Pada 18 April 2019, satu ceramah berkaitan kerjaya telah diadakan untuk pelajar Geoinformatik yang dianjurkan hasil usaha Kelab Geoinformatik Fakulti Alam Bina dan Ukur.

Seramai 80 pelajar yang terdiri daripada mahasiswa program Geoinformatik terutamanya pelajar tahun 3 dan 4 telah menghadiri sesi bicara santai bersama usahawan muda Jeju Muslim Travel .

Ceramah kerjaya ini telah diberikan oleh Encik Mohd Syafiq Idris seorang usahawan muda yang kini menjadi pengurus kepada dua buah syarikat di Korea iaitu Jeju Muslim Travel dan Kereta Sewa Jeju. Beliau yang mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan yang pernah bekerja di syarikat minyak dan gas antarabangsa ini telah mengambil keputusan untuk keluar daripada zon selesa dan mencipta kerjaya yang menepati dengan minatnya iaitu mengembara.

Tujuan ceramah ini diadakan untuk memberi  motivasi  kepada bakal-bakal alumni untuk mempersiapkan diri dengan minda keusahawanan selepas berjaya menamatkan pengajian kelak.

Tajuk ceramah yang bertajuk ‘ From Engineer to Entrepreneur : create your own job’ adalah untuk memberi semangat kepada pelajar untuk berani mencipta kerjaya sendiri yang bertepatan dengan minat, meluaskan lagi pandangan dengan tidak terhad kepada profisyen kerjaya makan gaji.

Penceramah telah berkongsi ciri-ciri dan keberanian yang perlu ada kepada usahawan muda untuk menceburi dan kekal berdaya saing di dalam perniagaan yang diusahakan.

Penceramah telah berkongsi tips dan cabaran yang beliau hadapi untuk membuka syarikat sendiri di negara orang, berusaha untuk memastikan kemandirian syarikat, mencipta jenama syarikat menggunakan media sosial dan kepentingan tidak boros dan perlunya menabung di peringkat awal perniagaan.

Bicara santai ini merupakan salah satu kaedah pembelajaran non-konvensional yang digunakan dalam Program Sarjana Muda Sains Geoinformatik untuk mempersiapkan diri   dengan ilmu dan ciri-ciri  untuk berdaya saing dalam dunia selepas menamatkan pengajian kelak.

 

Bergambar kenangan bersama pelajar Geoinformatik yang tidak melepaskan peluang untuk mendengar perkongsian untuk menjadi usahawan di usia muda.

CEO muda Jeju Travel Muslim berkongsi tip dan cabaran yang dihadapi untuk membuka perniagaan sendiri di luar negara di usia muda.