April 19, 2024

Search
Close this search box.

FABU-Grab Anjur Young Geo Mappers Galak Generasi Muda Jadi Sukarelawan Pemetaan dan Pupuk Minat Terhadap Geografi

Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi perintis universiti awam pertama yang menjalin kerjasama strategik dengan pihak industri, Grab Malaysia dalam melaksanakan program libat sama bersama komuniti sekolah iaitu Program Young Geo Mappers 2019 pada 23 Jun 2019 lepas bertempat di Makmal Komputer Perancangan Bandar dan Wilayah FABU, di sini.

Program Young Geo Mappers siri 2  yang ditaja oleh pihak Grab Malaysia dan dana KPT-NMG 2019 daripada Pusat Jaringan Komuniti Industri (CCIN) UTM ini melibatkan 62 orang pelajar Tingkatan Enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Jaafar, Johor Bharu dan enam orang guru pengiring.

Terdahulu, Program Young Geo Mappers siri 1 sebelum ini telah diadakan di Sekolah Menengah Sains Banting, Selangor dan juga merupakan sekolah perintis yang mana telah melibatkan pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Dua seramai 55 orang dan mendapat respon yang positif daripada peserta.

Tujuan program Young Geo Mappers ini diadakan adalah untuk melatih pelajar sekolah memodelkan dimensi ruang dan tempat  di atas paparan dua dimensi menggunakan satu platform digital peta percuma iaitu OpenStreetMap (OSM), seterusnya menjadi perintis generasi muda sukarelawan pemetaan komuniti di Malaysia.

Program ini sebenarnya beraspirasi daripada aktiviti sukarela yang giat di laksanakan di peringkat antarabangsa untuk bersama-sama mewujudkan satu peta dunia yang dapat digunakan secara percuma menggunakan perisian sumber terbuka (open source) iaitu OpenStreetMap.

Jadi pelajar-pelajar yang dilatih bakal menjadi sebahagian generasi muda aktivis OSM Malaysia.

Di negara-negara maju seperti London dan Perancis, kebanyakan peta OSM sudah hampir lengkap dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja secara percuma.

Program ini diharap dapat menambah minat pelajar kepada mata pelajaran Geografi dengan mengintegrasi STEM dalam pembelajaran.

Walaupun bidang Geografi di peringkat sekolah dikhususkan untuk jurusan sastera terutamanya untuk pelajar STPM, namun bidang ini telah di integrasi dengan  sains dan teknologi iaitu dengan wujudnya bidang berkaitan geografi seperti bidang Geoinformatik, Remote Sensing, Geomatik dan Perancangan Bandar dan Wilayah yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi.

Program ini juga bertujuan mempromosikan program Sarjana Muda Sains Geoinformatik yang ditawarkan oleh Jabatan Geoinformasi, FABU kepada pelajar sekolah yang menerima kemasukan melalui sijil STPM, Diploma dan juga matrikulasi.

Program Young Geo Mappers ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya. Sr. Dr. Razali bin Abdul Hamid, FABU diiringi oleh Penyelaras Program iaitu Dr Nurul Hawani binti Idris dibantu oleh  pensyarah FABU iaitu Dr. Alvin Lau Meng Shin, Puan NoorDinie binti Che’Man, Dr NoorDyana binti Hassan, Dr. Nurul Syakima binti Mohd Yusoff dan  Dr. Norhakim bin Yusof serta Map Ops Country Lead Grab Malaysia, Puan Nurmalina Zainal Abidin.

 

Ucapan daripada Map Ops Country Lead Grab Malaysia, Puan Nurmalina Zainal Abidin semasa perasmian Program Young Geo Mappers 2019

Sepanjang program Young Geo Mappers ini berlangsung, terdapat dua slot aktiviti yang telah disediakan  iaitu pendigitan fitur fizikal menggunakan platform OpenStreetMap dan slot kedua yang dikendalikan oleh wakil pihak Grab Malaysia sendiri, Cik Maryam binti Abu Bakar, iaitu pendigitan tempat menarik berdasarkan pengenalpastian koordinat objek.

Para pelajar dan guru-guru pengiring dilatih mendigit jaringan jalan raya, bangunan serta pelbagai fitur fizikal yang masih belum didigitalkan berdasarkan imej satelit yang dibekalkan dalam platform OpenStreetMap.

Peserta sedang mengenalpasti latitud dan longitud sesuatu objek fizikal

Pihak Grab Malaysia telah menyediakan hadiah untuk dua jenis kategori pertandingan yang diadakan semasa program ini berlangsung, iaitu untuk pemenang kuiz Kahoot dan peserta yang paling banyak mendigit fitur tempat menarik.

Pemenang untuk kuiz Kahoot dimenangi oleh adik, Nur Ellyana Nazreen Binti Razali dan Ellisya Binti Hasidan manakala untuk kategori pendigitan fitur tempat menarik pula dimenangi oleh adik Aini Murshid, pelajar Tingkatan 6 Sek Men Dato Jaafar Johor Bahru.

 

Bersama pemenang bagi kuiz yang dianjurkan oleh Grab Malaysia

 

Sesi penerangan kepentingan Pemetaan Komuniti kepada para peserta dan guru-guru pengiring oleh Encik Mohd Radhie Mohd Salleh, pelajar PhD program Geoinformatik

Program ini diserikan lagi dengan beberapa aktiviti menarik yang disediakan oleh Jabatan Geoinformasi  dan Grab Malaysia di mana pihak FABU membuat pertunjukan penerbangan dron pesawat udara tanpa pemandu (UAV) untuk pemetaan oleh Dr Alvin Lau Meng Shin di perkarangan parking lot Blok B11 Fakulti Alam Bina dan Ukur.

Manakala pihak Grab Malaysia pula menyediakan permainan kuiz berkaitan spatial menggunakan platform Kahoot yang amat menyeronokkan dan menarik minat pelajar sekolah dan guru SMK Dato’ Jaafar.

 

Sesi penerbangan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) untuk pemetaan oleh Dr Alvin Lau Meng Shin
Wakil dari Grab Malaysia, Cik Mariam Abu Bakar mengendalikan slot kuiz pengenalpastian lokasi objek

Program ini juga telah dijayakan oleh 10 fasilitator yang terdiri daripada pascasiswazah yang diketuai oleh Saudari Sazlieya binti Saupi Teri.

Barisan fasilitator program Young Geo Mappers bergambar kenangan bersama Grab Malaysia

Jabatan Geoinformasi dan Grab Malaysia berharap Program Young Geo Mappers ini  dapat menjadi  saluran  memperkenalkan inovasi dan pemindahan teknologi  geospatial kepada golongan sasaran, iaitu komuniti sekolah. Penganjuran program seperti ini  juga dapat memantapkan lagi  hubungan universiti-industri di antara  UTM dan Grab Malaysia untuk memberi sumbangan dan khidmat kepada masyarakat

Bergambar kenangan bersama peserta Program Young Geo Mappers

Explore More