April 25, 2024

Search
Close this search box.

 


KENYATAAN MEDIA
UTM MENYOKONG PENUH INTEGRITI AKADEMIK DI UNIVERSITI AWAM

JOHOR BAHRU, 2 JUL. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku melibatkan integriti akademik.

 

Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar berkata universiti tersebut mengambil perhatian serius isu ini kerana integriti akademik amat penting dan sebarang isu berkaitannya memberi gambaran buruk yang menjejaskan reputasi institusi secara keseluruhannya.

 

“Mengikut rekod yang ada, sehingga kini tiada kes yang disabitkan yang melibatkan staf mahupun pelajar berkaitan integriti akademik di UTM,” beliau berkata dalam sebuah kenyataan balas kepada laporan akhbar The Malay Mail bertarikh 29 Jun 2019 berhubung kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz berkaitan isu integriti akademik.

 

“Universiti ini tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku integriti terutama integriti akademik dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, tindakan tatatertib kepada staf mahupun pelajar yang disabitkan selepas proses siasatan mengikut tatacara sedia ada,” kata beliau.

 

UTM telah menyediakan pelbagai saluran aduan yang boleh dicapai oleh seluruh staf, pelajar dan juga masyarakat luar iaitu sistem aduan icare, sebuah portal aduan sehenti UTM di mana aduan dikendalikan secara telus demi menjamin kerahsiaan pengadu.

 

Beliau menambah, emel atau surat yang diadukan secara terus kepada Naib Canselor, Pengurusan Tertinggi Universiti atau mana-mana Pegawai juga akan disiasat mengikut tatacara universiti.

 

“Mana-mana kes integriti, termasuk kes integriti akademik yang diterima akan dirujuk kepada Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) UTM yang kini dikenali sebagai Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR).

 

JAR diberi kuasa oleh universiti untuk menyiasat secara bebas berdasarkan piawaian antarabangsa kes-kes berkaitan integriti termasuk integriti akademik seperti plagiat, hak cipta penerbitan, sama ada dalam makalah, jurnal atau pun tesis,” kata beliau.

 

Menurut Prof. Wahid, UTM juga memiliki Kod Etika Profesional yang mengandungi perkara berkaitan Peraturan Akademik sebagai usaha universiti untuk menangani kes integriti akademik seperti plagiat.

 

“Jika didapati wujud perlanggaran kepada peruntukan di bawah Kod Etika Profesional ini, staf boleh dikenakan tindakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan-Badan Berkanun, Akta Badan- Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000,Akta 605 yang mana terpakai.

 

Selain dari Kod Etika Profesional, pelajar dan penyelia juga tertakluk kepada etika penerbitan yang tercatat di dalam Peraturan Akademik Pasca Siswazah UTM yang sedang berkuatkuasa,” kata beliau.

UTM melalui Research Management Centre (RMC) telah menyediakan platform bagi para staf akademik dan penyelidik merekodkan dengan jelas maklumat penulisan jurnal sama ada mereka adalah penulis utama, penulis bersama atau sebagainya dan garis panduan ini boleh dirujuk oleh semua staf serta pelajar.

 

“Sekali lagi ditegaskan, UTM mempunyai sistem yang mantap dalam memastikan integriti akademik sentiasa terpelihara,” kata beliau mengakhiri kenyataan tersebut.

 

Nota: Kenyataan akhbar ini telah disiarkan di dalam Berita Harian (18 Julai 2019) dan New Straits Times bertarikh 10 Julai 2019.

 

Pejabat Hal Ehwal Korporat

Universiti Teknologi Malaysia,

Johor Bahru, Johor

1 Julai 2019

 

 

 

Explore More