April 25, 2024

Search
Close this search box.

Penyelidik UTM Menyumbang Kepakaran Dalam Merangka Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030

Tanggal 27 Jun 2019 merupakan hari yang bersejarah apabila YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

DPLB yang dirangka oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) merupakan sebuah dokumen rasmi yang terdiri daripada sebuah Dokumen Dasar dan Pelan Tindakan yang bertujuan menerangkan dasar dan menggariskan halatuju, strategi serta tindakan yang akan dilaksanakan bagi mencapai pembangunan luar bandar yang sejahtera menjelang tahun 2030.

Ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa DPLB 2030 merupakan satu projek perundingan yang dijalankan secara kerjasama antara tiga buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Proses merangka, menulis, menderaf dan memurnikan dokumen DPLB2030 adalah stelah bermula setelah satu perbincangan awal pada bulan September 2016 oleh sekumpulan penyelidik daripada tiga universiti bertempat di pejabat KPLB di Putrajaya.

Prof. Dr. Ibrahim Ngah dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU UTM) telah diberi kepercayaan oleh pihak KPLB untuk mengetuai projek ini bersama-sama Prof. Dr. Sulaiman Sajilan dari UniKL. Senarai perunding dari UTM yang telah terlibat secara langsung dari awal sehingga selesainya projek DPLB adalah seperti berikut:

Secara umumnya, DPLB akan bergerak di atas visi Luar Bandar Sejahtera, yang dicetuskan sejak setahun yang lalu oleh YBM Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar.

DPLB akan memandu proses dan program pembangunan luar bandar yang inklusif bagi memenuhi kehendak, jangkaan dan keperluan rakyat. Dasar ini menjadi satu kerangka hala tuju yang komprehensif dalam membangunkan luar bandar untuk tempoh sehingga tahun 2030.

Penggubalan dasar ini berteraskan tiga prinsip iaitu kemampanan dengan mengutamakan kualiti dan kesejahteraan hidup bermasyarakat, inklusif yang mengambilkira pembangunan seimbang dalam segenap aspek kehidupan dan holistik merangkumi pelbagai dimensi seperti sosial, ekonomi, rohani, fizikal, budaya dan tadbir urus.

Usaha ini adalah merupakan kesinambungan kepada proses pembangunan luar bandar yang telah bermula sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Sumber: KPLB (2019: 5)

Sejumlah 10 Teras telah dibentuk bagi menyokong dan merealisasikan visi serta misi DPLB. Input bagi teras dasar pula diperoleh daripada proses beberapa siri program libatsama kumpulan pemegang taruh yang komprehensif.

Ini termasuklah input dan maklum balas agensi yang terlibat dalam program pembangunan luar bandar, badan bukan kerajaan, pihak komuniti, kumpulan peniaga, belia, wanita dan lain-lain.

Sejumlah enam siri jelajah utama dan penganjuran sesi Perbincangan Kumpulan Fokus (Focus Group Discussions, FGD) yang dijalankan meliputi keseluruhan Malaysia termasuklah FGD bagi Zon Sabah, Zon Sarawak, Zon Tengah, Zon Timur, Zon Utara dan Zon Selatan. Selain itu, beberapa platform oleh pihak kementerian seperti program Bicara Komuniti turut dimanfaatkan bagi mengumpul idea, aspirasi serta maklum balas masyarakat terhadap corak dan pedekatan pembangunan luar bandar yang diingini menjelang tahun 2030.

Kiri: Prof. Ibrahim (Ketua Projek) bersama-sama Dr. Khairul semasa majlis pelancaran DPLB 2030 di Putrajaya

Berdasarkan 10 Teras DPLB yang dinyatakan, pembinaan 6 Teras melibatkan input serta sumbangan kepakaran secara langsung para penyelidik dari UTM, seterusnya membuktikan keupayaan staf untuk menyumbang secara maksimum kepada agenda pemerkasaan masyarakat luar bandar dan juga pembangunan negara secara keseluruhan.

Adalah diharapkan DPLB akan diterimapakai oleh semua pihak yang berkepentingan, dan segala strategi yang telah dikenal pasti dan dinyatakan didalam Dokumen Dasar dan Pelan Tindakan DPLB akan dilaksanakan supaya setiap lapisan masyarakat tidak ketinggalan di dalam menikmati hasil kemakmuran negara.

 

Disediakan oleh:

Dr. Khairul Hisyam Kamarudin

Fakulti Teknologi dan Informatik Razak

UTM Kuala Lumpur

Explore More