Disember 22, 2024

Oleh: Profesor Ir Dr Zainuddin Abdul Manan dan Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin.

Ramadan telah pergi meninggalkan kita semua, khususnya para Muslim yang telah menjalani ibadah berpuasa selama sebulan. Begitu banyak nilai yang dapat dipelajari dan dibentuk sewaktu Ramadan khususnya dalam melahirkan insan yang dapat merubah diri mereka ke arah menjadi insan berwibawa dan berdisiplin tinggi.

Penulis ingin mengetengahkan empat nilai utama yang terbentuk melalui bulan Ramadan yang dapat mendidik insan untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Nilai-nilai ini ialah integriti, sinergi, kecemerlangan dan kemampanan.

Empat nilai ini juga merupakan nilai tunjang yang mendasari pentadbiran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah diamalkan sekian lama. Nilai-nilai ini menjana inspirasi buat semua warga universiti dan masyarakat amnya lantaran ia berupa nilai yang selari dengan tuntutan agama.

  1. Integriti

Penulis berpandangan bahawa integriti adalah bahagian penting dalam membentuk taqwa. Taqwa dalam bahasa Arab bererti perisai atau pelindung.

Secara konsepnya, taqwa adalah tentang keupayaan membentuk pelindung dalaman bagi tujuan mengamalkan segala perbuatan yang benar sesuai dengan perintah Allah swt. Al-Quran juga menekankan hal taqwa ini sebagai tujuan utama berpuasa.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: 183)

Dalam pada kebanyakan perbincangan tentang puasa menjurus kepada kesihatan dan upaya fizikal, berpuasa dalam Islam berupa satu iltizam penyucian dan pendisiplinan diri. Iltizam ini holistik sifatnya dengan komitmen penuh terhadap ketaqwaan seseorang insan, dan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.

Komitmen menyeluruh ini meliputi satu usaha bagi membina satu kesepaduan tindak antara jasad, minda, dan jiwa ke arah pengamalan nilai taqwa dalam diri.

Berpuasa merupakan satu proses penyucian jiwa dan kawalan hawa nafsu, nafsu yang sering mendorong para insan kepada perbuatan dosa, kesombongan, korupsi, kebakhilan dan makan berlebihan.

Berpuasa juga menjadi satu proses penyemaian sifat kerendahan hati, kejujuran, kesabaran, kesederhanaan, kedermawanan, dan kemuliaan pekerti dalam perwatakan para insan. Nilai-nilai ini terbentuk sekiranya puasa dilihat pada kaca mata hakiki dan ideal.

Seorang penulis British, Clive Staple Lewis, pernah berkata, “Integriti bermaksud membuat hal yang betul meskipun tiada sesiapa yang memerhati.”

Dalam hal ini, penulis mempunyai hemat bahawa berpuasa adalah satu latihan ampuh dalam membina integriti dalam dunia akademik, khususnya bagi warganya yang benar-benar menjalani puasa secara holistik. Fikiran dan perbuatan warga akademik, dan masyarakat secara umum, akan selari dengan nilai taqwa dan integriti ini.

Di UTM, integriti menjadi nilai teras dalam kalangan empat nilai yang disebut kerana UTM percaya bahawa tanpa integriti, kejayaan, kekayaan dan kemasyhuran serta segala nilai keprestijan tidak membawa apa-apa erti.

Dengan pengamalan integriti, penghormatan, pengiktirafan, dan kepercayaan akan didapati dan membentuk kewibawaan yang tak terkalahkan.

  1. Membina Sinergi Melalui Kemuliaan Budi dan Keprihatinan

Berpuasa merupakan satu amalan yang memiliki nilai keunggulan tanpa batasan. Ini selari dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., “Nabi Muhammad saw bersabda, Allah berfirman, setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Aku mengganjari puasa bagi insan terbabit.” (HR Bukhari dan Muslim)

Berpuasa adalah satu amal kejujuran unggul, justeru itu ia menjadi satu cerminan tertinggi integriti yang terkandung dalamnya nilai taqwa.

Di UTM malahan di tempat-tempat lain, kemuliaan budi terserlah pada bulan Ramadan. Ramai insan menghulurkan sedekah dan sumbangan pelbagai bentuk termasuklah dalam membiayai majlis berbuka puasa yang diadakan pada setiap hari dalam bulan Ramadan. Banyak pelajar memperoleh manfaat daripada sumbangan penuh erti ini. Bahkan, sebahagian ahli masyarakat di luar universiti turut bersama-sama berbuka puasa di UTM.

Hikmah memberi makan kepada orang yang hendak berbuka puasa tersingkap dalam satu hadis riwayat Tarmizi:

“Sesiapa yang menyediakan juadah untuk orang yang berbuka puasa akan beroleh ganjaran sebagaimana yang diperoleh oleh yang berpuasa terbabit, tanpa mengurangi sedikitpun ganjaran pahala insan berpuasa itu.” (Hadis Riwayat Tarmizi no 807)

Lebih menarik lagi, majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh masjid UTM yang disertai oleh kira-kira 1700 pelajar setiap hari, adalah daripada pelbagai bangsa dan agama dan tidak hanya pelajar Muslim. Ia merupakan satu keindahan suasana Ramadan yang meraikan kepelbagaian latar belakang dan menjana perpaduan global dan lokal. Keindahan suasana ini adalah cerminan kemuliaan hati, kasih sayang dan saling menghormati perbezaan.

