April 20, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh: Azra Ayue Abdul Rahman

Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS) telah menganjurkan satu majlis ukhuwah sempena memperkukuhkan lagi ikatan silaturahim dan meraikan staf yang terpilih menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Selain itu, majlis ini juga meraikan staf yang akan bersara setelah berpuluh tahun menabur budi, menyemai bakti kepada sekolah.

Mengeratkan lagi silaturahim bersama

 

Majlis yang diadakan bertempat di Cinta Terrace, Cinta Ayu Pulai Spring Resort, Johor telah dihadiri oleh pensyarah-pensyarah dan barisan pentadbir sekolah. Majlis kali ini diacarakan oleh Dr. Mastura Mahfar dan Dr. Irmawati Norazman. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Dr. Mohd. Nasir Masroom yang merupakan pensyarah kanan SHARPS dan juga Timbalan Pengarah, Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dalam ucapan alu-aluan Pengerusi SHARPS, Prof. Madya Dr. Siti Aisyah Panatik menzahirkan betapa pentingnya ukhuwah dalam kalangan ahli-ahli sekolah terus disuburkan. Ukhuwah yang erat mampu menjadikan segala usaha membangunkan sekolah dapat digalas bersama. Umpama pepatah Melayu yang menyebut, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”

Prof. Madya Dr. Siti Aisyah menyampaikan cenderamata kepada Pn. Hamidah

Prof. Madya Dr. Siti Aisyah Panatik juga mewakili seluruh warga sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Puan Hamidah Abdul Rahman yang akan bersara tidak lama lagi. Puan Hamidah Abdul Rahman juga di dalam ucapan perpisahannya menyatakan kesedihan akan meninggalkan sekolah dan UTM yang telah sekian lama menjadi sebahagian daripada dirinya.

Walaupun akan bersara, namun segala kenangan di sekolah dan UTM tetapi menjadi memori indah untuk beliau. Beliau berharap agar sekolah dan UTM terus mengukir kecemerlangan di masa hadapan.

Majlis juga meraikan Prof. Madya Dr. Mohd. Azhar Abdul Hamid yang akan menunaikan haji pada tahun ini. Prof. Madya Dr. Mohd. Azhar Abdul Hamid dalam ucapan sebelum pemergiannya ke Tanah Suci, berhasrat untuk mendoakan kesejahteraan sekolah, fakulti dan UTM semasa beliau berada di Mekah nanti. Seluruh warga sekolah juga mendoakan agar beliau dan isteri dikurniakan haji yang mabrur dan dipermudahkan urusan di sana.

Selamat menjadi “Duyufurrahman” iaitu tetamu Allah buat Prof. Madya Dr. Mohd. Azhar Abdul Hamid.

 

Ucapan Prof. Madya Dr. Mohd. Azhar Abdul Hamid sempena pemergian beliau ke Tanah Suci mengerjakan haji.

Explore More