April 25, 2024

Search
Close this search box.

Majlis Konvokesyen UTM Ke-63 Rai 4,390 Graduan

JOHOR BAHRU, 2 Nov. — Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang ke-63 (MK63) telah meraikan 4,390 orang graduan daripada pelbagai peringkat pengajian di Dewan Sultan Iskandar, UTM Kampus Johor Bahru, di sini.

MK63 tersebut yang berlangsung pada 2 sehingga 5 November telah disempurnakan oleh Tuanku Permaisuri Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah dan Pro-Canselor UTM, Tan Sri Datin Paduka Siti Sadiah binti Sheikh Bakir.

DYMM Tuanku Permaisuri yang juga Canselor UTM bertitah agar graduan tidak lupa dengan prinsip kelima Rukun Negara iaitu “Kesopanan dan Kesusilaan”.

Baginda bertitah, sifat beradab adalah satu-satunya yang istimewa dalam semua budaya di negara kita, iaitu beradab terhadap ibu bapa, guru-guru, mereka yang berumur lebih tua, mereka yang berada di kedudukan tinggi dan yang menjalankan tugas demi kesejahteraan negara.

“Saya dan juga Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor amat menitikberatkan kehidupan yang aman dan sentosa serta saling menghormati antara satu sama lain.

Saya yakin kerjasama dan perpaduan antara kaum yang sudah lama terjalin dari semenjak negara kita merdeka dapat terus dikekalkan,” titah baginda.

Dalam istiadat tersebut, DYMM Tuanku Permaisuri mengurniakan Anugerah Kehormat kepada Pengerusi KLIA Premier Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Dato’ Ir Jamilus Hussein dan Ketua Jabatan Imperial College London, Prof Dr Ricardo F Martinez-Botas serta gelaran Profesor Emeritus kepada mantan Naib Canselor UTM, Tan Sri Datuk Dr Mohd Zulkifli bin Mohd Ghazali.

Sementara itu Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar berkata, dengan data kebolehpasaran graduan UTM pada 2018 ialah 90.3%, UTM telah melahirkan hampir 190,000 alumni yang kini berada di merata pelusuk dunia untuk menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.

“Ekosistem pembelajaran dan pengajaran di universiti telah mendedahkan pelajar kepada pelbagai kemahiran termasuk keusahawanan dan inilah salah satu penyumbang kepada kecemerlangan graduan UTM.

Ini dibuktikan dengan baru-baru ini, sebuah badan penilai bebas daripada Amerika Syarikat, US News telah meletakkan UTM pada kedudukan ke-2 terbaik di Malaysia dan di tempat ke-40 terbaik di dunia bagi program kejuruteraan,” tambah beliau.

Datuk Wahid turut mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan berharap mereka akan mencurahkan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran dalam perkhidmatan di alam pekerjaan nanti bagi meneruskan kegemilangan UTM.

MK63 menyaksikan penganugerahan kepada 275 orang graduan dari program Ijazah Doktor Falsafah, 786 orang graduan dari program Ijazah Sarjana, 2,854 dari program Ijazah Sarjana Muda serta 475 dari Diploma.

Selain itu, ia turut menghargai kecemerlangan akademik pelajar dengan pelbagai anugerah seperti Anugerah Canselor, Anugerah Pro-Canselor, Anugerah Anugerah Pelajaran Diraja serta Anugerah Airasia yang julung kalinya diberi.

Lebih manis, MK63 ini juga menyaksikan kejayaan luar biasa pelajar UTM iaitu graduan Doktor Falsafah warga emas dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr. Zulkifli Ab Latiff yang menamatkan pengajian pada usia 63 tahun dan atlet bola jaring negara iaitu Nurfariha Binti Abdul Razak yang menerima Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hj. Hashim.

Tuanku Permaisuri Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan menyampaikan Anugerah Canselor kepada graduan Doktor Falsafah dari Fakulti Kejuruteraan, Dr. Loke Kok Foong
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar semasa sesi ucapan beliau pada Majlis Konvokesyen kali ke-63 UTM

**more photos click here

Explore More