April 20, 2024

Search
Close this search box.

Program UTM Cyber Games 2019 merupakan salah satu program berprestij dan berskala besar yang dijalankan oleh pihak Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Objektif program ini adalah untuk mengetengahkan bidang sukan elektronik dalam kalangan mahasiswa tempatan dan belia negara, menyediakan platform untuk para peminat sukan elektronik untuk bersaing secara sihat dalam satu persekitaran yang kondusif dan juga menggilap bakat terpendam para peserta yang berpotensi untuk melangkah ke peringkat yang lebih gah seperti di pentas antarabangsa.

Bagi menjayakan program ini, pihak JKM KTHO telah membina kolaborasi yang mapan dengan pihak JByte Gaming Studio, yang juga merupakan pembekal barang-barang elektronik seperti monitor, PS4 dan ‘joysticks’.

Sebanyak 30 orang mahasiswa telah bertungkus-lumus selama lebih empat bulan bagi menjadikan program ini satu realiti. Pada hari kejadian, kami telah merekodkan seramai 268 orang peserta yang menghadirkan diri bagi tiga jenis permainan yang berbeza iaitu PES, FIFA 19 dan Mobile Legend.

Rata-ratanya peserta yang hadir adalah daripada selatan tanah air dan berumur dalam lingkungan 18-40. Peserta termuda yang hadir berusia 13 tahun dan terdapat juga peserta yang telah bekerjaya yang turut hadir meluangkan masa untuk menyokong program kami ini.

Program ini telah dijalankan selama dua hari iaitu pada 3 dan 4 Ogos 2019 dan bertempat di T03, UTM.

Marcapada ini, senario para remaja sering berkunjung ke kafe siber untuk bermain permainan video atau bahkan di telefon pintar masing-masing. Walau bagaimanapun, pendedahan tentang permainan video atau lebih dikenali sebagai sukan elektronik ini kurang berkesan dalam kalangan masyarakat tempatan terutamanya di kawasan luar bandar menyebabkan timbulnya perspektif negatif terhadap golongan yang cenderung terhadap sukan ini.

Oleh itu, timbulnya idea daripada pihak kami untuk memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan sukan elektronik melalui program UTM Cyber Game 2019 ini. Kami beraspirasi untuk memberi kesempatan dan peluang yang sama rata bagi semua individu yang berminat dan berpotensi untuk turut sama menceburi bidang ini dengan membuka penyertaan kepada semua tanpa sebarang had terhadap semua aspek, baik dari segi umur mahupun bangsa.

Justeru, hal ini membuktikan bahawa persis bidang sukan yang lain, sukan elektronik ini juga memberi pelbagai manfaat kepada semua pihak. Antaranya, melalui program yang bertemakan permainan video ini pihak JKM KTHO dapat sedikit sebanyak menjana keuntungan daripada sambutan yang diterima oleh masyarakat.

Peserta juga jelas sekali dapat meluangkan masa mereka dengan melakukan aktiviti yang diminati yang sekali gus dapat mengurangkan tekanan mereka. Kini, minat mereka bukan sahaja dapat memberi keseronokan dan kepuasan, bahkan boleh menjadi salah satu cara untuk mereka menjana pendapatan.

Akhir sekali, hal yang paling penting adalah program ini juga menjadi wadah untuk membina perpaduan dan keharmonian antara kaum melalui penyertaan daripada pelbagai kaum serta penganjur yang terdiri daripada berbilang bangsa.

Para peserta sedang bertanding dalam permainan FIFA 19.

 

Para peserta sedang bertanding dalam permainan Mobile Lengend.

 

Para peserta sedang bertanding dalam permainan PES.

Explore More