azkiyyah Wahida Dzulkifli Curi Perhatian Dunia

Bekas penjaga gol terkemuka pasukan bola sepak wanita Amerika Syarikat, Hope Solo turut ‘terjebak’

JOHOR BAHRU: Media antarabangsa dan netizen bukan sahaja kagum dengan gol ajaib jaringan pelajar UTM, Azkiyyah Wahida Dzulkifli malah menyifatkan ianya layak diiktiraf sebaris dengan Mohd Faiz Subri yang merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) untuk jaringan gol paling cantik pada tahun 2016.

Tweet dari akaun rasmi FIFA Women’s World Cup

Rakaman video yang berdurasi selama 9 saat di twitter milik Dr. Nur Fadilah Darmansah, Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan itu menjadi tular selepas satu gol daripada perlawanan tersebut dijaringkan dengan kelainan tersendiri dan mungkin tidak pernah berlaku di mana-mana.

Dr. Nur Fadilah Darmansah

Bukan itu sahaja, apa yang lebih menarik lagi adalah rakaman video tersebut turut mendapat perhatian daripada akaun Twitter rasmi bagi Piala Dunia Bola Sepak Wanita @FIFAWWC.

Antara yang ‘terjebak’ menitipkan komen di laman twitter ialah bekas penjaga gol terkemuka pasukan bola sepak wanita Amerika Syarikat, Hope Solo. Solo yang mewakili Amerika Syarikat antara tahun 2000 hingga 2016 serta menjuarai Piala Dunia selain memenangi 2 emas Olimpik itu secara berjenaka menyifatkan gol itu sememangnya layak untuk dinobatkan sebagai ‘Goal of the Year 2019’.

Penjaga Gol legenda boasepak wanita Amerika Syarikat, Hope Solo

Menyorot kembali detik ‘rare’ tersebut, Azkiyyah yang juga pelajar tahun 4 Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan berkata perlawanan futsal itu merupakan pertandingan anjuran Persatuan Biomedical Engineering and Health Science (BIOMEHS) dari Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan yang bertujuan memantapkan sinergi di antara pelajar dan pensyarah. Perlawanan futsal wanita itu berlangsung di gelanggang bola keranjang Kolej Kediaman Tun Fatimah dan bukannya gelanggang futsal sebenar.

Menyifatkannya sebagai antara detik paling lucu dalam hidup, beliau juga tanpa berselindung tidak menyangka gol tersebut mampu menarik perhatian ramai kerana sepakan itu hanyalah aksi yang tidak disengajakan.

“Kalau perlawanan dimainkan di gelanggang futsal sebenar pasti kita tak dapat ‘moment’ ini,” selorohnya lagi.

Penjaring gol ajaib, Azkiyyah Wahida Dzulkifli

Lebih menarik lagi perlawanan itu hanya dapat dimainkan semula selepas tergendala hampir 3 minit untuk menghentikan hilai ketawa semua pemain kedua-dua pasukan.

Hasil daripada tweet yang dibuat oleh akaun Twitter rasmi Piala Dunia Bola Sepak, perkongsian Dr. Nur Fadillah yang juga Felo Kolej Kediaman Tun Fatimah (KTF) pada 7 Disember 2019 itu telah membuatkan video tersebut mendapat tontonan sebanyak lebih dari 860,000 tontonan, 26,700 ulang ciap dan 22,600 ‘like’ pengguna twitter.

Para netizen di media sosial juga turut tidak ketinggalan untuk menikmati video tersebut memenuhi ruangan komen.

Azkiyyah (berdiri paling kanan) bersama pasukan futsal Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan

Akhbar Harian Metro pada 8 Disember 2019 menyiarkan berita ini dengan tajuk ‘Jaringan luar biasa Azkiyyah’.

Antara komen lucu di laman twitter FIFAWWC

 

 

Explore More