April 20, 2024

Search
Close this search box.

FSSK Anjur Program ‘WE CARE WE SHARE” 2019 Santuni Gelandangan

Kumpulan Penyelidikan Islam, Culture and Globalization (ICG-RG), Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian UTM  mengambil inisiatif  mendekati golongan gelandangan dengan menganjurkan Program Menyantuni Gelandangan bertemakan “We Care We Share” di sekitar bandaraya Johor Bahru pada malam tadi.

Program ini adalah program kerjasama dengan Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor serta dua buah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu  Jaringan Harmoni dan Dewan Bidadari Syurga.

Seramai hampir 120 orang peserta yang terdiri daripada 55 orang pelajar, pensyarah dan staf UTM  yang diketuai oleh Dr. Nur Najwa Hanani Abd Rahman, pensyarah kanan Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan terlibat menjayakan program ini.

65 orang peserta daripada kedua-dua NGO turut serta bersama-sama dalam program yang dianjurkan pada Khamis yang lalu. Sebanyak 200 bungkusan makanan dan barang keperluan asas telah diagihkan kepada golongan gelandangan di sekitar bandaraya Johor Bahru.

Objektif penganjuran program kali ini adalah bagi memupuk sikap prihatin dalam diri mahasiswa UTM dan sentiasa terkehadapan dalam menangani isu-isu sosial semasa. Selain itu juga, program ini bertujuan untuk membudayakan amalan penglibatan masyarakat dalam kalangan staf dan mahasiswa UTM. Kehidupan sebagai mahasiswa bukan hanya tertumpu kepada akademik semata-mata, tetapi keperluan penglibatan bersama-sama masyarakat juga perlu diberi perhatian.

Selari dengan objektif ICG-RG juga, program ini dianjurkan untuk menjalankan penyelidikan bagi mengenalpasti  permasalahan, isu dan keperluan golongan gelandangan di samping secara tidak langsung dapat membantu kerajaan mengenal pasti  punca serta mengkaji cara yang terbaik untuk menangani masalah gelandangan yang semakin berleluasa pada hari ini.

Aktiviti dimulakan dengan sesi taklimat kepada para peserta oleh pihak NGO Jaringan Harmoni sebelum pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan, yang melibatkan kawasan CIQ, Bazar Karat, City Square dan Galeria Kotaraya.

Dalam pada itu, Syaza Athirah Binti Muhamad Isa, pengerusi kumpulan pelajar berkata, program mendekati golongan gelandangan ini menampilkan sedikit kelainan kerana melibatkan kerjasama dengan NGO yang mana ahlinya majoriti terdiri daripada golongan wanita yang terdiri dari ibu-ibu dan warga emas yang mempunyai semangat yang  begitu kuat dalam menjayakan program ini sehingga selesai. Begitu juga dengan pelajar-pelajar serta staf  UTM yang terlibat menyatakan sangat teruja dan akan menjadikan program ini sebagai satu pengalaman yang bermakna bagi mereka.

Program berakhir pada jam 1.00 pagi.  Program dapat dilaksanakan dengan baik. Kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam mencapai objektif program untuk memberikan  bantuan  atas dasar kemanusiaan ini berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Semoga ada jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah gelandangan. Semoga program masyarakat seperti ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang dari masa ke semasa.

Explore More