Johor Bahru, 27 Ogos —  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah merangkul pingat emas dan pemenang utama, melalui penyertaan dari wakil Sekolah Pendidikan iaitu Dr. Mohd Safarin Bin Nordin bersama dua orang pelajar, iaitu Nurul Fatin Azuana Binti Zainudin dan Ummu Afiqah Binti Mohd Hilmin dalam Pertandingan Rekacipta Inovasi Nasional (PRIN-KAB2019)

Mereka dinobatkan sebagai pemenang utama bagi kategori pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk Rekacipta dan Inovasi Produk Fizikal, sekaligus merangkul pingat emas kategori pelajar IPT.

Pertandingan Rekacipta Inovasi Nasional 2019 (PRIN-KAB2019) pertama kalinya telah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada 26 Ogos 2019.

Pertandingan ini adalah anjuran bersama Pusat Penyelidikan Pendidikan Kejuruteraan dan Alam Bina (PeKA), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPN Selangor) and Bahagian Pendidikan Teknik, Latihan dan Vokasional (BPLTV).

Pertandingan ini bertujuan untuk memupuk budaya inovasi dan kreativiti dalam bidang kejuruteraan dan alam bina, serta mengetengahkan hasil inovasi dan penyelidikan yang dijalankan oleh ahli akademik institusi pengajian tinggi, pelajar dan guru.

Peserta bersama inovasi Jig Kimpalan Paip Multi-G

 

Inovasi yang diketengahkan dalam pertandingan ini adalah inovasi Jig Multi-G, iaitu jig kimpalan paip yang boleh digunapakai di institusi TVET bagi membantu pelajar untuk mengasah kemahiran mengimpal paip pada kedudukan dan sudut yang betul.

Setelah dikaji, jig yang sedia ada di institusi TVET tidak memenuhi beberapa aspek seperti keselamatan, kecekapan, rekabentuk, ergonomik, ketepatan sudut, ruang dan sebagainya.

Jig sedia ada juga menggunakan pengunci seperti bindu(chuck), apit (clamp), pengikat (bolt), kimpal paku (spotweld) dan lain lain.

Penggunaan pengunci jenis ini akan melambatkan proses pemasangan sekaligus mengganggu kelancaran proses pembelajaran kelas.

Pelajar sedang mendemonstrasi teknik menggunakan Jig Multi-G

Jig yang direka memudahkan pemasangan dan dapat dijalankan dengan cepat. Bahan kerja akan terus dipegang dengan kuat. Electromagnet yang digunakan dapat menampung beban sehingga 70 kg. Jig kimpalan paip multi G juga boleh dilaraskan sudutnya dengan mudah untuk mendapatkan posisi 2G, 5G dan 6G.

Penggunaan wrachet untuk melaraskan sudut sangat memudahkan dan menggunakan tenaga yang sangat sedikit berbanding jig sedia ada yang memerlukan pengguna membuka pengunci dan ketatkan pengunci untuk pelarasan sudut.

Tambahan jig kimpalan paip multi G mempunyai 3 tingkat pelarasan yang berkonsepkan “slot and sliding” dimana untuk melaraskan ketinggian pengguna hanya perlu melaraskan tanpa perlu mengunci tiang jig. Penggunaan kunci yang minima ada ciri sebuah jig yang baik.

Jig multi G juga menekankan aspek keselamatan dimana beberapa analisis telah dijalankan terhadap momen jig, kekuatan magnet dan berat beban yang mampu ditanggung.

Inovasi ini mendapat perhatian dan komen yang baik dari panel penilai industri. Diharapkan kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada pelajar-pelajar untuk mengetengahkan hasil inovasi dan rekacipta mereka.

Penulis bersama: Dr. Mohd Safarin Nordin