JOHOR BAHRU, 24 Jun — Inisiatif merancakkan mandat “Universiti untuk Masyarakat” oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diteruskan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi landasan Lembah Inovasi Johor (Johor Innovation Valley).

Sinergi diteruskan bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) di mana telah berlangsungnya sesi pembentangan cadangan projek JIVe bagi fasa pertama di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar melibatkan 4 kluster  ekonomi iaitu Pendidikan, Keusahawanan, Alam Sekitar dan Information And Communications Technology (ICT).

15 pembentangan telah berjaya diadakan bagi sesi kali ini di mana ketua projek adalah terdiri daripada penyelidik dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi di Negeri Johor antaranya UTM, Universiti Teknologi Mara Pasir Gudang (UiTM-PG)  dan Institut Pendidikan Guru Temenggong Ibrahim (IPGTI).

Panel penilai yang hadir terdiri daripada wakil daripada entiti yang terlibat dalam membangunkan 4 kluster ekonomi tersebut antaranya adalah Pejabat Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Johor(JPNJ), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), J-Biotech, SME Corp, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor (JPSJ), Jabatan Alam Sekitar Johor (JASJ), Bahagian Sains Teknologi & ICT Negeri Johor (BSTICT).

Turut hadir pada sesi tersebut adalah Setiausaha Bahagian Pemantauan dan Kesejahteraan Rakyat, Tuan Haji Abdull Jalil bin Othman selaku panel utama penilaian.

Menurut Prof Madya Dr Johari selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja JIVe dan juga Pengarah Pusat Jaringan Komuniti & Industri UTM (CCIN), sesi pembentangan ini telah berjaya menyatukan pelbagai institusi di negeri Johor untuk turun kepada masyarakat melaksanakan program yang berupaya menyokong kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negeri.

UTM komited untuk menjadi pemangkin sinergi dalam menyatukan semua pemegang taruh dalam usaha memastikan hasrat Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor dengan memanfaatkan inovasi Institusi Pengajian Tinggi di Johor tercapai dengan jayanya.