Disember 14, 2024

Search
Close this search box.

Bengkel Penyempurnaan Kurikulum dan Kerjasama antara FTIR dan Sekolah Vokasi-UNDIP di Semarang, Indonesia

Tanggal 6 Ogos yang lalu, sebuah delegasi daripada Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), UTM Kuala Lumpur telah diundang ke Sekolah Vokasi (SV), Universitas Diponegoro (UNDIP), Semarang, Indonesia bagi menghadiri “Bengkel Penyempurnaan Kurikulum dan Pengukuhan Kolaborasi”.

Delegasi FTIR-UTM dianggotai oleh seramai 4 ahli yang diketuai oleh Dr. Saardin Abdul Aziz (Pembantu Dekan bagi Pendidikan Berterusan dan Transnasional), Prof Madya Abdul Mutaáli Othman (Pengarah, Sains, Pengurusan dan Rekabentuk), Dr. Mohamad Hussaini Wahab dan Dr. Khairul Hisyam Kamarudin.

Sebaik tiba di kampus UNDIP, delegasi UTM diundang ke majlis meraikan kumpulan mahasiswa baharu Tahun 1 Sekolah Vokasi (bagi ambilan Ogos 2019).

Pada majlis tersebut, Dr Saardin telah diberi penghormatan oleh pihak pengurusan tertinggi fakulti untuk menyampaikan ucapan aluan dan motivasi ringkas kepada seramai 1,039 orang mahasiswa baharu yang hadir mendaftar.

Usai majlis bersama mahasiswa baharu, delegasi UTM dan pihak pengurusan tertinggi fakulti mengadakan kunjung hormat dan perbincangan bersama Dekan SV, Prof. Dr. Budiyono bertempat di pejabat beliau.

Berita mengenai kunjungan delegasi UTM ke SV-UNDIP juga turut mendapat liputan akhbar tempatan, SoloPos (baca lanjut, klik >> sini).

Manakala, sesi petang pada hari pertama juga turut dijalankan program “International Talks” oleh delegasi UTM iaitu Dr Khairul Hisyam menerusi syarahan beliau yang bertajuk “Rural Development Progress & Transformation in Malaysia: Moving towards 2030 agenda”.

Seramai kira-kira 100 orang mahasiswa dan staf akademik SV telah hadir mendengar ceramah selain turut terlibat didalam sesi soal-jawab dan perkongsian ilmu.

Syarahan Dr. Khairul turut menyentuh berkenaan agenda pembangunan luar bandar Malaysia dari awal kemerdekaan negara dan perancangan inklusif sehingga tahun 2030 menerusi Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada bulan Jun 2019 yang lalu.

Program hari ke-2 pula diteruskan dengan delegasi UTM dibawa melawat ke beberapa tempat menarik di dataran tinggi Dieng, Jawa Tengah.

Tujuan lawatan adalah untuk melihat usaha komuniti setempat mengembangkan pelbagai produk dan tarikan pelancongan bernilai warisan alam dan budaya di sana.

Rombongan turut dibawa melawat ke Kawah Sikidang, Candi Arjuna, Telaga Berwarna serta beberapa lokasi yang boleh dijadikan contoh amalan terbaik pengurusan sumberdaya pelancongan berbasis komuniti.

Menerusi lawatan berkenaan, delegasi dapat melihat sendiri peranan pertubuhan lokal didalam menyediakan dana bagi mengembangkan aktiviti ekonomi dan pengurusan pelancongan (wisata) menerusi pengenalan sistem tiket/yuran masuk, tenaga kerja tempatan menguruskan kerja-kerja menaiktaraf fasiliti dan kemudahan serta pengindahan kawasan tarikan pelancong.

Program hari ke-3 diteruskan dengan sesi “Bengkel Penyempurnaan Kurikulum dan Kerjasama SV-UNDIP dan FTIR-UTM, bertempat di HOM Hotel Simpang Lima, Kota Semarang.

Sesi bengkel dimulakan dengan ucapan aluan Yang Berbahagia Prof. Budiyono, Dekan SV-UNDIP, dususuli ucapan balas oleh Dr. Saardin selaku ketua delegasi UTM.

Di antara agenda utama perbincangan adalah; (1) pertukaran mahasiswa dan staf akademik; (2) meninjau ruang bagi melaksanakan sistem perpindahan kredit melibatkan program akademik yang setara; (3) peluang mahasiswa D3 UNDIP menyambung pengajian mereka di UTM (untuk peringkat S1 dan S2); (4) peluang staf akademik SV-UNDIP yang telah memiliki S2 melanjutkan pengajian mereka ke peringkat S3 di UTM; (5) peluang bagi penyeliaan bersama/jarak jauh, dan; (6) penyertaan mahasiswa FTIR dalam program “Summer School 2020” anjuran SV.

Kegiatan bengkel telah dilaporan didalam laman sesawang SV-UNDIP (baca lanjut, klik >> sini).

Diakhir sesi bengkel, kedua-dua belah pihak turut bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut dan susulan terhadap beberapa perkara yang membawa manfaat bersama bagi kedua-dua buah fakulti.

Delegasi UTM amat berterima kasih di atas layanan dan sambutan hangat yang telah diberikan oleh pihak pengurusan SV, para kakitangan akademik dan mahasiswa sepanjang tempoh kunjungan ke UNDIP.

Disediakan oleh: Dr. Khairul Hisyam Kamarudin, FTIR UTM Kuala Lumpur

Explore More