April 19, 2024

Search
Close this search box.

KENYATAAN UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA BERHUBUNG ISU INTEGRITI AKADEMIK DI UNIVERSITI AWAM

KENYATAAN UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA BERHUBUNG ISU INTEGRITI AKADEMIK DI UNIVERSITI AWAM

1 JULAI 2019

1. Kenyataan ini adalah merujuk kepada kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz yang dilaporkan oleh akhbar The Malay Mail bertarikh 29 Jun 2019 berkaitan isu integriti akademik.

2. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil perhatian serius isu ini kerana integriti akademik amat penting dan sebarang isu berkaitannya memberi gambaran buruk yang menjejaskan reputasi institusi secara keseluruhannya. UTM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku integriti terutama integriti akademik dan tidak akan teragak- agak untuk mengambil tindakan tegas, tindakan tatatertib kepada staf mahu pun pelajar yang disabitkan selepas proses siasatan mengikut tatacara sedia ada.

3. UTM ingin menegaskan bahawa kami mempunyai saluran aduan yang boleh dicapai oleh seluruh staf, pelajar dan juga masyarakat luar iaitu:
(i) Sistem aduan icare yang berperanan sebagai portal aduan sehenti UTM. Melalui sistem ini aduan dikendalikan secara telus dan oleh itu, kerahsiaan pengadu adalah dijamin.
(ii) Emel atau surat yang diadukan secara terus kepada Naib Canselor, Pengurusan Tertinggi Universiti atau mana-mana Pegawai juga akan disiasat mengikut tatacara universiti.

4. Mana-mana kes integriti, termasuk kes integriti akademik yang diterima akan dirujuk kepada Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) UTM yang kini dikenali sebagai Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR). JAR diberi kuasa oleh universiti untuk menyiasat secara bebas berdasarkan piawaian antarabangsa kes-kes berkaitan integriti termasuk integriti akademik seperti plagiat, hak cipta penerbitan, sama ada dalam makalah, jurnal atau pun tesis. Megikut rekod yang ada, sehingga kini tiada kes yang disabitkan yang melibatkan staf maupun pelajar berkaitan integriti akademik di UTM.

5. Selain kaedah di atas, UTM mempunyai dokumen Kod Etika Profesional yang turut mengandungi perkara berkaitan Peraturan Akademik sebagai usaha universiti untuk menangani kes integriti akademik seperti plagiat. Jika didapati wujud perlanggaran kepada peruntukan di bawah Kod Etika Profesional ini, staf boleh dikenakan tindakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan-Badan Berkanun, Akta Badan- Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000,Akta 605 yang mana terpakai.

6. Selain dari Kod Etika Profesional, pelajar dan penyelia juga tertakluk kepada etika penerbitan yang tercatat di dalam Peraturan Akademik Pasca Siswazah UTM yang sedang berkuatkuasa.

7. Sebagai tambahan, UTM melalui Research Management Centre (RMC), telah menyediakan platform bagi para akademik dan penyelidik merekodkan dengan jelas maklumat penulisan jurnal sama ada mereka adalah penulis utama, penulis bersama atau sebagainya dan garis panduan ini boleh dirujuk oleh semua staf serta pelajar.

8. Sekali lagi ditegaskan, UTM mempunyai sistem yang mantap dalam memastikan integriti akademik sentiasa terpelihara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku melibatkan integriti akademik.

Pejabat Hal Ehwal Korporat
Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru, Johor
1 Julai 2019

Explore More