Universiti Teknologi Malaysia ( UTM ) menjadi tuan rumah kepada satu perhimpunan peringkat antarabangsa iaitu Simposium Antarabangsa Ke-11 Persatuan Pelajar Indonesia Sedunia ( OISAA ). Malaysia dan UTM telah dipilih untuk menjadi tuan rumah berdasarkan proses cabutan  undi dan merupakan platform bagi UTM untuk menjalinkan jaringan bersama Indonesia. Somposium tersebut dijalankan bermula 10 Julai sehingga 14 Julai 2019 bertempat di Dewan Sultan Iskandar, UTM

Simposium tersebut dihadiri oleh para delegasi seramai 260 orang, 39 wakil-wakil Perwakilan Pelajar Indonesia yang melanjutkan pelajaran di 56 buah negara. Simposium ini dirasmikan oleh Direktorat Jenderal Pembelajaran dan Kemahasiswaan, Kementerian Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Prof. Dr. Ismunandar dan turut menghadiri simposium tersebut ialah Naib Canselor UTM iaitu Prof. Datuk Ir. Wahid Bin Omar.

Tema yang dipilih bagi penganjuran simposium kali ini ialah “Inovasi Berkelanjutan sebagai Sumbangsih Pemuda Indonesia untuk Kemandirian Bangsa”. Simposium pada kali ini lebih tertumpu kepada impak yang boleh diberikan oleh golongan belia terhadap negara.

Menurut temubual bersama pihak UTM iaitu Datuk VC, beliau berkata UTM  merupakan tempat bagi kira-kira 500 orang pelajar dari Indonesia melanjutkan pelajaran. UTM telah membuka pintu peluang terhadap pelajar dari Indonesia sejak sekian lama dan impaknya dapat dilihat apabila sudah ramai alumni UTM yang telah kembali ke Indonesia dan menjadi penghubung yang baik di antara Malaysia dan Indonesia.

Ujarnya lagi, UTM telah menjadi sebahagian daripada sejarah penganjuran simposium dan menjadikan hubungan yang lebih baik diantara kedua buah negara. Beliau juga berkata bahawa simposium ini adalah satu contoh yang terbaik dan pelajar berupaya untuk mengendalikan program sebesar ini dan harus dijadikan contoh kepada pelajar Malaysia di luar negara.

Menurut beliau lagi, beliau akan berusaha mengetengahkan cadangan bagi mewujudkan simposium seperti ini kepada pelajar Malaysia yang berada di luar negara. Dengan adanya perhimpunan seperti ini, sebuah perkongsian ilmu dapat dijalankan yang merupakan platform bagi idea baharu memandangkan mereka akan menjadi bakal pemimpin negara pada masa hadapan. Inisiatif seperti ini juga merupakan hasrat kerajaan bagi masa kini iaitu dengan memperkasakan golongan belia serta dapat menimba pengalaman bagi persiapan diri.

Menurut ketua mahasiswa Indonesia dalam temubual yang sama, beliau berkata simposium ni adalah merupakan satu gagasan inovasi yang berlanjutan dari pelajar-pelajar Indonesia di luar negara. Pelajar di luar negara menimba ilmu dan dikongsi bersama para pemimpin di Indonesia.

Ujarnya, hasil dari simposium yang sudah lepas, mereka berjaya mewujudkan satu visi iaitu dengan menetapkan pencapaian dan usaha ke arah tahun 2045 yang merupakan sambutan kemerdekaan Indonesia yang ke-100.

Simposium ini boleh dijadikan sebagai penanda aras kepada mahasiswa mahasiswi di Malaysia agar mencontohi sistem ini agar Malaysia juga boleh berkembang sejajar dengan perkembangan arus pemodenan semasa.