April 25, 2024

Search
Close this search box.

Kes pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang telah memaksa pencarian sebuah solusi tetapi pihak berkuasa masih belum menjumpai titik tolak yang dapat merubahkan nasib penyiasatan ini. Sehingga kini ratusan penduduk di sekitar kawasan tersebut telah menerima akibat daripada bencana ini  dan kelancaran kehidupan seharian penduduk di situ telah terganggu.

Kajian demi kajian yang dilaksanakan masih belum mampu untuk membuktikan punca kepada permasalahan ini malah semakin buntu dari semasa ke semasa. Namun begitu, pihak berkuasa terutamanya Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan pemerhatian ke atas penduduk disitu bagi mendapatkan maklumat terhadap pencemaran yang dialami.

Dalam sebuah temubual pada 3 Julai 2019 bersama Profesor Dr Abdul Rahim Bin Hj Mohd Yusoff ( Dekan Fakulti Sains UTM  ) yang merupakan pakar dalam bidang kimia, beliau berkata kes yang berlaku di Pasir Gudang ini adalah unik kerana amat sukar untuk mencari punca, serta terdapat dua kejadian yang berlaku dalam jangka masa yang singkat iaitu kes pencemaran Sungai Kim Kim juga di Pasir Gudang.

Menurut kajian yang telah dijalankan bersama pakar-pakar di UTM, hasil daripada bacaan indeks pencemaran udara di beberapa tempat, terdapat beberapa kemusykilan iaitu kawasan yang merekodkan kadar bacaan yang tinggi tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan mahupun aduan kesihatan manakali sebaliknya pula berlaku di sesetengah tempat.

Ujarnya lagi, terdapat sekolah yang jauh terletak dari kawasan “panas” jugak turut terjejas. Hal ini berkemungkinan berpunca daripada tiupan angin dan merebak ke sekitar kawasan namun beliau tidak menolak sebarang kemungkinan terhadap punca permasalahan ini. Beliau berkata kes pencemaran udara ini amat berbeza dengan kes pencemaran di sungai Kim Kim kerana kes ini meliputi kawasan yang lebih besar dan tidak tertumpu seperti di sungai Kim Kim.

Hasil daripada kajiannya lagi, beliau berkata terdapat suatu anamoli ( bahan asing ) yang terkandung di dalam udara dan berkemungkinan bahan ini juga yang menyebabkan bau busuk sehingga menyebabkan segelintir penduduk berasa mual dan mengalami muntah-muntah.  Walaupun begitu, ujian yang dijalankan terhadap mangsa yang sakit tidak menunjukkan apa-apa tanda di luar kebiasaan yang normal.

Bahan asing yang mempunyai sifat-sifat yang tersendiri seperti berbau busuk mungkin merupakan punca kepada bau busuk yang dialami oleh penduduk setempat tetapi bahan asing tersebut tidak dapat dikesan dalam darah mahupun sampel air kencing mangsa. Hal ini menyebabkan para pengkaji dan pihak berkuasa tidak dapat menemui hubung kait diantara kedua-dua situasi tersebut.

Menurut Prof Abdul Rahim juga, pengesanan dan mengenal pasti bahan-bahan kima yang terkandung adalah satu titik tolak dan harus dijadikan keutamaan. Disamping itu, pengurangan pengeluaran bahan kimia ini haruslah dititikberatkan dan memerlukan kerjasama pihak pengilang juga. Terdapat tiga cara pengurangan bahan buangan ini seperti yang dinyatakan oleh Prof  iaitu pembuangan melalui serombong, melalui air sisa serta penghantaran sisa ke kawasan pelupusan.

Apabila beliau ditanya mengenai status Pasir Gudang yang merupakan sebuah Bandar industri yang sudah tidak selamat serta mengapa baru terjadi kes seperti ini setelah sekian lama, beliau berkata, adalah menjadi kemungkinan bahan kimia dan udara di kawasan itu sudah menjadi sebati dan kini menyebabkan kesan terhadap penduduk di kawasan itu.

Walaupun kes ini dianggap sebagai sebuah musibah tetapi dengan adanya kes seperti ini, ianya akan menjadikan pihak pengilang serta pihak berkuasa dan penduduk setempat lebih peka terhadap kesan bahan kimia, serta ia dapat membuka peluang penyelidikan dan menarik minat pelajar-pelajar untuk menceburi bidang sains bagi menyumbang kepada kesejahteraan ummah.

 

Explore More