  1. Menjana Kecemerlangan Melalui Kawalan Kendiri dan Masa

Andainya kita percaya bahawa kejayaan dan kebahagiaan adalah bersabit keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan, maka bulan Ramadan adalah satu saat yang paling tepat untuk memahami hal ini.

Penulis berpandangan pengurusan masa menjadi lebih teratur dan lancar ketika dalam bulan Ramadan. Ibadah puasa telah melicinkan rutin harian kita dalam beberapa cara seperti berikut.

Kepekaan terhadap masa. Dalam bulan Ramadan, para insan yang benar-benar menghayati kepentingan solat akan menjaga waktu solat mereka sebaik-baiknya. Ini terdorong dengan ketiadaan makan tengah hari dan waktu-waktu makan pada siang atau petang yang memudahkan pergerakan rutin.

Perut menjadi lebih tenang kerana dapat berehat seketika. Keadaan ini menghadirkan rasa damai dalam jasad untuk mendirikan solat dengan lebih khusyuk selain turut memberi impak lebih baik terhadap kualiti kerja di pejabat.

Ruang masa yang wujud dalam bulan Ramadan seakan lebih lapang dan memberi peluang kepada setiap insan melaksanakan pelbagai amalan dan aktiviti seperti mentadabur al-Quran, menghadiri majlis ilmu, dan berpartisipasi dalam kegiatan komuniti setempat.

Memulakan hari lebih awal. Dalam bulan Ramadan, para Muslim akan bangun sahur sekitar jam 4 hingga 5 pagi setiap hari. Amalan ini menggalakkan para Muslim untuk memulakan hari mereka lebih awal. Ini sejajar dengan sunnah Rasulullah saw yang sentiasa memulakan hari Baginda pada waktu sebelum tibanya Subuh.

Amalan Rasulullah saw ini turut menjadi satu kebiasaan bagi para ahli perniagaan dan figura awam yang ternama serta berjaya seperti Tim Cook (Ketua Pegawai Eksekutif Apple), Oprah Winfrey, Michelle Obama, Richard Branson (Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Virgin), Jack Dorsey (Ketua Pegawai Eksekutif Twitter) dan Indra Nooyi (Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo).

Kesemua tokoh ini memulakan rutin harian pada waktu lebih awal, sebelum jam 6 pagi. Mereka menggunakan masa lapang itu untuk bertafakur dan bersenam, serta dapat menghabiskan sebahagian kerja mereka juga pada waktu tersebut kerana kurangnya gangguan dan kuatnya kudrat pada awal pagi tersebut.

Memulakan hari lebih awal menjadikan tokoh-tokoh tersebut lebih terkehadapan dalam kehidupan dan menjadi salah satu resepi kejayaan. Pepatah Inggeris ada menyebut, “Early birds catch worms”. Amalan bangun awal ini harus diteruskan pada bulan-bulan yang lain selain Ramadan.

4. Keberterusan serta Kemampanan Nilai Teras Ramadan

Istiqamah (keberterusan) dalam melakukan perkara-perkara yang betul adalah ramuan penting dalam memastikan tabiat-tabiat yang baik bertahan dalam tempoh lama.

Pada tahun sekitar 1960-an, Maxwell Maltz berkata bahawa manusia mengambil masa minimum 21 hari untuk membentuk tabiat baru. Meskipun kenyataan Maltz bersifat hipotetik, namun secara jelas tabiat baru terbentuk setelah wujudnya penerusan amalan tertentu dalam satu tempoh masa yang lebih lama. Tabiat baru tidak terbentuk dalam satu atau dua hari.

Mengambil kira disiplin amalan puasa selama sebulan dalam bulan Ramadan, diikuti dengan puasa sunat hari Isnin dan Khamis pada bulan-bulan lain, ia merupakan satu sunnah Rasulullah saw.

Amalan terbaik ini seharusnya membentuk kesolehan yang menyerlah dalam diri para Muslim sekiranya puasa sunat tersebut diamalkan secara berterusan. Ini sejajar dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah saw yang bersabda, “Sebaik-baik amalan adalah yang dilakukan secara berterusan meskipun sedikit.”

Akhir kalam, penulis ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Semoga Allah swt menerima segala amalan kita pada bulan Ramadan yang lalu. Penulis mendoakan agar penghayatan nilai-nilai Ramadhan secara berterusan dan mampan akan membudaya dalam masyarakat, demi menyumbang kepada kesejahteraan, keamanan serta kemakmuran sejagat. Moga-moga kita dipertemukan dengan Ramadan yang akan datang. Insha-Allah. Amin.

Profesor Ir Dr Zainuddin Abdul Manan merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM.

Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin adalah Pensyarah Kanan di UTM.

 

Explore More