April 27, 2024

Search
Close this search box.
Pelajar-pelajar teruja dengan sesi perkongsian yang dilaksanakan.

Disediakan oleh: Halimah Mohd Yusof

JOHOR BAHRU, 11 Nov. — Seramai 80 orang pelajar tahun 5 Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 2 telah mengikuti program Young Leaders anjuran Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS) yang dianjurkan baru-baru ini,

Program ini merupakan suatu aktiviti pembelajaran servis yang dijalankan oleh pelajar-pelajar yang mengambil kursus Kepimpinan dalam Organisasi.

Program Young Leaders ini merupakan susulan kepada program Leadership In You yang telah dijalankan pada 28hb April 2019 yang bertujuan membangunkan bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Sesi perbincangan kelompok kecil bagi mempelajari teknik -teknik pembangunan kemahiran kepimpinan.

Pembangunan kemahiran kepimpinan merupakan suatu perkara yang amat penting dalam melahirkan insan yang lebih berdedikasi, berkaliber serta meningkatkan potensi pelajar bagi menjadi pemimpin yang baik di masa hadapan.

Setiap individu berkemampuan untuk menjadi seorang pemimpin, namun tidak semua pemimpin mampu untuk memimpin.

Ini kerana kemahiran kepimpinan memerlukan bimbingan dan asahan untuk individu tersebut memahami kemahiran yang perlu untuk menjadi seorang pemimpin yang berkesan.

Sifat kepimpinan ini boleh digilap dan dilahirkan dalam diri setiap individu dengan bantuan seperti program pembangunan kepimpinan.

Oleh itu, beberapa aspek pembangunan kepimpinan telah ditekankan dalam program ini. Antaranya ialah memupuk sifat-sifat kepimpinan dan mengenali diri sendiri sebagai seorang pemimpin; meningkatkan kemahiran komunikasi yang baik sebagai pemimpin; serta menerapkan teknik pengurusan konflik sebagai pemimpin.

Sifat-sifat kepimpinan ini haruslah diterapkan kepada setiap individu bermula daripada kecil lagi agar mereka lebih faham betapa pentingnya tanggungjawab dan peranan seorang pemimpin. Ini kerana anak muda pada zaman kini kebanyakannya kurang memahami kemahiran untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.

Maka, program seperti Young Leaders ini sedikit sebanyak dapat mendedahkan pelajar mengenai kepentingan membangunkan kemahiran kepimpinan dalam diri mereka.

Aktiviti berkumpulan bagi mempelajari kaedah menangani konflik.

Melalui program ini, pensyarah dan para pelajar Universiti Teknologi Malaysia dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan sifat dan kemahiran kepimpinan dalam kehidupan seharian.

Setiap aktiviti yang dijalankan memfokuskan beberapa ciri kepimpinan supaya pelajar-pelajar ini dapat mengasah sifat kepimpinan mereka sekaligus dapat membantu meningkatkan keyakinan diri dan sifat kepimpinan dalam diri masing-masing.

Pelajar-pelajar juga menyatakan bahawa mereka berasa teruja dan dapat mempelajari banyak perkara berkaitan kepimpinan melalui program ini.

Selain itu, kemahiran kepimpinan yang didedahkan kepada pelajar-pelajar ini membuatkan mereka sedar bahawa mereka bakal menjadi pelapis pemimpin kepada masyarakat dan negara ini pada masa akan datang dan mereka perlu mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran yang sepatutnya.

Secara umumnya, program berjaya mencapai matlamatnya dan berlangsung dengan jayanya.

Explore More