April 24, 2024

Search
Close this search box.

Tangkas di Gelanggang, Cemerlang di Bilik Kuliah, Nurfariha Bintang Sukan Negara Graduan MK63 UTM

Bintang Bola Jaring Negara Nurfariha Abdul Razak Antara Graduan Cemerlang Majlis Konvokesyen ke-63 UTM

Nurfariha bersama Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hj. Hashim

JOHOR BAHRU, 4 Nov. —  Tangkas di gelanggang, bijak di bilik kuliah.

Keistimewaan atlet bola jaring  negara, Nurfariha Abdul Razak yang muncul antara graduan cemerlang dalam Majlis Konvokesyen ke-63 UTM sememangnya jarang dimiliki mana-mana individu.

Beliau yang sedang membuat persiapan rapi bersama skuad bola jaring negara bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina tidak lama lagi, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hj. Hashim pada sesi pertama majlis yang disempurnakan oleh Tuanku Permaisuri Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Beliau yang juga merupakan pelajar program ‘signature’ UTM iaitu 5 Excellence Tracks Programme (5ETP) dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dalam Majlis Konvokesyen ke-63 UTM yang berlangsung selama empat hari dari 2 hingga 5 November 2019.

Seramai 2,854 graduan UTM menerima Ijazah Sarjana Muda dan Diploma masing-masing dalam majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Untuk rekod, pelajar-pelajar 5ETP kerap mendominasi anugerah-anugerah utama dalam Majlis Konvokesyen UTM yang lalu antaranya Foo Shi Hao (Anugerah Pelajaran DiRaja 2015), Siti Aishah Reduan (Anugerah Naib Canselor 2015), Jason Ang Wei Lung (Anugerah Naib Canselor 2018), Wan Nur Izzaty (Anugerah Naib Canselor 2018) dan Aina Hazimah Bahaman (Anugerah Institut Kimia Malaysia 2018).

Atlet kelahiran Johor Bahru ini merupakan tonggak skuad bola jaring negara yang memenangi pelbagai kejuaraan antaranya Kejohanan Bola Jaring Asia di Thailand pada 2016, Temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sri Lanka Invitational Netball Tournament 2018 selain pernah memenangi anugerah pemain terbaik dalam beberapa pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antara tonggak skuad negara ketika memenangi emas di Suka SEA 2017

Bagi Nurfariha, kesibukan berlatih dan menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa menuntut disiplin yang tinggi selain kemahiran mengatur masa termasuk berbincang dengan pensyarah dan penasihat akademik (PA).

Ketika ditanya apakah rahsia atau ‘tips’ yang boleh dikongsi dengan pelajar lain, beliau menjelaskan bahawa tiada jalan pintas dalam mengejar kejayaan kecuali melalui usaha keras dan cekal dalam setiap perkara.  Katanya, selain dorongan pensyarah, rakan sekuliah juga banyak membantu terutama ketika beliau tidak dapat hadir ke kuliah bagi menyertai pertandingan.

Setelah aksi final di Sri Lanka Invitational 2019

“Kepada pengurusan universiti, pensyarah dan semua warga UTM, kami ingin mengucapkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan dan jasa kalian sehingga kami berjaya menamatkan pengajian di UTM Sanjungan Bangsa ini”, katanya dalam sesi ucapan sebagai wakil graduan dalam Majlis Konvokesyen UTM Sesi ke-5 pada 4 November 2019.

Bagi Nurfariha, penerimaan anugerah berkenaan pastinya sesuatu yang menjadi kenangan manis setelah terpaksa menangguhkan pengajiannya selama setahun bagi mengikuti latihan pusat sebagai persediaan menghadapi temasya temasya Sukan SEA ke 29 yang telah berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 2017.

Beliau yang merupakan graduan Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) berjaya membantu pasukan bola jaring negara merangkul pingat emas temasya sukan berkenaan.

