April 26, 2024

Search
Close this search box.

Program Khas untuk Pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor di FABU Iktiraf Kualiti Akademik UTM

JOHOR BAHRU, 29 Ogos — Kualiti akademik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi telah menerima pengiktirafan apabila Pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor telah mendaftar dalam program akademik berbentuk Program Khas dalam bidang Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) di Fakulti Alam Bina dan Ukur bermula sesi 2019/2020 di sini, hari ini.

Penglibatan dalam program ini adalah di atas peluang yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Johor kepada empat orang calon pelajar untuk melanjutkan pengajian di UTM.

Majlis pendaftaran pelajar bagi program berkenaan telah diadakan bertempat di Dewan Konvensyen, Fakulti Alam Bina dan Ukur.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Setiausahan Kerajaan Johor, YB Dato’ Haji Azmin bin Rohani, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir Dr. Wahid bin Omar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ir Dr. Zainuddin Abd. Manan, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pegawai-Pegawai Kanan Universiti, Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor, Pengurusan Tertinggi FABU, serta pensyarah-pensyarah program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah FABU.

Program PhD Khas kepada Pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor adalah merupakan yang kedua seumpamanya setelah ia mula dilaksanakan oleh UTM buat kali pertama bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Namun, kali ini ia dilihat amat berbeza dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana calon-calonnya bukan dari kalangan akademik tetapi merupakan pegawai perkhidmatan yang terlibat secara langsung dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Tawaran pengajian PhD kepada Pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor ini akan dilaksanakan secara berfasa mengikut bidang keutamaan.

Pada sesi pengajian ini, program yang ditawarkan adalah Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah).

Program ini adalah selaras dengan Memorendum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara UTM dan Kerajaan Negeri Johor, pada 20 April 2015 yang mana usaha meningkatkan pembangunan akademik dan kepakaran di kalangan pegawai perkhidmatan negeri merupakan sebahagian dari agenda utama.

Program PhD Khas bagi maksud pelaksanaan kepada pegawai-pegawai yang terlibat adalah berasaskan perkembangan semasa umumnya dan negeri khasnya ke arah sistem pentadbiran awam yang lestari.

Artikel disediakan oleh: Dr. Salfarina binti Samsuddin

Gambar disediakan oleh: En. Safri bin Wahid (HEK) dan En. Sedzali Mat Yusof (FABU)

Explore More