Disember 26, 2024

Oleh : Mohd Hafizan bin Hamzah, Rohizai bin Zainal dan Nor Hidayati Mokhtar

Pro-Canselor UTM, Tan Sri Datin Paduka Siti Sadiah binti Sheikh Bakir semasa sesi kedua Majlis Konvokesyen UTM ke-63 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 3 Nov. — Majlis Konvokesyen ke-63 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini meneruskan kemeriahannya untuk sesi kedua dan ketiga kepada  513 orang penerima ijazah Sarjana dan 1,195 orang penerima Sarjana Muda bertempat di Dewan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Pengurniaan tersebut telah disempurnakan oleh Pro-Canselor UTM, Tan Sri Datin Paduka Siti Sadiah binti Sheikh Bakir.

Hari kedua istiadat dimulakan seawal jam 8:30 pagi dengan mengurniakan anugerah kepada penerima Ijazah Sarjana dari Fakulti Teknologi & Informatik Razak, Fakulti Sains, Fakulti Alam Bina dan Ukur dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan serta penerima Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Kejuruteraan.

Antara yang mencatat kenangan manis hari ini adalah mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM, Muhammad Ikhmal Borhan yang menamatkan pengajian beliau dalam program Sarjana Muda Kejuruteraan (Awam).

“Saya nk berterima kasih kepada Zakat UTM dan Bantuan Kupon Makanan Because We Care kerana dua bantuan ini sangat membantu saya sepanjang menempuh

Muhammad Ikhmal Borhan

pengajian di UTM selama empat tahun.

Apa yang berat untuk saya tinggalkan UTM ini adalah semestinya saat terlibat serta menjadi pemimpin kepada pasukan kepimpinan mahasiswa.

Tempoh tiga tahun bersama barisan MPP sememangnya adalah salah satu kenangan yang terbaik saya di UTM,” kata beliau.

Sepanjang tempoh pengajian beliau, Ikhmal antara salah satu ikon pelajar yang sangat aktif bergiat dalam pelbagai aktiviti dalam membawa suara pelajar.

Turut mencatat kenangan manis pada sesi hari ini ialah dua pasangan suami isteri, Ts Yap Sheng Lin dan Sr Chin Yong Ling serta Shazliman Shah dan Nor Fahana Abdul Ghani.

Majlis konvokesyen kali ini menjadi saksi kesungguhan pasangan suami isteri serta sifat toleransi menjadi pegangan utama untuk sama-sama menempa kejayaan menggulung Ijazah Sarjana dalam majlis graduasi yang sama.

Menurut pasangan Ts Yap Sheng Lin dan Sr Chin Yong Ling, cabaran yang paling besar sepanjang tempoh pengajian di UTM adalah untuk membahagikan masa antara keluarga, kerja dan pelajaran.

Ts Yap Sheng Lin beroleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim manakala pasangan beliau, Sr Chin Yong Ling telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Kontrak Pembinaan) dari Fakulti Alam Bina dan Ukur.

Ts Yap Sheng Lin dan Sr Chin Yong Ling bersama anak mereka

 

Sr. Chin Yong Ling berkata, mereka memiliki masa yang terhad untuk keluarga memandangkan kedua-dua mereka bekerja dari Isnin hingga Jumaat manakala Sabtu dan Ahad pula perlu menghadiri kelas.

“Memang ada rasa sedih memandangkan kami memiliki anak kecil yang baru berusia 18 bulan dan masa yang ada untuk bersamanya sangat terhad tetapi kami saling menyokong antara satu sama lain untuk menguatkan semangat menghabiskan pengajian ini.

“Terima kasih kepada keluarga yang banyak membantu terutama menjaga anak kami yang masih kecil ketika kami bekerja dan menghadiri kuliah, katanya lagi.

Menurut Ts. Yap Sheng Lin pula, terdapat juga kenangan manis yang mereka miliki sepanjang pengajian itu memandangkan mereka mengambil kursus yang berbeza.

“Selain dapat belajar bersama bagi beberapa subjek yang sama, saya juga dapat menambah ilmu dan pengetahuan yang pelbagai melalui subjek lain yang diambil oleh isteri dan dia juga sebaliknya.

