April 25, 2024

Search
Close this search box.

FABU Pupuk Kesedaran Ilmu Tentang Perubahan Iklim di SMPKV Indahpura

JOHOR BAHRU, 15 Jul. — Sekumpulan pensyarah dan pelajar daripada Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya melaksanakan program bersama komuniti, iaitu Mitigasi Perubahan Iklim Libatsama Komuniti di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Indahpura, Kulai, Johor.

Seramai lima orang pensyarah diketuai oleh Dr Ainur Zaireen binti Zainuddin bersama tiga staf teknikal dan seorang pelajar daripada FABU telah bersama-sama menjayakan program ini.

Program ini adalah merupakan sebahagian daripada Program Matematik Pendidikan Islam Pendidikan Moral Literasi Komputer (MaPIML FIESTA) yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan melibatkan 150 orang pelajar.

Ia diadakan bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar berkenaan isu pemanasan global, dengan menggabungkan pelbagai teknik pembelajaran, iaitu pameran, taklimat ringkas, dan permainan yang berdasarkan kepada punca dan kesan pemanasan global, serta kaedah untuk mengurangkan pemanasan global daripada terus berlaku.

Selain itu, para peserta juga diberikan maklumat berkenaan ilmu falak dan astronomi, terutama berkaitan sistem matahari dan planet-planet sistem suria.

Aktiviti yang pertama adalah pengumpulan maklumat, di mana para peserta akan mengunjungi pameran yang ada, dan mengumpul maklumat daripada pameran itu.

Selepas selesai sesi pameran, para peserta kemudiannya diberikan taklimat berkaitan astronomi oleh Dr Othman bin Zainon.

Dalam sesi ini juga, peserta diminta untuk membina jam matahari menggunakan peralatan yang disediakan.

Selepas sesi taklimat, aktiviti seterusnya adalah sesi permainan.

Sesi ini bertujuan untuk menerangkan beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan pemanasan global dalam bentuk permainan. Antara permainan yang dilaksanakan adalah pembinaan kincir angin, dan padanan gambar bagi barang yang boleh dikitar semula.

Semua permainan ini dikaitkan dengan isu semasa berkaitan pemanasan global, dan bagaimana pelajar-pelajar ini mampu menjadi ejen kepada pengurangan kesan kepada pemanasan global.

Perasmian penutupannya telah disempurnakan oleh Penyelaras Program Matematik Pendidikan Islam Pendidikan Moral Literasi Komputer (MaPIML FIESTA) SM Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Kulai, iaitu Puan Sulasteri Hairodin.

 

Sesi Taklimat oleh Dr Othman Zainon

Peserta menunjukkan jam matahari yang dihasilkan

peserta menunjukkan jam matahari yang dihasilkan

kumpulan pensyarah FABU yang melaksanakan program

kincir angin yang dihasilkan oleh peserta

 

En Hafizatul menunjukkan contoh penggunaan teleskop

 

Peserta mengambil gambar bersama guru sekolah, serta pensyarah, staf dan pelajar dari FABU

Explore More