Menurut Nurfariha, beliau perlu berkorban kerana komitmen sebagai atlet negara menuntut beliau meluangkan masa yang lebih di lapangan sukan sehingga menyebabkan beliau perlu berhempas pulas menyiapkan tugasan pengajian lebih awal berbanding rakan-rakan yang lain.

“Pembahagian masa merupakan antara cabaran terbesar bagi saya seperti perlu menghadiri latihan pusat di Kuala Lumpur selama seminggu setiap bulan, namun bagi saya, sekiranya kita mahukan sesuatu, kita perlulah berusaha untuk mendapatkannya”, kata beliau.

Seramai enam graduan terpilih memberi ucapan mewakili graduan sesi masing-masing dalam konvokesyen kali ini.

Bersama pelajar UTM yang memberi sokongan ketika Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata, UTM sangat  berbangga dengan pencapaian Nurfariha dan berharap ia akan memberi inspirasi bukan sahaja kepada mahasiswa UTM malah generasi muda di negara ini untuk mencipta kejayaan mengikut potensi diri.

“UTM akan sentiasa berusaha untuk menghasilkan pelajar cemerlang dalam sukan dan akademik seperti Nurfariha,” katanya.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Dr. Mohamad Shah Kassim yang juga Penasihat Akademik (PA) kepada Nurfariha

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Dr. Mohd Shah Kassim, Nurfariha sememangnya berada dalam sasaran pihak fakulti untuk mendapat keputusan cemerlang berdasarkan komitmennya membahagikan masa antara latihan dan belajar.

Walaupun sentiasa sibuk mengikuti latihan dan pertandingan bersama skuad bola jarring kebangsaan, beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar.

“Nurfariha merupakan pelajar yang cemerlang sejak dari hari pertama  melalui penglibatan aktifnya di dalam bilik kuliah selain rekod cemerlangnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim, Johor dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang,” tambah beliau yang juga Penasihat Akademik kepada Nurfariha.

Pegawai Belia & Sukan UTM, Rahmah Yusak pula berpendapat atlet serba boleh seperti Nurfariha sangat ‘rare’ dan tidak muncul selalu.

Walaupun berstatus ‘bintang’, beliau sentiasa bersedia membantu rakan-rakan lain untuk bersama mengejar kejayaan.

“Di sebalik kehebatan beraksi di dalam gelanggang, Fariha sebenarnya mempunyai bakat besar dalam seni muzik dan suara yang lunak selain mahir memetik gitar,” ujarnya lagi yang merupakan penyelaras pasukan bola jaring UTM.

Bersama Pegawai Belia & Sukan, Rahmah Yusak (tengah) selepas aksi menentang Filipina di Sukan SEA 2017

Perkara sama dikongsikan oleh rakan sepasukannya di UTM dan skuad bola jaring negara iaitu  Noor Azilah Aziz, pelajar dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan.

Beliau berharap kisah kejayaan Nurfariha akan menjadi insipirasi kepada pelajar lain untuk mencipta kejayaan dalam apa juga bidang.

“Saya sangat gembira dan bangga dengan pencapaian beliau,” katanya lagi yang juga pemenang Anugerah Ikon Siswa Johor (Kategori Sukan & Kebudayaan) 2018.

Rakan sepasukan di UTM dan skuad kebangsaan Noor Azilah Aziz (kanan)

 

Biodata Ringkas Nur Fariha Abdul Razak:

Nama ibu bapa:

Faridah Mukari, Abdul Razak Abdul Jalil

Tarikh Lahir: 11 Julai 1995 (24 tahun)

Tempat Lahir: Johor Bahru

Hobi: Bermain alat muzik, menyanyi, melancong

Sukan: Bola jaring

Posisi: Tengah

Pendidikan:

  • Sekolah Kebangsaan Taman Suria, Johor
  • Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim, Johor
  • Kolej Matrikulasi, Pulau Pinang
  • Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor

Explore More