April 26, 2024

Search
Close this search box.

Lima Pasukan UTM Terpilih Antara 10 Pasukan Terbaik Pertandingan Simulasi Perniagaan MonsoonSIM peringkat kebangsaan

Disediakan oleh: Azra Ayue Abdul Rahman dan Zulkifli Khair

Lima pasukan UTM berjaya menempatkan diri dalam senarai sepuluh pasukan terbaik negara dalam Pertandingan Simulasi Perniagaan MonsoonSIM (MERMC) peringkat kebangsaan yang diadakan di Asia Pacific University (APU) pada 20 Julai 2019.

Pertandingan ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran perniagaan menerusi kaedah pembelajaran terkini selari dengan Industrial Revolution 4.0 dan memilih empat pasukan teratas untuk mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa di Hong Kong pada 10 dan 11 Ogos nanti.

Pertandingan ini disertai oleh 29 pasukan dari seluruh Malaysia. Para peserta pertandingan terdiri daripada mahasiswa dari sembilan institusi pengajian tinggi seluruh negara termasuk Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman dan juga daripada tuan rumah, APU.

Ini merupakan kali keempat APU menjadi tuan rumah. Buat julung kalinya pertandingan MonsoonSIM disempurnakan perasmian pembukaannya oleh Timbalan Menteri. Beliau ialah YB Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

UTM menghantar enam pasukan yang dibimbing dan diiringi oleh Dr. Mohamad Shah Kassim dan Hj. Shafudin Mohd. Yatim  dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS). Turut sama sebagai pembimbing adalah Dr. Zulkifli Khair dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Dr. Zulkifli Khair bersalaman dengan YB Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan

Biarpun tidak dapat mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa, pasukan UTM iaitu CUPIPI, AUDITORS, DILRABA,TELETUBBIES dan THE MOMENT masing-masing menduduki tempat ke lima hingga sembilan. Pasukan AJK dari UTM menduduki tempat ke sebelas. Untuk makluman, UTM sebelum ini telah mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa selama tiga tahun berturut-turut. Malah UTM pernah menjadi juara dan naib juara di peringkat kebangsaan pada tahun 2017.

Walaupun tidak mengiringi pelajar, Dr. Mohamad Shah Kassim, Hj. Shafudin Mohd. Yatim dan Dr. Zulkifli Khair akan ke Hong Kong Politechnic University sebagai ahli panel meja bulat sempena pertandingan tersebut. Penghargaan wajar diberikan kepada AHIBS dan Pejabat Pengajian Prasiswazah UTM di atas inisiatif dan sokongan.

Antara peserta-peserta MonsoonSIM dari UTM

Explore More