April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 23 Jun — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia apabila telah meningkat ke kedudukan 217 berbanding 228 tahun lalu dalam QS World University Rankings 2020

Berdasarkan kepada enam petunjuk prestasi yang telah dinilai, UTM telah mencatatkan pencapaian terbaik dalam sitasi penyelidikan dan reputasi majikan.

Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata, prestasi UTM yang konsisten ini menunjukkan reputasi UTM dan kepercayaan masyarakat kepada universiti ini terus meningkat terutamanya dalam bidang penyelidikan dan hubungan industri-akademia.

“Pencapaian ini juga menunjukkan kualiti akademik dan penyelidikan UTM terus diiktiraf dan menjadi rujukan universiti dan institusi pendidikan di dalam dan luar negara.

Dengan peningkatan ini, UTM sedang berada di landasan yang tepat ke arah menjadi 50 universiti terbaik dunia dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi, seperti yang dirancang dalam Pelan Global UTM 2020,” kata beliau.

Seiring dengan hasrat pengantarabangsaaan iaitu meningkatkan kesohoran global dan penjenamaan, UTM akan terus menggembleng usaha untuk menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan.

Beliau juga menambah, pencapaian ini bukanlah satu-satunya ukuran kecemerlangan sesebuah universiti, namun ianya penting sebagai satu asas ukuran dan rujukan kepada universiti dan institusi lain di seluruh dunia menilai kedudukan dan reputasi sesebuah institusi pendidikan tinggi.

“Ini dibuktikan menerusi dapatan kajian Student Barometer di mana majoriti pelajar antarabangsa di UTM memilih untuk menyambung pengajian disebabkan faktor kedudukan UTM dalam QS World Ranking ini.

Justeru, UTM juga akan terus berusaha untuk memberi tumpuan dalam meningkatkan prestasi dan reputasi universiti tanpa mengabaikan falsafah universiti yang komited secara menyeluruh untuk mencapai kecemerlangan ke arah kemakmuran dan kesejahteraan sejagat,” tambah beliau.

Explore More