Menurut beliau, mereka akan bergilir-gilir menjaga anak sekiranya ada antara kami yang perlu menyiapkan tugasan.

Shazliman Shah dan Norfahana binti Abdul Ghani.

Turut berkongsi kejayaan yang sama ialah pasangan Shazliman Shah dan Norfahana binti Abdul Ghani.

Pada majlis konvokesyen ini, Shazliman menerima Ijazah Sarjana dalam Bidang Pengurusan Kontrak Pembinaan manakala isterinya pula menerima Sarjana Pengurusan Projek.

Norfahana berkata kejayaan diperolehnya itu tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan pengorbanan besar khususnya membabitkan pengurusan masa dengan seimbang, memandangkan kedua-dua mereka telahpun mempunyai pekerjaan masing-masing.

Shazliman berkata mereka sering bekerjasama rapat terutama dalam aspek perbincangan (pertukaran pendapat) dan juga motivasi bagi meningkatkan prestasi akademik memandangkan keduanya mengikuti jurusan yang berlainan walaupun bernaung di bawah fakulti yang sama.

“Kami beruntung kerana dapat menyambung pengajian di universiti yang sama walaupun berlainan bidang. Isteri adalah pendorong utama saya kerana kami akan bergerak bersama-sama ke kampus UTM Kuala Lumpur untuk belajar pada setiap hujung minggu.

Saya amat memuji UTM kerana menyediakan kami platform untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana secara separuh masa dan juga amat mengkagumi tenaga pengajar universiti ini yang bersifat ‘menyokong’ pelajar serta amat pakar dalam bidang masing-masing,” katanya.

Sementara itu, pasangan dua beradik kembar dari Melaka telah mencipta sejarah manis apabila berjaya mengharungi segala cabaran getir dalam pelajaran dan menamatkan pengajian dengan jayanya di UTM.

Pasangan kembar seiras, Mohamad Shukri Mohammad Hedzer dan adiknya, Mohammad Khairi Mohammad Hedzer hari ini tersenyum bangga sambil menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Petroleum).

Pasangan kembar yang berasal dari Teluk Mas, Melaka itu sebelum ini menuntut secara separuh masa menerusi Program Separuh Masa yang dianjurkan oleh Sekolah Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTMSPACE) di kampus Kuala Lumpur.

Bercakap dalam sesi wawancara dengan media, Mohamad Shukri berkata beliau bersyukur kerana sehingga kini tidak perlu berpisah dengan adik kembarnya itu.

“Sebenarnya saya amat bertuah. Ibarat satu dalam seribu peluang yang diberikan kepada kami berdua untuk menyambung pengajian dalam bidang yang sama iaitu kejuruteraan petroleum.

Terus terang saya katakan yang saya amat bersyukur disebabkan boleh ulang kaji dan belajar bersama adik dalam jurusan yang sama tambahan pula kami punyai bidang yang sama juga sama iaitu dalam bidang kejuruteraan petroleum dan harapan kami untuk memberikan yang terbaik sepanjang pangajian bagi menghargai peluang istimewa yang diberikan kepada kami,” katanya yang ditemani adiknya Mohammad Khairi pada sesi tersebut.

Sementara itu Mohammad Khairi berkata beliau amat berterima kasih kepada UTM kerana menyediakan program pengajian separuh masa menerusi UTMSPACE sekaligus membolehkan dia dan abang kembarnya merealisasikan impian mereka.

“Sebelum ini kami telah ditawarkan kursus yang sama di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UteM) tetapi secara sepenuh masa kerana tiada program separuh bagi kursus ini masa di institusi itu.

Ini amat menyukarkan memandangkan kami yang telah bekerja ini terpaksa meletakkan jawatan dan mengikuti pengajian secara sepenuh masa dan juga terpaksa dibiayai oleh bapa. Ini sudah tentulah menyukarkan keluarga kami,” katanya lagi.

Mohamad Shukri Mohammad Hedzer dan adiknya, Mohammad Khairi Mohammad Hedzer

UTM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas atas kejayaan mereka.

Explore More