Disediakan oleh: Noraini binti Rusbadrol dan Mohamed Ayyub Bin Hassan

Seramai 137 orang pelajar dalam kalangan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperoleh ilmu persediaan menghadapi alam pekerjaan apabila menyertai program ‘How to Get Yourself Employed (HTGYE)’ anjuran Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), dengan kerjasama UTMAlumni dan Pejabat Pengajian Pra Siswazah, UTM pada 17 dan 24 September serta 23 November lalu.

Antara objektif utama program ini adalah untuk menganjurkan beberapa siri ceramah dan sesi latihan temu duga kepada pelajar Program Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dan Program Sarjana Muda Sains Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia dengan penglibatan pihak alumni SHARPS dan industri. Program ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar universiti mengenai teknik terbaik dalam persediaan sebelum menghadiri temuduga.

Pada program kali ini seramai 12 orang panel penemuduga dalam kalangan staf UTM dan pelbagai syarikat swasta seperti Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB), Pengerang Terminals Sdn. Bhd., Agensi Pekerjaan Inter Island Sdn. Bhd., University of Southampton – Malaysia Campus, Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd., Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC), dan Vistra Corporate Services (Malaysia) Sdn. Bhd. berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dengan para pelajar dari SHARPS.

Lebih membanggakan 6 daripada 12 orang panel penemu duga ialah Alumni UTM.

Pelajar membuat persediaan sebelum sesi latihan temuduga bermula

Memandangkan kebanyakan pelajar menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tertiari sejurus selepas tamat sekolah menengah, mereka tidak mempunyai pengalaman kerja apatah lagi pengalaman menghadiri mana-mana sesi temuduga sebenar di industri.

Maka, tidak dinafikan, masih ramai pelajar yang kurang berpengahuan serta tidak mengetahui cara-cara yang terbaik dalam menghadiri dan mengendalikan diri secara profesional semasa sesi temuduga.

Memandang serius isu ini, sesi lanjutan bagi program HTGYE ini dianjurkan sebagai salah satu usaha UTM bagi membantu serta meningkatkan tahap kebolehpasaran pelajar setelah bergraduan nanti.

Pelajar dalam sesi latihan temu duga

 

Penglibatan pihak industri dan alumni SHARPS dalam sesi latihan temuduga ini bukan sahaja memberi pengalaman berharga kepada pelajar, malah ia turut memperlengkapkan diri pelajar dengan tips persiapan awal sebelum menghadiri temuduga, semasa menghadiri temuduga, dan selepas selesai ditemuduga.

Pengalaman serta ilmu-ilmu ini sangat bermanfaat dalam membantu pelajar mempersiapkan diri untuk menghadiri temuduga dengan penuh keyakinan sekaligus membuat persediaan menghadapi alam pekerjaan.