April 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 6 Okt. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan inisiatif UTMPrihatin demi membantu meringankan beban pelajar dengan penganjuran Majlis Santapan Diraja UTM (UTM Royal Gala Dinner) 2019.

Dalam majlis tersebut, hampir RM 1.5juta telah berjaya dikumpul sempena program yang berlangsung pada 6 Oktober bertempat di Hotel Putrajaya Marriot melalui penjualan 44 buah meja.

Daripada jumlah itu, industri/alumni UTM telah mencatatkan kira-kira RM800,000 di mana pihak Telekom Malaysia telah menjadi Penaja Premier, manakala sumbangan daripada staf dan kakitangan UTM pula meraih lebih RM500,000.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Permaisuri Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar berkata, program ini merupakan sebuah inisiatif pengumpulan dana UTM CARES dan akan disalurkan kepada pelbagai tabung kebajikan pelajar di UTM seperti Tabung Endowmen, tabung Wakaf Pendidikan dan tabung Because We Care Chancellor’s Fund.

“Dengan kira-kira 50 peratus pelajar UTM adalah dari keluarga yang tergolong dalam kumpulan B40, sumbangan dari pelbagai pihak ini amat bermakna kepada UTM dalam usaha untuk menyediakan bantuan kebajikan yang sebaiknya kepada pelajar untuk membantu dalam keperluan harian mereka.

Sehingga kini pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh UTM untuk membantu meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan seperti pemberian biasiswa, kupon makanan, penajaan makanan di kafetaria, penyediaan rak kasih sayang, pemberian makanan percuma dan banyak lagi demi mengelakkan impian menggulung ijazah mereka tidak kesampaian semata-mata kerana masalah kewangan,”kata beliau.

Menurut beliau juga, dana UTMCares mensasarkan kutipan dana sebanyak RM500 juta menjelang 2025 bagi memastikan kelestarian dana dan seterusnya memperkasakan UTM sebagai institusi yang mampu memberi pendidikan tinggi yang berkualiti kepada pelajar dari pelbagai latar belakang.

Datuk Wahid turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada pembelian meja tersebut termasuk juga sumbangan lain kepada tabung UTMCares.

Terdahulu, pihak Johor Port telah menyumbang sebanyak RM3 Juta kepada Tabung Endowmen UTM, Astaka Padu Sdn. Bhd menyumbang sebanyak RM 1 Juta kepada tabung Endowmen Alumni manakala Kota Prasarana telah menyumbang RM1 Juta kepada tabung Endowmen UTMSpace.

UTM turut berbangga kerana mempunyai staf yang sangat prihatin terhadap kebajikan pelajar.

“Lebih kurang 20% dari staf UTM kini membuat potongan gaji dengan jumlah kutipan mencecah RM41 ribu sebulan, dan ada yang menyumbang RM1 sebulan,” tambah beliau. 

Bersempena dengan Majlis Santapan Diraja UTM ini juga, pelancaran pra-penjualan nombor plat khas UTM1 hingga UTM9999 untuk kenderaan telah dilancarkan dan orang awam adalah dialu-alukan untuk membida dan membeli nombor plat ini.

Di samping memiliki nombor plat istimewa yang membawa kebanggaan kepada universiti ini, dalam masa yang sama pembeli turut akan menyumbang kepada pelajar kerana hasil kutipan penjualan ini akan disalurkan kepada tabung kebajikan UTM.

UTM Alumni juga melancarkan ‘UTM Alumni Privilege Card’ bagi memberikan kemudahan eksklusif kepada Alumni UTM sekaligus menghargai alumni yang setia bersama UTM.

Sebanyak lebih daripada 30 buah syarikat telah bersetuju dalam menjalinkan kerjasama strategik bagi menyediakan beberapa perkhidmatan dan diskaun seperti BMW Auto Bavaria Johor Bahru, Forest City Phoenix International Hotel, Bawal Eksklusif dan lain-lain lagi.

 

Permaisuri Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan merasmikan nombor plat kenderaan UTM sambil disaksikan oleh Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar (dua dari kanan), Pengarah Bahagian Pembangunan UTM, Prof Dr Zaki Kamsah (paling kanan) Serta Pengarah UTM Endowmen, Prof Madya Dr Yusof Boon (paling kiri)

Explore More