April 18, 2024

Search
Close this search box.

Sahut inisiatif UTMPrihatin dan suburkan budaya memberi dalam kalangan komuniti UTM

Pasukan penganjur Festival Konvokesyen ke-62 Universiti Teknologi Malaysia (FESKO-62) mencipta sejarah tersendiri setelah menyumbangkan wang tunai berjumlah RM110,000, amaun terbesar pernah disumbangkan oleh penganjur FESKO kepada universiti.

Sumbangan itu diserahkan bersempena Majlis Perhimpunan Bulanan Naib Canselor pada 20 November 2019 yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Jumlah sumbangan tersebut diagihkan kepada 4 tabung berasingan dengan Tabung Endowmen sebagai penerima terbesar iaitu RM 50,000 manakala Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej 9&10, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tun Razak dan program ‘signature’ UTM iaitu 5 Excellence Tracks Programme (5ETP) masing-masing menerima RM 20,000.00.

FESKO-62 telah berlangsung pada 23 April hingga 2 Mei 2019 melalui sinergi mantap antara Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej 9&10,  Jawatankuasa Kolej Mahasiswa(JKM) Kolej Tun Razak dan 5 Excellence Tracks Programme (5ETP).

Penganjurannya juga berjaya memecah rekod dengan kutipan pendapatan kasar mencecah RM 950,000.00 hasil daripada jualan 240 lot gerai, sumber penajaan dan kutipan yuran aktiviti yang berlangsung sepanjang festival.

Pengetua Kolej Tun Razak, Dr. Norhanim Abdul Samat menerima cek sumbangan bagi Tabung JKM kolej tersebut

Timbalan Naib Canselor (HEP), Prof. Dr. Durrishah Idrus jelas begitu gembira dengan langkah prihatin pasukan FESKO-62 ini dan menyifatkan ia penting dalam menyuburkan budaya memberi dan melahirkan filantropi dalam kalangan komuniti UTM.

“Selain jumlah RM110,000.00 ini sebenarnya FESKO-62 juga secara tidak langsung menyumbang semula kepada UTM melalui caj sewaan ruang, fasiliti, servis dan peralatan yang angkanya mencecah RM37,551,” katanya lagi.

Pengarah FESKO-62, Mohd. Zaiful Zulhizman Mohd. Zaney menyampaikan cek sumbangan kepada Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar bagi Tabung Endowmen manakala Timbalan Naib Canselor (HEP), Prof. Dr. Durrishah Idrus untuk Tabung 5ETP.

Sumbangan kepada Tabung Jawatan Kuasa Mahasiswa (JKM) Kolej Tun Razak dan Kolej 9/10 masing-masing diterima oleh Pengetua terlibat iaitu Dr. Norhanim Abdul Samat dan Dr. Abd Rahman Tamuri.

Mohd. Zaiful berkata sumbangan tersebut sebagai tanda terima kasih kepada UTM yang sentiasa menggalakkan program keusahawanan pelajarnya selain sokongan penuh sepanjang penganjuran program yang menggamit lebih 100,000 pengunjung itu.

“Ia juga sebagai satu tanda penghargaan kerana memberikan kepercayaan kepada kami menganjurkan program berprestij dan mempunyai jenama tersendiri seperti FESKO ini,” tambah pelajar tahun 3 jurusan Sarjana Muda Sains Biologi Industri lagi.

Tonggak pasukan FESKO-62 Muhammad Nur Imran (2 dari kiri), Mohd. Zaiful (4 dari kiri) dan Nazran Afiq (5 dari kiri) bersama Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (HEP) dan Timbalan Pendaftar Kanan (HEP), Hj. Dahari Derani (paling kiri)

Sementara itu Bendahari FESKO-62, Muhammad Nur Imran Abdul Rashid berharap sumbangan ini dapat merancakkan lagi aktiviti pelajar di UTM dan seterusnya menjadi pemangkin kepada penganjur acara-acara lain untuk menyumbang kepada universiti.

“Kami juga berharap agar hak penganjuran FESKO terus diberikan kepada pelajar,” ujarnya yang turut merupakan presiden pelajar bagi program 5 ETP yang lebih mesra dikenal sebagai ‘Apple’.

 

 

 

Explore More