April 26, 2024

Search
Close this search box.

Hampir 1000 Pelajar Sekolah dan Mahasiswa UTM Bergotong Royong Semarakkan Hari Kebangsaan

Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa berinisiatif tinggi untuk menyumbang kepada masyarakat.

Baru-baru ini, seramai 300  mahasiswa UTM yang terdiri daripada pasukan kru Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) Sesi 2019/2020 dan 700 murid sekolah bergotong-royong bersama mengindahkan persekitaran Sekolah Kebangsaan (SK) Sg. Tiram di sini baru-baru ini, selain membina sebuah taman lanskap bertemakan kenegaraan.

Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram atau nama ringkasnya SK Sungai Tiram, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak 3 kilometer dari Savanna Hill Resort di mana kesemua anggota pasukan kru MMM dan barisan pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) berkampung. Dibina pada tahun 1950-an, Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram kini menempatkan keseluruhan murid seramai 1236 orang. Ia juga mempunyai seramai 75 orang guru dan 5 kakitangan.

Pengarah Pembangunan Pelajar UTM, Prof. Madya Dr. Azlan Abd Latib dalam ucapan perasmiannya berkata pasukan dari UTM sangat gembira dapat bersama-sama pihak sekolah dalam menjayakan aktiviti menyemarakkan jiwa patriotik dan semangat kemerdekaan ini.

“Adalah menjadi harapan besar kami agar adik-adik di sekolah ini dapat menggantikan tempat abang-abang dan kakak-kakak dari UTM ini untuk menggantikan tempat mereka sebagai mahasiswa universiti tersebut satu hari nanti,” ujarnya lagi.

Pengarah program, Muhamad Iqbal Shapie berkata usaha kesemua mahasiswa UTM terlibat berjalan kaki sejauh 4 kilometer dari kem mereka di Savanna Hill ke SK Sg. Tiram dirasakan sangat berbaloi setelah menerima sambutan meriah daripada warga sekolah dan juga hasil akhir program.

Berjalan kaki sejauh 4km dari Savanna Hill ke SK Sg. Tiram
Barisan Pengurusan SK Sg Tiram diketuai oleh Guru Besar Hj. Khairul Anuar Mashuri (6 dari kiri) dan Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib (4 dari kiri)

Guru Besar SK Sg. Tiram, Hj. Khairul Anuar Mashuri mengucapkan terima kasih kepada UTM yang sudi memilih sekolah ini untuk bersama-sama melaksanakan projek mengindahkan persekitaran sekolah sempena bulan kemerdekaan.

Beliau juga berharap kehadiran mahasiswa UTM dapat memberi suntikan semangat kepada adik-adik warga sekolah untuk maju dalam pelajaran mereka.

Yang DiPertua PIBG, Nor Hayati Salman melahirkan rasa gembira dengan kesepakatan dan kerjasama erat antara mahasiswa UTM dan pelajar sekolah serta berharap kerjasama ini akan berterusan untuk jangka panjang.

Perkara yang sama juga dizahirkan oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Rita Zunika Lokman percaya salah satu aktiviti program iaitu slot ‘coaching’ atau motivasi akan mampu melonjakkan minat pelajar sekolah terhadap pelajaran selain menjadikan mahasiwa UTM yang hadir sebagai idola mereka.

Slot Motivasi UPSR diserikan dengan penglibatan Tokoh Siswa Kebangsaan 2018, Muhamad Syafik Rahmat

Ketua Operasi Minggu Mesra Mahasiswa, Muhamad Iqbal Shapie berkata program ini merupakan sebahagian daripada pengisian Kursus Pengurusan Kru MMM yang berlangsung selama 3 hari di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram dari 28 hingga 30 Ogos 2019. “Selain berbakti kepada masyarakat Sg. Tiram, program seumpama ini juga merupakan wadah terbaik untuk mengeratkan kerjasama sesama ahli pasukan kru MMM ini,” tambahnya lagi.

Pelajar kelas 6 (Arif) Faisal Andry Halim yang bakal menduduki UPSR tidak lama lagi bercita-cita menjadi seorang jurutera dan menyatakan keterujaannya dapat bersama abang-abang UTM serta berharap satu hari nanti beliau dapat melanjutkan pelajar di universiti tersebut. Bagi Nurain Ramadhanie Jumat dari kelas 6 Cerdas pula beliau gembira dapat berkenalan dengan kakak-kakak baru dari UTM.

Selain slot motivasi untuk pelajar yang akan menduduki UPSR tidak lama lagi yang turut diserikan dengan kehadiran Tokoh Siswa Kebangsaan 2018, Muhammad Syafik Rahmat, pelbagai aktiviti dilaksanakan melalui 8 kumpulan. 4 kumpulan melaksanakan kerja-kerja menghias kelas-kelas dan sudut-sudut di sekitar sekolah dengan tema kemerdekaan. 2 kumpulan lagi mewarnakan semula mural di bangunan sekolah dengan warna-warna jalur gemilang manakala 2 lagi kumpulan menghias taman dan lanskap.

Antara projek lain yang mencuri tumpuan warga sekolah ialah kerja menghias pintu gerbang sekolah dengan jalur gemilang serta kerja mengecat tandas-tandas sekolah yang tiba-tiba berubah wajah dengan warna-warna ceria bendera Malaysia.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah mahasiswa UTM bersama adik-adik baru mereka

Turut hadir Guru Penolong Kanan Pentadbiran SK Sg. Tiram, B. Shaji Balakrishnan dan para pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Explore More