April 26, 2024

Search
Close this search box.

Program Gap Year Kesukarelawanan Berpotensi Tingkatkan Nilai Kebolehpasaran Graduan

Nur Thasra Abdul Rahman dari Islamic Relief Malaysia berkongsi pengalaman bersama misi kesukarelawanan di luar negara yang sangat memberi inspirasi kepada semua mahasiswa yang hadir

Tempoh berehat selama setahun daripada pengajian bagi mengikuti program ‘Gap Year’ yang ditawarkan kepada pelajar di universiti awam (UA) melalui aktiviti sukarelawan berpotensi meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan.

Ia sekali gus menjadi alternatif kepada penyelesaian masalah kesukaran mencari kerja disebabkan pengalaman bekerja kepada graduan baharu yang sering dikehendaki oleh majikan.

Selain dapat meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan, penglibatan dalam program sebegini juga sebenarnya dapat memberi peluang kepada pelajar untuk meluaskan skop pekerjaan selain sumber pendapatan untuk sara diri.

Perkara ini ditegaskan oleh kesemua penceramah yang terlibat dalam Sesi Taklimat Khas Gap Year UTM  bersama Islamic Relief Malaysia yang berlangsung pada 5 November 2019 di Dewan Konvensyen Azman Hashim International Business School ( AHIBS), UTM Johor Bahru.

Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib berkata Program Gap Year mampu memberi keunikan dan manfaat besar kepada pelajar

Sesi anjuran Azman Hashim International Business School (AHIBS) ini dihadiri oleh 55 mahasiswa serta menampilkan Pengarah (Pembangunan & Aktiviti Pelajar) Jabatan Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib, serta wakil dari Islamic Relief Malaysia (IRM) yang berpengkalan di Bangi, Selangor, Nas’ Aqillah Ismail dan Nur Thasra Abdul Rahman.

Islamic Relief (IR) merupakan sebuah agensi bantuan dan pembangunan antarabangsa (INGO) yang memperolehi pengiktirafan status perundingan Bangsa-bangsa Bersatu Economic & Social Council sejak 1993.

Ia ditubuhkan di Birmingham, United Kingdom sebagai reaksi kepada masalah kebuluran di Afrika pada 1984.

IR telah mengembangkan sayap operasinya dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pembangunan komuniti dan pendidikan.

Pada 2018 sahaja, IRM telah menjalankan sebanyak 32 program melibatkan sukarelawan.

Melaluinya, seramai 839 individu kini sah menjadi sukarelawan IRM, 195 daripadanya telah menjalani Kursus Induksi Sukarelawan IRM, manakala 558 sukarelawan lagi terlibat dalam program IRM secara tidak langsung.

Sehingga hari ini, IRM mempunyai lebih daripada 3,000 sukarelawan berdaftar di Malaysia yang bersedia untuk berkhidmat dalam dunia kemanusiaan.

Timbalan Dekan (Akademik & Pembangunan Pelajar) Azman Hashim International Business School, Prof. Madya Dr. Ahmad Jusoh menyampaikan cenderahati kepada Nas ‘Aqilah Ismail di akhir program

Nas ‘Aqilah yang juga Senior Office (Partner Care) berkata sejak penubuhannya pada 2005, IRM sentiasa menggerakkan usaha termasuk mengadakan kursus induksi di seluruh negara bagi melahirkan sukarelawan yang berilmu dan berpengalaman berdasarkan kepada latar belakang serta kepakaran mereka.

“Bukan semua dapat mendedikasikan diri dan komited kepada kerja-kerja kesukarelawanan sepenuh masa. Oleh itu IRM mencari pendekatan terbaik untuk  memberi inspirasi dan menggalakkan mereka terus terlibat dalam program sebegini.

“Sekiranya mereka tidak dapat menyertai kami di lokasi misi, mereka boleh menyumbang dalam bentuk lain termasuk tenaga dan kepakaran yang dapat melicinkan usaha  kesukarelawanan atau misi kemanusiaan.

Pengarah Pembangunan & Aktiviti Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib pula berkata, tempoh bersama organisasi sepanjang mengikuti Program Gap Year mampu memberi manfaat besar kepada pelajar terutamanya dari segi pembangunan kemahiran insaniah seperti kemahiran kepemimpinan, keusahawanan dan komunikasi.

Katanya, tempoh setahun adalah masa yang cukup panjang untuk mendapatkan kemahiran, membentuk peribadi dan keterampilan yang jika ia disusun dengan baik, pelajar akan mendapat banyak manfaat.

“Menerusi Gap Year, apabila pelajar keluar dari kampus selama setahun dan bergaul dalam masyarakat, kemahiran insaniah ini dapat mereka peroleh dengan lebih cepat, sesuatu yang tidak diperolehi di dalam bilik kuliah” tambahnya lagi.

Senior Officer (Human Capital & Development) IRM, Nur Tharsa Abdul Rahman pula berkongsi kisah benar pengalaman manis pasukan sukarelawan di Somalia baru-baru ini.

“Kami di IRM juga sentiasa mengalu-alukan kerjasama erat dengan mana-mana pihak yang ingin melaksanakan program berbentuk kemanusiaan dan kesukarelawanan,” ujarnya lagi.

Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Dekan (Akademik & Pembangunan Pelajar) AHIBS, Prof. Madya Dr. Ahmad Jusoh, Pengarah (Pentadbiran Perniagaan) AHIBS, Prof. Madya Dr. Ungku Norulkamar Ungku Ahmad dan Pengarah (Perakaunan & Kewangan), Dr. Noriza Mohd. Jamal dan pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UTM.

Explore More