Disember 26, 2024

Jurusan Pendidikan, Perniagaan dan Ekonomi serta Sains Sosial UTM terbaik di Malaysia

Bidang pengajian dalam jurusan pendidikan, perniagaan dan ekonomi serta sains sosial UTM kini semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan dari pelbagai pihak sama ada di peringkat Malaysia atau dunia.

Berdasarkan keputusan Times Higher Education (THE) World University Rankings by subject (2020) yang baharu diumumkan baru-baru ini, UTM menduduki tangga pertama dalam kalangan semua universiti awam dan swasta bagi bidang pendidikan, perniagaan dan ekonomi serta sains sosial.

UTM telah berjaya memperbaiki pencapaian dalam ketiga-tiga bidang ini dengan bidang pendidikan telah mencatatkan peningkatan yang sangat cemerlang iaitu dari kedudukan 201-250 di dunia pada tahun 2019 kepada tangga ke 101-125.

Ini menunjukkan komitmen tinggi pensyarah sebagai pendidik serta usaha universiti dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran membuahkan hasil yang cemerlang.

Selain bidang pendidikan, bidang perniagaan dan ekonomi pula meningkat daripada 201-250 kepada tangga 125-150. Bidang sains sosial juga telah mencatatkan prestasi yang amat memberansangkan apabila menduduki tangga 201-250.

Penilaian ini dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama iaitu sitasi, penyelidikan, pengajaran, pendapatan daripada industri dan international outlook.

Menurut Naib Canselor, Prof Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar, pencapaian ini jelas menunjukkan kualiti pengajaran, penyelidikan dan pelbagai elemen akademik lain dalam ketiga-tiga bidang ini di UTM kini telah semakin mendapat perhatian di kalangan warga akademik, para pelajar dan masyarakat di peringkat negara dan dunia.

Peningkatan ini berjaya dicapai menerusi komitmen dan kesungguhan warga akademik, pentadbiran dan para mahasiswa UTM dalam memastikan ekosistem pendidikan UTM sentiasa berpaksikan kepada kecemerlangan tanpa mengabaikan falsafah UTM dalam menyumbang ke arah kesejahteraan sejagat.

Sebagai makluman, Times Higher Education (THE) merupakan penyedia data yang membuat analisis kecemerlangan universiti-universiti di seluruh dunia berdasarkan beberapa kriteria utama.

Sistem penilaian yang dibuat akan memberikan maklumat prestasi terperinci di bidang-bidang utama dan aktiviti universiti, serta membolehkan penandaarasan terhadap institusi lain yang merentasi wilayah, subjek dan kriteria utama lain.

Untuk World University Ranking, THE kini menilai lebih 2,100 universiti di seluruh dunia dengan 1 juta data merentasi 2,600 universiti dan institusi pendidikan tinggi di lebih 90 buah negara di seluruh dunia.

Oleh Ahmad Hilman bin Borhan @ Rohan

Explore More