Disember 27, 2024

Program “Reuse, Reduce and Reinvent – Creative & Critical Thinking Camp (3R3C) 2019” di Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai 2 

Disediakan oleh: Azra Ayue Abdul Rahman, Siti Rokiah Siwok, Salwa Abdul Patah dan Wan Mohd Azam Wan Mohd Yunus.

Sekumpulan pensyarah dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan telah menganjurkan satu program libatsama komuniti bertempat di Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai 2 (SKKP 2), Johor.

Program yang bertemakan kreativiti dan pemikiran kritis berkaitan pemeliharaan alam sekitar melalui pendekatan kitar semula ini berlangsung secara berterusan melibatkan tiga siri utama sepanjang tahun 2019.

Program ini melibatkan barisan pensyarah SHARPS seperti Dr. Azra Ayue Abdul Rahman, Dr. Siti Rokiah Siwok, Dr. Salwa Abdul Patah dan Dr. Wan Mohd Azam Wan Mohd Yunus.

Ia mendapat kerjasama dari Guru Besar SKKP 2 iaitu Encik Nor Azman Abdul Rahman, guru-guru pembimbing seperti Cik Nur Qurratu Ain Yatimin  dan Cik Norfidah Jonor.

Program ini turut mendapat sokongan dari pihak Persatuan Ibubapa dan Guru-guru (PIBG). Program libatsama komuniti ini menyasarkan kumpulan murid-murid Tahun 5 dari SKKP 2 yang berjumlah seramai 284 orang.

Para Pensyarah SHARPS (dari kiri) Dr. Siti Rokiah Siwok, Dr. Salwa Abdul Patah, Dr. Wan Mohd Azam dan Dr. Azra Ayue Abdul Rahman bersama-sama dengan Guru Besar SK Kangkar Pulai 2, Encik Nor Azman Abdul Rahman (tengah) pada majlis perasmian program tersebut.

Pada siri pertama yang bermula pada bulan April, program ini disertai seramai 318 mahasiswa dan mahasiswi UTM yang mengambil subjek Pemikiran Kreatif dan Kritis.

Mereka datang dari pelbagai fakulti seperti Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, dan Fakulti Alam Bina dan Ukur.

Antara aktiviti-aktiviti menarik yang berlangsung pada siri pertama adalah seperti pameran kreativiti produk-produk terbuang yang dikitar semula oleh mahasiswa dan mahasiswi terbabit.

Ini bertujuan untuk menarik minat dan menimbulkan kesedaran dalam kalangan murid-murid SKKP 2 bahawa produk-produk terbuang ini boleh menjadi produk yang versatil dalam kehidupan seharian.

Sekumpulan mahasiswa UTM melakukan “hands-on” tentang rekacipta produk-produk kreatif dari bahan-bahan terbuang kepada murid-murid SKKP 2 pada siri pertama program.

Tidak sekadar mempamerkan produk-produk kreatif, mahasiswa dan mahasiswi UTM turut mengajak murid-murid SKKP 2 agar berfikiran kritis dengan mengajak mereka meneroka kaedah-kaedah dalam penghasilan produk-produk tersebut.

Ternyata mahasiswa dan mahasiswi UTM bersama-sama dengan murid-murid SKKP 2 sangat teruja dengan pameran dan aktiviti-aktiviti menarik yang diadakan.

Siri kedua menyaksikan sendiri para pensyarah memberikan bimbingan lanjut kepada murid-murid untuk membugarkan lagi minat dan kesedaran terhadap alam sekitar serta pemikiran kritis mereka.

Murid-murid telah merekacipta produk-produk kreatif dari bahan-bahan terbuang dan membuat pembentangan tentang idea-idea kritis mereka untuk bersama-sama diasah lagi oleh para pensyarah dan guru-guru terlibat.

Bimbingan lebih terperinci oleh para pensyarah semasa berlangsungnya siri kedua program ini.

Pada siri yang ketiga, telah berlangsung hari pameran murid-murid Tahun 5, SKKP 2 bertempat di dewan sekolah terbabit.

Pada siri yang ketiga ini, murid-murid bukan sahaja telah melestarikan pemikiran kreatif dan kritis mereka melalui pameran tetapi telah menunjukkan nilai keusahawanan apabila rekacipta produk-produk bahan terbuang telah dikomersialkan untuk menjadi jualan yang dapat menjana pendapatan pada hari tesebut.

Ternyata sambutan dari murid-murid, ibubapa dan guru-guru pada hari tersebut menunjukkan program ini berjaya mencapai matlamatnya dari peringkat awal dalam membentuk minat dan kesedaran sehinggalah ke peringkat penciptaan produk-produk kreatif melalui pemikiran kritis.

Memetik kata Guru Besar SKKP 2 iaitu Encik Nor Azman Abdul Rahman, program libatsama komuniti antara pihak UTM dan sekolah amat dialu-alukan dan banyak membawa manafaat kepada semua.

“Semoga kerjasama antara semua pihak dan program-program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, ” tambah beliau.

Dr. Wan Mohd. Azam bersama-sama dengan ibubapa melihat rekacipta produk kitar semula yang dipamerkan oleh murid-murid SKKP 2 pada siri ketiga program.

Explore More