Disember 19, 2024

Berbakti, Didik Jiwa, Pengalaman – Mahasiswa UTM dan Lions Club Santuni Gelandangan

Kolaborasi Mahasiswa UTM, Lions Club Johor Jaya, UTM Campus Sustainability Santuni Gelandangan dalam Projek Friends & Strangers

Mendekati golongan gelandangan menjadi pengalaman baru kepada sekumpulan sukarelawan terdiri dari mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UTM Campus Sustainability yang menjayakan projek Friends & Strangers bersama Lions Club Johor Jaya baru-baru ini.

Kesibukan kuliah dan menyiapkan tugasan sama sekali tidak menghalang sekumpulan 38 penuntut Sekolah Kejuruteraan Tenaga yang juga mewakili Kolej Kediaman Tun Hussien Onn (KTHO) meredah keheningan malam menyantuni gelandangan di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru.

Lebih mengujakan lagi, projek ini berjaya memberi sejuta pengalaman baru buat mereka untuk bersahabat dan menyelami kehidupan golongan terbabit.

Danish Hilman Kamaruzaman dan Naib Presiden JKM Kolej Tun Hussien Onn, Aimi Dayana Jairen

Selain berbakti, pasukan sukarelawan ini juga sangat bertuah mendapat rakan kongsi baharu yang sangat berpengalaman dalam menjalankan kerja-kerja amal iaitu Lions Club Johor Jaya yang juga diwakili oleh seramai 28 orang ahlinya.

Kesemua sukarelawan mengagihkan pek makanan, roti dan barangan keperluan harian kepada gelandangan yang ada di sini.

Baru-baru ini, kerajaan Johor menyuarakan kebimbangan terhadap masalah lebih 100 gelandangan di bandar raya ini yang disifatkan semakin serius dan kritikal ketika ini. Golongan gelandangan tersebut dikesan menghuni beberapa tempat awam antaranya di bawah jambatan, menumpang di hospital kerajaan selain berkeliaran di kawasan Teluk Danga.

Penggerak utama projek Friends & Strangers, Sam Addams (kiri) berbincang sesuatu dengan Dr. Shazwin Mat Taib

Projek Friends & Strangers merupakan wadah utama bagi NGO tempatan, syarikat korporat dan individu untuk mendekatkan diri dengan golongan gelandangan dan kurang bernasib baik di sekitar bandaraya Johor Bahru.

Pendokong projek tersebut, Sam Addams berkata sasaran utama mereka ialah memudah cara penglibatan semua pihak untuk menyumbang dan melaksanakan kerja amal. “Kami juga sentiasa berusaha memastikan perkara-perkara pokok seperti saluran dan agihan sumbangan dilaksanakan dengan telus dan sampai ke kelompok sasaran,” ujarnya lagi.

Sebahagian gelandangan berbaris ketika agihan barangan

Menurut Timbalan Pengarah UTM Campus Sustainability, Dr. Shazwin Mat Taib, aktiviti itu bukan saja bermatlamat membantu menggembirakan golongan berkenaan, malah menjadi platform kepada sukarelawan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial.

“Program ini ­ibarat serampang dua mata iaitu menjadikan mahasiswa UTM warga berpendidikan yang prihatin membantu golongan kurang bernasib baik di samping membina semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Muhammad Hairun Razak Chas sukarelawan Kelab PROSIS, Kolej Tun Hussien Onn

Sukarelawan UTM yang menyertai program itu juga menyifatkan kegiatan itu sebagai pengalaman yang tidak ternilai.

Naib Presiden Jawatan Kuasa Kolej Mahasiswa (JKM) KTHO, Aimi Dayana Jairen berkata, dia teruja menyertai program itu kerana dapat menyelami kehidupan masyarakat yang kurang bernasib baik.

“Ini pengalaman baru kepada saya dan rakan-rakan dan menyuntik kesedaran kepada kami serta membentuk sikap simpati dan prihatin.

Peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk mendekati dan menyelami kehidupan golongan gelandangan di bandaraya ini,” tambah pelajar tahun 3, Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia itu lagi.

Muhammad Hairun Razak Chas, 22, berkata, program ini tercetus kerana kami ingin menimba pengalaman baru dan memilih untuk membantu gelandangan kerana golongan ini sukar mendapat pembelaan.

Alif Azli Azlan Choong (kanan) Muhammad Haziq bersama Mr. Sam dari Lions Club Johor Jaya

Seorang lagi sukarelawan, Alif Azli Azlan Choong berkata, beliau sangat teruja untuk  menyertai program amal ini. “Projek ini memberi persepsi baru kepada saya berkenaan gelandangan kerana sebelum ini kurang mendekati kehidupan mereka.

“Kebimbangan besar saya ialah golongan ini sebenarnya berhadapan pelbagai risiko terutamanya melibatkan keselamatan,” katanya.

 

Explore More