April 26, 2024

Search
Close this search box.
Penyerahan Resolusi Konvensyen oleh Professor Madya Dr. Siti Aisyah binti Panatik kepada Yang Berhormat Datuk Wira Dr. Md Farid bin Md Rafik

Disediakan oleh: Azra Ayue Abdul Rahman dan Mohammad Saipol Mohd Sukor

Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Johor telah berjaya menganjurkan Konvensyen Memperkasakan Agenda Perpaduan Nasional, Peringkat Negeri Johor. Konvensyen yang bertemakan “Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian” telah berlangsung di Auditorium Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setia Tropika, Johor.

Konvensyen ini dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan  Sosial), Yang Berhormat. Datuk Wira Dr. Md Farid bin Md Rafik. Ia turut dihadiri oleh Ketua Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Yang Berbahagia Datuk Baharin bin Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Yang Berhormat. Tuan Dr. S. Ramakrishnan.

Matlamat utama konvensyen ini dianjurkan ialah untuk menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia, khususnya di negeri Johor. Ucap utama konvensyen disampaikan oleh Professor Datuk Dr. Teo Kok Siong dari UKM yang mengupas isu berkaitan pendidikan dalam memperkasakan perpaduan nasional.

Konvensyen ini diteruskan dengan pembentangan kertas kerja oleh beberapa orang penyelidik tersohor seperti Professor Dr. Rosman Md. Yusoff (UTHM) yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Perpaduan Asas Pembangunan Negeri Johor.” Ia diikuti oleh Dr. Suresh Ramakrishnan (UTM) yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Khidmat Sosial Memperkasa Perpaduan Nasional” dan  Dr. Zulkifli Khair (UTM) yang mengupas tajuk “Media Sosial dan Cabaran Perpaduan Nasional.”

Pembentangan diteruskan lagi oleh sejarawan negeri Johor iaitu Professor Madya Dr. Kassim Thukiman (UTM) dengan kertas kerja bertajuk “Muafakat Bangsa Johor dari Perspektif Sejarah. Pembentangan konvensyen diakhiri oleh Dr. Mohd. Koharudin Mohd. Balwi (UTM) dengan kupasan kertas kerja bertajuk “Perpaduan Nasional daripada Perspektif Budaya.”

Hasil daripada pembentangan-pembentangan tersebut, sepuluh resolusi telah dirumuskan oleh Professor Madya Dr. Mohd. Azhar Abd. Hamid (UTM). Antara kandungan resolusi tersebut  ialah pertama perpaduan adalah suatu usaha yang berterusan dan tiada titik noktah dan merupakan asas keharmonian kaum. Ia adalah elemen penting dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu, saling bekerjasama, hidup bertoleransi serta sentiasa meraikan perbezaan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.

Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan gagasan Bangsa Johor boleh dijadikan wahana penting untuk memperkukuhkan permuafakatan bangsa Johor, mempertahankan jatidiri bangsa, meletakkan kesetiaan terhadap negeri, merelisasikan pembangunan negeri, di samping mempertahankan kedaulatan sesebuah pemerintahan.

Ketiga, perpaduan, integriti dan kesejahteraan sosial adalah tiga elemen yang berperanan penting dalam memastikan pembangunan lestari negara. Keempat, pendidikan adalah kaedah terbaik bagi menanam, menyubur dan memperkukuhkan agenda perpaduan nasional menerusi pendekatan yang komprehensif dan bersungguh-sungguh oleh pelbagai peringkat pendidikan iaitu tadika, rendah, menengah dan universiti.

Kelima, perpaduan nasional dapat dipupuk dan diperkukuhkan agar menjadi lebih positif menerusi ruang demokrasi terbuka iaitu media sosial seperti facebooks, Instagram, telegram, What Apps dan sebagainya. Keenam, perpaduan nasional akan lebih mapan dan inklusif dengan setiap rakyat dan pemimpin memahami serta mengamalkan asas-asas hak dan kepentingan bersama seperti yang termaktub dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Rukun Negara.

Ketujuh, dasar-dasar atau polisi pembangunan negara pada masa depan seharusnya mengambil kira elemen-elemen perpaduan dan integrasi nasional dalam strategi dan langkah pelaksanaannya. Kelapan, pemerkasaan agenda perpaduan nasional boleh diperkukuhkan menerusi pemugaran elemen-elemen dan nilai-nilai budaya serta penghayatan sejarah dalam kalangan rakyat Malaysia umumnya dan Bangsa Johor khasnya.

Kesembilan, Seluruh barisan kepimpinan negeri dan negara dalam pelbagai sektor perlu mengukuhkan iltizam dan mempunyai kemahuan politik bagi menggubal pelbagai dasar berkepentingan rakyat dan menjayakan agenda perpaduan nasional. Kesepuluh, setiap warga negara Malaysia WAJIB mempunyai pengetahuan dan memiliki penguasaan yang baik dalam bahasa Melayu kerana ia adalah asas kepada perpaduan dan kesepaduan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.

Penyerahan resolusi disampaikan oleh Professor Madya Dr. Siti Aisyah binti Panatik, Pengerusi Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi kepada Yang Berhormat Datuk Wira Dr. Md Farid bin Md Rafik.

Ucapan perasmian penutup telah disampaikan oleh Yang Berhormat. Datuk Wira Dr. Md Farid bin Md Rafik, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan  Sosial).

Program ini telah mendapat liputan media Harian Metro 25 April 2019.

Penyerahan Resolusi Konvensyen oleh Professor Madya Dr. Siti Aisyah binti Panatik kepada Yang Berhormat Datuk Wira Dr. Md Farid bin Md Rafik

Explore More