Disember 19, 2024

Pemimpin Persatuan/Kelab Pelajar Tekad Julang UTM di Persada Dunia

188 Ahli Majlis Tertinggi Persatuan/Kelab Berhimpun dalam Kursus Pengurusan Persatuan (KPP)

ROMPIN, 12 Okt. — Seramai 188 pemimpin persatuan/kelab pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berikrar untuk terus melonjakkan universiti yang kini berada pada kedudukan ke-217 dalam QS World University Ranking sebagai universiti tersohor peringkat global.

Mereka mewakili 77 persatuan/kelab berdaftar di UTM untuk mendalami ilmu pentadbiran organisasi dalam Kursus Pengurusan Pengurusan (KPP) Sesi 2019/2020 pada 9 hingga 11 Oktober 2019 di Rompin Beach Resort, Kuala Rompin, Pahang.

Selain persatuan dan kelab, program ini turut melibatkan semua pasukan badan beruniform, Jawatan Kuasa Kolej Mahasiswa (JKM) semua kolej kediaman dan Sekretariat Anak Negeri.

Kursus ini juga melibatkan sebanyak tujuh Pusat Tanggungjawab (PTJ) melalui slot-slot berkaitan keselamatan, pengantarabangsaan, sewaan ruang, sewaan bas, kewangan, prosedur kelulusan artis dan lain-lain lagi.

Antara slot yang berjaya mencuri tumpuan dalam kalangan peserta ialah peluang-peluang ke luar negara oleh UTM International yang diwakili oleh Timbalan Pengarah (Global Education & Experience), Prof. Madya Dr. Ariffin Abu Hassan dan Penolong Pendaftar, Fasihah Jaslan.

Perkongsian kes-kes kecuaian dan tragedi kemalangan ngeri membabitkan program-program lalu di UTM oleh pegawai OSHE, Mohd. Azri Mohd Amin pula benar-benar berjaya menyedarkan peserta betapa pentingnya langkah keselamatan serta bahaya sikap ambil mudah dalam kalangan penganjur acara terutamanya yang berisiko tinggi.

Prof. Dr. Durrishah ceria menyampaikan slot bertajuk “Self-Enrichment through Managing Clubs & Associations”

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus, berkata pemimpin pelajar perlu mengamalkan sikap terbuka dan bijak menjalankan tugasan yang diberikan dan membahagikan masa untuk pelajaran serta aktiviti luar sebaiknya dalam memastikan tanggungjawab sebagai pelajar terjaga.

“Pemimpin pelajar perlu mampu menyeimbangkan antara tanggungjawab sebagai pelajar dan amanah yang diberi agar prestasi akademik tidak terjejas. Sebagai pelajar, anda tidak boleh membataskan diri dengan apa yang ada dan bersedia merebut peluang dalam apa jua bidang,” katanya pada sesi bersama TNC (HEP) bertajuk “Self-Enrichment through Managing Clubs & Associations”.

Sesi bersama Timbalan Pendaftar Kanan HEP, Hj. Dahari Derani yang sangat menghiburkan

Pengarah Pembangunan & Aktiviti Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib pula menekankan kepentingan elemen patriotism dan perpaduan dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh setiap persatuan dan kelab.

Slot ikon pula menampilkan dua pelajar terpilih iaitu Finalis Anugerah Tokoh Siswa (ATS) 2018, Muhammad Imran Abdul Rashid dan Sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Oscar Ling Fang Jack.

Muhammad Imran yang lebih mesra dengan panggilan ‘Apple’ juga merupakan Presiden Program 5ETP berkongsikan tips-tips dan strategi yang boleh membantu pelajar merancang, melaksanakan program dan seterusnya bersaing merebut anugerah tertinggi dalam ATS yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beberapa tips penting dikongsikan oleh beliau antaranya bagaimana mencipta keunikan, nilai berita dan seterusnya publisiti meluas yang mampu menonjolkan program anjuran pelajar ke peringkat yang lebih tinggi.

Oscar Ling Fang Jack berkongsi pengalaman manis sebagai Sukarelawan YSS di Laos

Oscar yang juga pelajar program ‘signature’ 5ETP pula berkongsi kisah inspirasi pembabitannya dalam misi kesukarelawan YSS di Vientienne, Laos baru-baru ini.

Antara tips menarik yang dikongsikan ialah perlunya tiga karakter dalam kalangan sukarelawan iaitu sentiasa merendah diri (be humble), sentiasa bersedia (be ready) dan sentiasa proaktif.

Selain itu beliau juga menegaskan pentingnya mahasiswa berada dalam kecergasan fizikal dan mental terbaik untuk memastikan mahasiswa sentiasa bersedia merebut apa jua peluang mengasah potensi diri.

Pencapaian beliau berada dalam senarai ‘Top 20 Performer’ program pencarian CEO AXIATA Uuniversity Leadership Dvelopment Program (ULDP) juga dikongsi bersama dalam kursus tersebut bagi mencetuskan inspirasi kepada peserta untuk mencipta sesuatu yang membanggakan universiti.

Presiden Friends of Library, Nevitha Sri Rama Rao

Presiden Friends of Library,  Nevitha Sri Rama Rao berpendapat kursus ini sangat berguna kepada beliau dan pasukan terutamanya ilmu berkaitan pentadbiran jawatan kuasa dan penganjuran acara.

“Ia merupakan pengalaman baru bagi kami dan berharap segala ilmu yang ditimba dapat membantu membina kelab yang sangat muda ini menjadi antara kelab paling berjaya bukan sahaja di UTM malah di peringkat antarabangsa,”tambah pelajar tahun 3 Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (TESL) itu lagi.

Bagi Bendahari Jawatan Kuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej 9&10 Vievylyn Wong, kursus ini sarat dengan ilmu yang bermanfaat dan menyeronokkan dibantu pula oleh perkhidmatan pihak Rompin Beach Resort yang sangat baik. “Para penceramah setiap slot juga tidak kurang hebatnya,” tambah Vievlyn yang juga pelajar tahun 2 Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Sains Sukan).

Iskandar Zulkarnain Shamsul (kanan)

Iskandar Zulkarnain Shamsul yang mewakili Jawatan Kuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tunku Canselor berasa sangat bertuah dapat menyertai KPP kali ini dan berpendapat selain ilmu pengurusan, peserta juga dapat menimba banyak ilmu dari siri kuliah maghrib dan subuh pimpinan Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustaz Panji Alam Mazhisham.

“Fakta-fakta angka mengenai kitab suci Al-Quran yang dikongsi di sesi kuliah subuh hari terakhir seperti 30 jumlah juzuk, 6236 jumlah ayat, 114 jumlah surah, 77,437 kalimah dan 323,671 huruf sangat bermakna serta memberi inspirasi kepada kami untuk lebih dekat dengan kalam Allah itu,” katanya lagi.

Presiden De’ Pikir, Chee Pui Khei berazam membawa kelab tersebut ke tahap tertinggi

Presiden De’ Pikir, Chee Pui Khei pula berkata kursus ini banyak menyedarkan peserta pentingnya pematuhan kepada prosedur, SOP dan protokol tertentu dalam penganjuran program. Pelajar tahun 1 SEBB ini juga berazam untuk memimpin kelab debat tersebut untuk lebih maju dan bersaing di peringkat lebih tinggi.

Timbalan Pengarah Kelas Bahasa Mandarin Teo Qiao Xin (paling kanan) bersama rakan-rakan lain teruja ketika tiba di RBR Rompin
Pegawai Penerbitan HEP, Nazli Jalil menyampaikan slot Protokol dan Pengurusan Media

Explore More