Sesi Serentak di 3 ‘Venue’ Berasingan Gamit Kehadiran 3,761 Pelajar

JOHOR BAHRU, 8 Okt. — Kehangatan bahang Pilihan Raya Kampus (PRK) UTM mula dirasai melalui kehadiran 3,761 pelajar telah dicatatkan dalam sesi Townhall PRK UTM 2019/2020 anjuran Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus atau Campus Election Committee (CEC) yang baru dilantik oleh pengurusan universiti.

Sesi serentak yang berlangsung di tiga ‘venue’ berasingan iaitu Dewan Sri Alam, Kolej Tun Fatimah, Dewan Sri Perdana, Kolej Perdana UTM Johor Bahru dan Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2019 itu bertujuan untuk memberi penerangan kepada warga kampus berkenaan penubuhan CEC yang akan berfungsi ibarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain mendapatkan maklum balas dan input bagaimana untuk melaksanakan pilihan raya terbaik dalam sejarah UTM.

Barisan pasukan CEC yang dipimpin oleh Mohd Fitri Mazlan

Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik pada 2018 telah menyuarakan pendapatnya bahawa pada era Malaysia Baharu ini mahasiswa perlu diberi kuasa untuk menguruskan Pilihan Raya Kampus (PRK) mereka sendiri.

Saranan ini sebenarnya mendapat pelbagai reaksi daripada penganalisis politik, media massa, masyarakat umum, pengurusan universiti malah mahasiswa sendiri yang rata-rata berpendapat mahasiswa pada hari ini mampu untuk menguruskan PRK mereka sendiri.

Ini dikuatkan lagi dengan hakikat bahawa mereka sebenarnya telah bersama-sama turut serta dalam pelaksanaan PRK saban tahun terutamanya sebagai sukarelawan dan petugas.

Pengarah Pembangunan Pelajar UTM Kuala Lumpur, Ir. Dr. Pauziah Muhamad ketika ucapan perasmian Sesi Townhall di Dewan Azman Hashim

Sebagai rekod, selama ini PRK diuruskan oleh Hal Ehwal Pelajar setiap universiti dan pada 2018 Universiti Malaya melalui pasukan CEC merintis penganjuran PRK sepenuhnya oleh pelajar.

Bagi UTM pula, PRK tahun 2018 diuruskan oleh sebuah badan khas dibentuk oleh pengurusan universiti yang dianggotai oleh pegawai-pegawai bukan dari kalangan staf HEP dan diketuai oleh Hajjah Najmah Shamsuddin, Timbalan Pendaftar Kanan di Jabatan TNC (A&A).

Matlamatnya hanya satu iaitu menyuburkan kembali aspirasi politik di kampus mengikut acuan mahasiswa sendiri.

Pengerusi CEC Mohd Fitri Mazlan tenang mengendalikan Sesi Townhall

Pengerusi CEC, Mohd Fitri Mazlan berpendapat keterlibatan mahasiswa secara langsung dalam PRU-14 yang lalu, sedikit sebanyak telah memberi keyakinan bahawa mahasiswa pada hari ini sedar akan kepentingan proses demokrasi yang adil dan telus bagi mendapatkan hasil terbaik.

“Jika ditanya bersediakah CEC UTM menguruskan PRK walaupun dengan kekangan masa, jawapan saya tentu sekali ya,” ujarnya lagi.

Timbalan Presiden (Teknikal) CEC, Shahiran Shaharani pula berkongsi antara pembaharuan yang bakal dibawakan dalam PRK kali ini ialah tempoh kempen yang lebih panjang dan calon-calon yang bertanding bakal mempunyai masa yang mencukupi bagi menyiapkan diri mereka untuk berkempen bagi memenangi hati pengundi.

“Cabaran utama CEC ialah kami perlu melaksanakan sesuatu yang belum pernah dibuat pada tahun-tahun sebelumnya dan melalui sesi townhall ini kami mengalu-alukan sebarang cadangan dan maklumbalas dari pelbagai pihak  selain membolehkan para pelajar mendapatkan gambaran yang jelas tentang proses PRK yang bakal dijalankan,” tambah Shahiran.

Pelbagai soalan yang diajukan oleh mahasiswa yang hadir pula jelas sekali memberi gambaran awal bahawa PRK kali ini bakal mendapat sambutan hangat daripada kalangan pengundi dan seterusnya menyaksikan persaingan sengit calon-calon yang bertanding.

Antara soalan yang mencuri tumpuan adalah daripada Zulhilmi Zamir yang mewakili Identiti Mahasiswa mengenai bagaimana perancangan CEC menambahbaik PRK 2019/2020 yang akan datang sekali gus meningkatkan peratusan pelajar turun mengundi.

Selain itu, terdapat cadangan daripada pelajar lain untuk menggunakan sistem atas talian untuk proses mengundi.

Townhall CEC ini dilihat berjaya mencapai objektif untuk memaklumkan kepada pelajar tentang kewujudan CEC yang dikendalikan oleh pelajar sendiri dan sekali gus telah memberi kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan mengundi semasa pilihan raya untuk memilih pemimpin yang terbaik mewakili mereka.

“Ayuh turun mengundi, pilihan di tangan anda,”gulung Pengerusi CEC dalam sesi townhall tersebut.

Zulhilmi Zamir bertanyakan bagaimana CEC mampu meningkatkan peratusan pelajar turun mengundi