April 26, 2024

Search
Close this search box.

SURABAYA, 20 Jul. — Pada 6 Julai 2019, dua orang pelajar jurusan Psikologi dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah terpilih menyertai sebuah program musim panas anjuran Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) di Surabaya.

Program yang lebih dikenali sebagai CommTECH Camp Highlight 2019 ini telah berlangsung selama dua minggu dan telah mendapat penyertaan dari 15 buah negara antaranya ialah China, Jepun, Hungary dan United State of America.

Melalui program ini, peserta telah didedahkan dengan budaya Indonesia khususnya budaya masyarakat di Jawa Timur.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa program ialah kelas asas fotografi, kelas Bahasa Indonesia, bengkel membuat rotan, bengkel membuat layang-layang dan bengkel membuat tanglung atau lebih dikenali sebagai damar kurung dalam kalangan masyarakat Jawa Timur.

Menurut Siti Khairunnisa Shamsudin, salah seorang peserta dari UTM, damar kurung ini merupakan budaya sangat istimewa kerana ia hanya terdapat di Kampung Kemasan, Gresik, Surabaya.

Selain daripada aktiviti di dalam kelas, peserta juga didedahkan dengan pembelajaran di luar kelas yang lebih bersifatkan Global Project based Learning (GPbL).

Peserta telah dibawa melawat kampung-kampung di sekitar Surabaya untuk merasai sendiri pengalaman bergaul dengan masyarakat tempatan serta mempelajari serba sedikit tentang pekerjaan asas penduduk kampung tersebut.

Antara kampung yang dilawati ialah Kampung Tempe, di mana pekerjaan asas penduduk kampung tersebut ialah membuat tempe dan memasarkan produk mereka di serata Indonesia.

Di samping itu, peserta juga telah diberi peluang untuk mempelajari serba sedikit tentang sejarah negara Indonesia dan sejarah kemasukan agama Islam di Pulau Jawa dengan melawat muzium Tugu Pahlawan dan daerah Gresik di mana terdapatnya makam Sunan Maulana Malik Ibrahim. Beliau merupakan salah seorang daripada wali songo yang telah menyebarkan Islam di Pulau Jawa.

Meskipun padat dengan pembelajaran di dalam dan luar kelas, kemuncak program ini telah memberi peluang kepada para peserta untuk merasai pengalaman mendaki Gunung Bromo yang merupakan gunung berapi aktif di Pulau Jawa.

Selain itu, para peserta juga telah dibawa untuk merasai aktiviti water rafting di Sungai Pekalen, di daerah Probolinggo, Jawa Timur.

Aktiviti yang mengambil masa 2 jam untuk merentasi sungai yang mempunyai kepanjangan sebanyak 12 km ini sangat memberi makna kepada para peserta apabila mereka dapat menikmati keindahan panorama sungai tersebut.

Pada penghujung program ini, peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diminta untuk menyiapkan poster dan buku visual yang mengumpulkan beberapa gambar yang melambangkan kebudayaan Jawa Timur. Seorang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Siti Khairunnisa Shamsudin telah menempah nama apabila beliau dan ahli kumpulannya berjaya memenangi anugerah poster terbaik.

Kejayaan ini membuktikan bahawa kita mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan peserta-peserta dari negara lain.

Program seperti ini banyak memberi manfaat kepada para peserta.

Tasneem Anisa Azmi, salah seorang peserta dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, program ini telah memberi peluang kepadanya untuk lebih mengenali negara Indonesia.

Meskipun terdapat perbezaan di antara budaya Malaysia dan Indonesia, kita tidak dapat menafikan bahawa budaya kedua-dua buah negara berasal dari akar yang sama.

Hal ini membuktikan bahawa kita adalah serumpun. Beliau juga turun menyatakan bahawa program ini telah memberi peluang kepadanya untuk bertukar-tukar idea dan pendapat dengan rakan-rakan dari negara lain.

Explore More