April 26, 2024

Search
Close this search box.

Program Young Women Bootcamp 2019 Pupuk Minda Keusahawanan Wanita

JOHOR BAHRU, 24 Okt. — Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Negeri Johor dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Fiqh, Sains dan Teknologi (CFiRST) dan Pusat Inovasi dan Keusahawanan Teknologi Pelajar (UTM XCITE), Universiti Teknologi  Malaysia (UTM) telah menganjurkan Young Women Bootcamp.

Program ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Yang Berhormat Cik Liow Cai Tung.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof Dr. Durrishah Binti Idrus yang merupakan Timbalan Yang Di Pertua I, Persatuan
Wanita Teknologi (WANGI), UTM serta Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor, Puan Enny Suhailis Binti Suleiman.

Kem dua hari ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada belia wanita dan mahasiswi di negeri Johor tentang nilai kepimpinan dan keusahawanan agar mereka mempunyai sifat daya saing dalam kepimpinan dan keusahawanan terutamanya dalam era ICT dan digital hari ini.

Antara ikon menarik yang membuat perkongsian ilmu ialah penulis buku terkenal, SifuFbads dan pengacara TV Alhijrah, Farahanim.

Seramai 50 orang peserta menyertai kem ini yang terdiri daripada belia wanita pelbagai latar belakang bangsa.

Kem yang dianjurkan ini adalah selaras dengan perkembangan semasa dan komitmen terbaru negara dalam memperjuangkan hak wanita dan meneruskan agenda memperkasakan wanita terutama wanita muda.

Pengisian program termasuklah pemerkasaan dan kepimpinan wanita, pemberdayaan keusahawanan wanita, dan pendedahan kepada Kanvas Model Perniagaan.

Selaras dengan statistik yang menunjukkan bahawa golongan wanita merupakan separuh daripada penduduk negara yang gigih menyumbang kepada pembangunan negara, usaha berterusan perlu dijalankan bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam pembangunan ekonomi negara.

Ini terutamanya bagi menghadapi perkembangan semasa dengan cara melibatkan wanita dalam bidang keusahawanan dan kepimpinan.

Strategi yang pelbagai akan diteruskan bagi membentuk, memupuk dan melatih lebih ramai pemimpin wanita muda di Malaysia.

Perkembangan teknologi dan ICT tanpa sempadan kini harus diambil kira bersama dengan aspek kepekaan gender seiring dengan perkembangan revolusi dalam melahirkan pemimpin wanita muda yang berfikiran kritis dan inovatif.

 

 

 

Explore More