Bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-63, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) telah mengadakan Majlis Makan Malam Graduan Cemerlang Program Sarjana Muda Sains (Rekabentuk Industri ) (SRSI) pada 3 November 2019, Ahad lalu bertempat di R&R Bistro, Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Seramai 14 orang graduan SRSI telah diraikan pada Majlis berkenaan, di mana mereka yang merupakan penerima Sijil Anugerah Dekan telah dijemput hadir bersama ibu dan bapa masing-masing.


Majlis yang julung-julung kalinya diadakan tersebut telah dimeriahkan dengan kehadiran Dekan, YBrs Prof Madya Dr Astuty Amrin dan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Prof Madya Dr Khairur Rijal Jamaludin.

Pensyarah Program SRSI yang hadir sama bagi meraikan graduan program mereka pada malam tersebut ialah Prof Madya Abdul Muta’ali Othman, Prof Madya Ahmad bin Khalid dan Dr Mohd Khairulanwar bin Mohd Danuri.

Pada majlis berkenaan, YBrs Dekan telah menyampaikan ucapan penghargan kepada semua graduan SRSI dan mengingatkan mereka bahawa FTIR sentiasa menghargai graduan yang menamatkan pengajian masing-masing dari Fakulti.

YBrs Dekan juga mendoakan agar semua graduan berjaya dalam bidang pekerjaan dan pasaran yang terbuka di luar kampus dan lebih mencabar.

Di samping itu, YBrs Dekan mengharapkan graduan kembali semula menyumbang ke UTM umumnya dan Fakulti Razak khususnya dengan menyambung pengajian pasca siswazah atau melalui aktiviti Alumni.

Sebagai penutup bicara, YBrs Dekan mengingatkan supaya tidak melupakan jasa ibu dan ayah yang menjadi sumber kejayaan graduan,

Dalam majlis tersebut, YBrs Dekan turut menyampaikan Sijil Anugerah Dekan kepada NurulAsyihawani bt. Ismail dan Jong Bih Jing serta Anugerah Naib Canselor bagi FTIR sempena Konvokesyen UTM kali ini kepada NurulAsyihawani bt. Ismail.

Majlis yang diuruskan oleh Pejabat Akademik Fakulti ini selesai pada jam 10.00 malam dengan sesi bergambar dengan semua yang hadir.

Dilaporkan oleh: En. Nasir bin Osman