April 26, 2024

Search
Close this search box.

Oleh Ahmad Hilman bin Borhan @ Rohan dan Nor Hidayati Mokhtar

XI’AN, 20 Sept. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjalinkan kerjasama dengan lebih 20 buah universiti di China antaranya Tsinghua University, Beifang University of Nationalities dan Guilin University of Technology.

Kali ini, jenama UTM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi di persada dunia diperkukuhkan lagi dengan lawatan rasmi Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar ke Universiti Xi’an Jaotong (XJTU), China baru-baru ini.

Program di Xi’an, China kali ini adalah sempena penyertaan UTM menerusi jemputan yang diterima oleh Datuk Wahid bagi menyampaikan pembentangan dalam Forum Presiden University Alliance of the Silk Road (UASR) bertajuk “Kerjasama Universiti dalam Era Digital: Peluang dan Cabaran”.

Dalam ucapan tersebut, beliau telah berkongsi beberapa kejayaan UTM dalam menjalankan pelbagai program akademik berorientasikan dalam talian (online) yang melangkaui sempadan negara dan jarak di bawah payung Pendidikan Transnasional (TNE) antaranya MOOC, MyLine, Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) dan Penyeliaan Jarak Jauh yang membolehkan pelajar-pelajar dari luar negara belajar dari negara asal mereka tanpa perlu datang ke UTM.

Datuk Wahid turut mengundang dan membuka peluang kepada pelbagai universiti terlibat untuk menjalinkan kerjasama dengan UTM dalam pelbagai bidang terutamanya dalam akademik dan penyelidikan.

UTM merupakan satu-satunya universiti dari Malaysia yang dijemput menjadi ahli dalam UASR tersebut.

UASR merupakan sebuah konsortium yang diketuai oleh Xi’an Jiaotong University yang memfokuskan kerjasama antarabangsa dalam kalangan universiti dan institusi pendidikan tinggi.

Dengan bertemakan Vision, Actions, and Capacity-Building, ia telah disertai oleh lebih 100 Presiden dan Timbalan Presiden dari 57 buah universiti seluruh dunia dan menariknya, UTM merupakan satu-satunya universiti dari Malaysia yang dijemput menjadi ahli dalam konsortium ini.

Selain menyampaikan pembentangan, lawatan rasmi tersebut bertujuan untuk berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang terutamanya pendidikan secara dalam talian dan jarak jauh serta selain membina kerjasama antarabangsa yang baharu dan mengukuhkan hubungan sedia ada dengan universiti dan institusi pendidikan luar negara.

Sehubungan itu, lawatan rasmi tersebut telah berjaya meningkatkan keberadaan UTM di China serta turut mempromosikan kualiti akademik di Malaysia kepada dunia.

Selain itu delegasi UTM turut telah menerima kunjungan daripada Pengarah Seksyen Pendidikan Aziz How dan Atase Pendidikan dari Kedutaan Malaysia di China, Jason Choy Min Sheng yang membincangkan pelbagai peluang yang boleh diteroka oleh UTM dan universiti lain di Malaysia bagi mengukuhkan hubungan kerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan di China.

Sempena lawatan tersebut, UTM telah merancang menyertai pertandingan 3rd Silk Road Robotics Innovation Competition melalui empat orang pelajar dari Fakulti Kejuruteraan UTM iaitu Ying Hui Law, Ahmad Faiqal Haziq Bin Marzuki, Amirul Danish Bin Misri dan Yan Heng Low dan diselia oleh pensyarah kanan fakulti tersebut, Prof Madya Ir. Dr. Mohd Ridzuan bin Ahmad.

Pasukan Robocon UTM telah layak ke peringkat akhir dan berjaya memperolehi Anugerah Khas dalam pertandingan tersebut yang disertai oleh 59 kumpulan daripada lebih 40 buah negara seperti China, Rusia, Amerika Syarikat dan Perancis.

Pencapaian memberangsangkan pasukan ini telah membuka mata negara luar tentang tahap kualiti pengajaran dan akademik serta kebolehan para pelajar di UTM yang berjaya mengaplikasikan ilmu pembelajaran masing-masing dan mampu meletakkan kedudukan mereka sebaris dengan pelajar lain di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar semasa menyampaikan pembentangan dalam Forum Presiden University Alliance of the Silk Road di Universiti Xi’an Jaotong baru-baru ini
Pasukan Robocon UTM yang memenangi Anugerah Khas Juri dalam Pertandingan 3rd Silk Road Robotics Innovation Competition

Explore More